Sunday, January 23, 2011

Modus operandi dan taktik penipuan perniagaan kiosk

Terdapat laporan mengenai penipuan niaga, yang mana mangsa melaporkan bahawa ada syarikat menawarkan peluang perniagaan kiosk yang sebenarnya adalah peluang perniagaan yang palsu.

Peluang yang ditawarkan adalah dalam bentuk kiosk ataupun mesin layan diri (vending machine). Modus operandi mereka adalah seperti yang berikut:

1. Kebanyakan mangsa dihubungi melalui panggilan telefon dan ada juga yang ditemui di pameran-pameran perdagangan atau ‘roadshow’ yang dianjurkan oleh syarikat terbabit.

2. Mangsa dijemput menghadiri pembentangan mengenai konsep perniagaan kiosk.

3. Mangsa ditawarkan peluang perniagaan ‘multifunction automatic touchscreen’. Pelaburan dalam perniagaan kiosk ini dikatakan mampu menjana pendapatan antara RM3,000.00 – 4,000.00 sebulan.

4. Pendapatan adalah dalam bentuk komisyen antara 3 - 13%. Komisyen tersebut dikatakan bersumberkan reload prabayar, tempahan tiket wayang, tiket bas, tiket penerbangan dan bayaran bil utiliti, cukai pintu majlis/kerajaan tempatan, saman dan lain-lain lagi.

5. Selain komisyen, mangsa dijanjikan bayaran tetap bulanan sebanyak RM1,000.0. Bayaran ini dikatakan bersumberkan hasil sewaan ruang (sisi kiri dan kanan) kiosk kepada pengiklan pada kadar sewa RM500.00 untuk setiap sisi sebulan.

6. Mangsa juga dijanjikan perkongsian hasil jualan ruang iklan di skrin kiosk pada kadar 30:70. Urusan mendapatkan pengiklan dikatakan adalah tanggung jawab pihak syarikat.

7. Insentif lain yang ditawarkan adalah potongan harga pakej percutian dan pakej percutian percuma, TETAPI dengan syarat mangsa mesti membuat keputusan menyertai perniagaan kiosk pada MASA ITU JUGA (selepas pembentangan selesai).

8. Pengambilan deposit 30% dibuat dengan menggunakan kad kredit. Baki sebanyak 70% dibiayai melalui pinjaman peribadi dari bank (akan diuruskan oleh syarikat) atau pembiayaan berdasarkan komisyen yang diterima daripada syarikat, yakni sekiranya tiga (3) dari kenalan mangsa yang diperkenalkan berjaya dipengaruhi untuk menyertai perniagaan kiosk tersebut. Kaedah pembiayaan ‘members-get-members’ ini dikenali sebagai sistem ‘referral’.

9. Mangsa diberikan keutamaan bagi memilih lokasi untuk menempatkan kiosk. Lokasi-lokasi itu (universiti, kolej, hospital) dikatakan berpotensi memberi pulangan lumayan, memandangkan ramai pengguna akan melanggani perkhidmatan kiosk itu.

Dari segi taktik yang digunakan pula, ia adalah seperti yang berikut:

1. Pendaftaran pelbagai nama - Syarikat berkenaan beroperasi dengan menggunakan nama syarikat berbeza tetapi masih ada pautan dengan syarikat induk dengan tujuan yang sama.

2. Kad nama perunding perniagaan – Nama penuh perunding perniagaan tidak dinyatakan pada kad nama mereka. Ini dipercayai satu usaha supaya mangsa terkeliru dengan identiti sebenar perunding perniagaan itu.

3. Urusniaga tidak telus - Semasa sesi pembentangan, wakil syarikat sengaja menyembunyikan klausa pada resit yang menyatakan ‘deposit atau bayaran tidak dikembalikan’. Mangsa hanya menyedari mengenainya selepas resit dikeluarkan.

4. Penyalahgunaan surat rasmi - Syarikat menyalahgunakan salinan surat rasmi pihak berkuasa seperti KPDN & HEP, Sirim, MSC status, MESDAQ listed companies dan sebagainya untuk meyakinkan mangsa bahawa perniagaan mereka adalah sah. Mereka juga mendakwa perniagaan mereka mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Francise Association (MFA).

5. Pembiayaan bank/institusi kewangan - Bantuan mendapatkan pembiayaan daripada bank dipercayai adalah taktik bagi melengah-lengahkan masa, iaitu supaya mangsa tidak dapat menuntut kembali duit mereka selepas tempoh bertenang. Ini bermakna syarikat terbabit mengeksploitasi peruntukan undang-undang sedia ada, iaitu peruntukan mengenai tempoh bertenang ataupun grace period.

Semoga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan semua.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

2 comments:

  1. hm...macam2 tektik yg digunakan...sungguh bijak mereka ini, namun sayangnya kebijaksanaan itu disalahgunakan....
    trima kasih atas info yg diberikn...

    ReplyDelete
  2. Sama-sama :)

    Ya, memang sayang sekali apabila ramai yang menggunakan kepintaran bagi menipu dan menzalimi orang lain.

    Ya Allah, minta dijauhkan dari perangai seperti ini.

    ReplyDelete