Sunday, January 16, 2011

SPNB nasihat usah tertipu beli flet RM200,000

2011/01/17
KUALA LUMPUR: Bakal pembeli rumah dinasihatkan supaya berfikir secara rasional sebelum membuat keputusan membeli flet kos rendah yang dijual semula pada harga RM200,000, kata Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Idris Harun.

Katanya, flet kos rendah yang dijual semula pada harga RM200,000 sepatutnya mempunyai ciri mewah atau hasil binaan berkualiti hampir menyamai flet kos sederhana atau pangsapuri. Beliau berkata, ia termasuk memiliki keluasan lantai melebihi 1,000 kaki persegi, kekemasan hasil kerja yang tinggi seperti dipasang lantai marmar, gaya eksklusif, dilengkapi perabot dan berada di lokasi strategik. Rumah berkenaan juga memiliki kemudahan setaraf atau hampir sama dengan pangsapuri mewah atau kondominium ketika ini seperti kolam renang, pengawal keselamatan dan tempat letak kereta persendirian.

“Ciri mewah itu perlu ada jika ada pihak hendak menjual semula flet kos rendah pada harga RM200,000. Jika sesebuah flet dijual semula pada harga itu, ia bukan lagi jenis kos rendah.

“Pada saya jika mencecah RM200,000, ia mesti mempunyai ketrampilan, bernilai tinggi dan berbaloi untuk setiap ringgit dibayar pembeli bagi memiliki sebuah rumah,” katanya.

Beliau mengulas laporan muka depan Berita Minggu semalam mengenai unjuran dibuat Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) bahawa harga jualan semula sebuah flet kos rendah di bandar utama negara ini di pasaran terbuka mencecah RM200,000 dalam tempoh empat tahun lagi.
Anggaran kenaikan harga sehingga 400 peratus itu selepas mengambil kira harga jualan semula dan nilai hartanah semasa.

Idris berkata, ketika ini sudah ada flet dibina pemaju dijual pada harga sekitar RM180,000, tetapi ia mempunyai kelebihan seperti jawatankuasa pengurusan, dilengkapi kemudahan kolam renang dan taman rekreasi serta khidmat pengawal.

“Rumah seperti ini tetap menjadi pilihan pembeli kerana mereka mempunyai kemampuan kewangan, terutama pasangan baru berkahwin,” katanya

No comments:

Post a Comment