Sunday, January 16, 2011

Komen Ashadi Zain mengenai nasi lemak yang menggunakan logo halal palsu

Pewaris Buat Laporan Polis Nasi Lemak Guna Logo Tanda Halal Palsu

GEORGE TOWN, 15 Jan (Bernama) -- Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) pada Sabtu membuat laporan polis berhubung tindakan sebuah syarikat pengeluar nasi lemak bukan lslam di Juru yang didakwa menggunakan logo halal palsu.

Presiden Pewaris negeri Sabaruddin Ahmad berkata berdasarkan aduan dan maklumat orang ramai, nasi lemak itu dijual di sekitar Pulau Pinang.

Beliau berkata nasi lemak itu dipercayai dijual kawasan perumahan serta kilang sekitar Pulau Pinang terutamanya kawasan Jalan Tengah, Bukit Jambul, Kampung Jawa, Bayan Baru dan George Town.

"Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana ia mengganggu sensitiviti orang Islam. Tidak kisah bangsa apa sekalipun, sekiranya ia mempunyai tanda halal yang diiktiraf, kita boleh terima.

"Sebaliknya ini jelas menunjukkan tanda halal nasi lemak itu palsu dan bukannya dikeluarkan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Bayan Baru, di sini.

Beliau menggesa Jakim dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Abdul Malik Abul Kassim supaya memantau logo halal yang digunakan oleh pengusaha di negeri ini bagi mengelak kekeliruan di kalangan umat Islam.

Kira-kira 100 orang berkumpul di hadapan balai polis berkenaan untuk membantah tindakan pengusaha berkenaan.

-- BERNAMA

KOMEN OLEH ASHADI ZAIN:

Logo halal terus disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Tetapi dalam soal makanan halal, sebilangan umat Islam juga perlu dipertanggungjawabkan.

Ini kerana terdapat ramai di kalangan kita yang mengambil mudah tentang aspek halal.

Terdapat ramai umat Islam yang mana walaupun mereka tahu bahawa status halal sesebuah premis makanan diragui, namun mereka mengambil mudah perkara itu. Mereka tetap makan di premis tersebut.

Maka di kala pihak berkuasa perlu lebih berkesan dari segi penguatkuasaan, umat Islam sendiri perlu meningkatkan kesedaran di kalangan mereka tentang kepentingan faktor halal dalam kehidupan.

Mengenai kenaikan harga barang pula, semalam saya melakukan tinjauan ringkas dan mendapati bahawa ada premis makanan sudah pun membuat keputusan bagi menaikkan harga.

Apabila ditanya, jawapannya adalah ia tidak dapat dielakkan ekoran kenaikan harga minyak, gula, tepung dan lain-lain bahan. Sekadar berkongsi sedikit maklumat dengan para pengguna semua.

Seperkara lagi yang mengundang perhatian saya adalah kematian warga Ireland akibat digigit anjing.

Perlu diingat bahawa anjing yang menggigitnya bukanlah anjing liar, tetapi adalah anjing peliharaan kawan yang jinak dengannya (berita penuh di:
http://artikelashadizain.blogspot.com/2011/01/pelancong-ireland-mati-digigit-anjing.html

Jadi, kalau anjing yang jinak pun boleh membunuh, inikan pula anjing liar yang berkeliaran di kawasan perumahan.

Saya berharap supaya pihak berkuasa tempatan sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada kejadian tidak diingini berlaku.

Para pemilik anjing juga perlu bertanggungjawab menjaga anjing masing-masing bagi memastikan keselamatan dan keharmonian hidup bermasyarakat.

Dalam pada itu, anjing tetap makhluk Allah yang mempunyai peranannya. Malah dalam Islam, anjing boleh digunakan bagi menjaga keselamatan dan juga berburu.

Namun pada ketika yang sama, langkah-langkah bagi mengelakkan terjadinya sebarang perkara yang tidak diingini perlu sentiasa diambil.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment