Monday, January 24, 2011

Tohmahan Kuan Yew perlu ditepis

KOMEN OLEH ASHADI ZAIN:

Saya ingin berkongsi maklumat tentang kenyataan lee kuan yew dalam bukunya, Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Antara petikan dalam bukunya adalah, "Saya berpendapat hari ini kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam."

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan dan memberikan kesedaran kepada kita tentang keperluan amar makruf nahi mungkar, menurut kemampuan masing-masing. Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit, insya Allah.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/



Tohmahan Kuan Yew perlu ditepis


2011/01/25
KUALA LUMPUR: Pelbagai pertubuhan menyelar tindakan biadab bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew yang disifatkan sebagai pemimpin nyanyuk dan buta sejarah kerana mencetuskan kontroversi terbaru menerusi bukunya Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going.

Umat Islam seluruh dunia terutama di Malaysia perlu bangkit membuktikan Islam tidak menentang kemajuan dan pembangunan, malah proses integrasi antara masyarakat berbilang kaum bertambah baik jika ajaran Islam diamalkan dengan sempurna. Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr Maamor Osman, berkata kontroversi terbaru itu menggambarkan keadaan sebenar Kuan Yew sebagai pemimpin yang sakit jiwa, nyanyuk dan buta sejarah. Katanya, umat Islam perlu bangun dan bangkit sebagai contoh ‘Khairun Ummah’ bagi menepis tohmahan dan dakyah sering dilemparkan oleh pemimpin dunia seperti Kuan Yew.

“Orang sakit jiwa tidak akan akan mengaku mereka sakit jiwa, oleh itu diharapkan ada pihak merujuk Kuan Yew ke pakar sakit jiwa bagi memastikan pemimpin itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan menghina Islam,” katanya.

Kelmarin, akhbar melaporkan Kuan Yew menggesa umat Islam di Singapura supaya tidak terlalu kuat berpegang pada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Laporan berkenaan turut menyebut Kuan Yew selalu menekankan pentingnya keharmonian antara kaum di Singapura yang mempunyai penduduk majoriti berketurunan Cina dan masyarakat minoriti termasuk orang Melayu dan kaum India.
“Saya berpendapat hari ini kita boleh mengintegrasikan semua agama dan kaum kecuali Islam,” katanya yang dipetik daripada bukunya.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA), Syed Hassan Syed Ali, berkata sebagai pemimpin yang sudah terlalu lama dalam politik, Kuan Yew sepatutnya dapat membezakan sesuatu isu itu sensitif atau sebaliknya jika ingin disentuh.

Katanya, PERKASA tidak menganggap Kuan Yew sebagai pemimpin yang kurang faham bagaimana untuk menghormati kaum yang berlainan agama dengannya, sebaliknya menganggap beliau seorang pemimpin tua yang nyanyuk.

No comments:

Post a Comment