Friday, January 7, 2011

Risiko telefon bimbit dan di stesen minyak dan komen Ashadi Zain

Pada masa kini, telefon bimbit memang seakan sudah menjadi satu keperluan.

Namun begitu, kewaspadaan dalam menggunakannya tetap perlu ada supaya ia tidak memudaratkan diri sendiri.

Satu perkara yang juga perlu diambil berat adalah tabiat semasa di stesen minyak. Sejak akhir-akhir ini, saya sering melihat ramai pengguna mengambil mudah risiko yang sebenarnya wujud di stesen minyak.

Perkara yang paling memeranjatkan adalah ramai pengguna yang tidak mematikan enjin semasa mengambil minyak, sedangkan risiko kebakaran dan kemalangan disebabkan tabiat ini adalah amat besar.

Sikap tidak ambil pusing ini bukan hanya membahayakan nyawanya, malah membahayakan nyawa para pengguna lain yang mematuhi peraturan semasa mengambil minyak.

Saya fikir salah satu punca perkara ini berlaku adalah kerana stesen minyak kini bukan lagi stesen minyak dalam erti kata yang sebenarnya.

Stesen minyak kini sudah menjadi pusat sehenti (one-stop centre) bagi pelbagai urusan. Di stesen minyak sekarang, kita bukan hanya dapat mengambil minyak, malah dapat membeli keperluan harian, menjamu selera, menjalankan urusan pos, bahkan menjalankan urusan perbankan.

Maka sifat sebuah stesen minyak telah berubah dari tempat mengambil minyak kepada tempat yang lebih menyerupai pusat membeli-belah.

Perubahan sifat ini menyebabkan para pengguna berasa lebih santai di stesen minyak dan tidak lagi berwaspada dengan segala risiko yang sememangnya wujud di mana-mana stesen minyak. Jangan salah faham.

Saya tidak bermaksud bahawa adalah salah bagi syarikat minyak menggunakan strategi ini bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Ini adalah hak mereka bagi menambahkan pendapatan dan mengembangkan operasi syarikat.

Namun begitu, pada masa yang sama, semua pihak, terutama pihak berkuasa, syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak perlu sentiasa mendidik para pengguna tentang risiko yang wujud di stesen minyak dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas mereka yang melanggar segala peraturan yang berkenaan.

Perkara ini perlu disegerakan kerana pemerhatian saya menunjukkan bahawa memang ramai pengguna yang kini tidak mengambil peduli dan tidak mematikan enjin semasa mengambil minyak. Jangan sampai dah terhantuk, baru kita terngadah.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment