Wednesday, January 19, 2011

Selepas 'diperangkap', kontrak diubahsuai

Komen berikut adalah susulan aduan seorang pengguna bahawa kontrak yang ditandatangani dengan sebuah syarikat diubah selepas dua bulan menggunakan perkhidmatan syarikat terbabit.

KOMEN OLEH ASHADI ZAIN:

Saya fikir badan penguatkuasa perlu mengambil perhatian akan isu yang berkaitan dengan pengubahsuaian kontrak.

Saya tidak merujuk ataupun menuduh mana-mana pihak mengubah kontrak tetapi secara umumnya, selepas sesuatu kontrak dimuktamadkan, ia tidak boleh diubah, MELAINKAN dengan persetujuan SEMUA pihak yang menandatangani perjanjian asal.

Asasnya, modus operandi yang digunakan bagi menipu pengguna dan mengaut keuntungan melalui pengubahsuaian kontrak adalah (sekali lagi, ini tidak merujuk pada mana-mana pihak):

1. Tawaran yang menarik dibuat bagi mendapatkan pelanggan.

2. Tawaran diteruskan bagi mendapatkan lebih ramai pelanggan.

3. Tawaran dihentikan apabila syarikat terbabit sudah pun mendapat jumlah pelanggan yang dikehendaki, berdasarkan sasaran pendapatan dan keuntungan mereka. Maka ini bermakna bagi pelanggan baharu, mereka tidak lagi menikmati terma-terma menarik yang ditawarkan kepada pelanggan lama.

4. Kontrak diubahsuai, lantas menyebabkan kedudukan pelanggan lama menjadi setara dengan kedudukan pelanggan baharu, walhal kontrak yang ditandatangani adalah dua kontrak yang BERBEZA.

Sebenarnya, langkah 1 hingga 3 tidak salah dari segi undang-undang.

Ini kerana ia adalah strategi syarikat terbabit bagi mendapatkan pelanggan yang ramai dalam masa yang singkat.

Namun begitu, apabila masuk pada langkah keempat, maka perlanggaran undang-undang telah berlaku apabila kontrak bagi pelanggan lama ‘diselaraskan’ menurut kontrak bagi pelanggan baharu.

Kita sebagai pengguna tidak boleh membiarkan kontrak yang ditandatangani diubahsuai sewenang-wenangnya, tidak kiralah sama ada syarikat tersebut melibatkan sektor jalur lebar, perbankan, barangan pengguna, MLM dan sebagainya.

Pihak berkuasa juga perlulah mengambil tindakan segera dan tegas supaya hak pengguna dilindungi.

Dalam hal ini, Tribunal Pengguna juga memainkan peranan penting. Semalam sahaja, seorang pengguna berjaya mendapatkan ganti rugi daripada sebuah bengkel dengan melalui Tribunal Pengguna (berita penuh di: http://artikelashadizain.blogspot.com/2011/01/kereta-kerap-rosak-bengkel-diarah-bayar.html

Moga penerangan di atas memberikan manfaat kepada kawan-kawan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment