Thursday, January 13, 2011

Awas dengan penipuan ini

3 warga Peru dipenjara 18 bulan

Oleh MOHD. ISWAN SHAFIQ MAT ISA
pengarang@utusan.com.my



NICANOR Edgar Areche Aquipa (depan), Sosaya Carraso Jose Wilfredo (kiri) dan Henry Fernando Carrascal Carlin (dua dari kiri) ketika dibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, semalam. - Utusan/AZLAN BAHRUM

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA TERENGGANU 13 Jan. - Tiga lelaki warga Peru dihukum penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memperdayakan seorang wanita tempatan dan mengeluarkan wang mangsa sebanyak RM3,500 melalui mesin juruwang automatik (ATM) pada September tahun lalu.

Hakim M. Bakri Abd. Majid memutuskan demikian setelah ketiga-tiga tertuduh, Sosaya Carraso Jose Wilfredo, 57; Henry Fernando Carrascal Carlin, 44; dan Nicanor Edgar Areche Aquipa, 44, mengaku bersalah atas tuduhan tersebut.

Hukuman itu dijatuhkan selepas hakim mendengar rayuan tertuduh-tertuduh dalam bahasa Sepanyol yang diterjemahkan oleh penterjemah dari Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Norazrin Zakaria.

Norazrin dilantik sebagai jurubahasa memandangkan ketiga-tiga tertuduh tidak boleh berbahasa Inggeris dan hanya tahu berbahasa Sepanyol.

Ketiga-tiga lelaki itu mengaku secara bersama melakukan tiga pengeluaran pada mesin ATM Maybank Berhad berjumlah RM3,500 daripada akaun simpanan milik Ma Kalthum Salleh, 38.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di mesin ATM di Maybank Berhad, Lot 405 dan 406, Jalan Besar, Besut antara 11 pagi dan 12 tengah hari, 19 September tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, semasa Ma Kalthum sedang membuat pengeluaran wang di mesin ATM itu, bahunya ditepuk oleh seorang lelaki tidak dikenali yang menunjukkan terdapat beberapa keping wang kertas bertaburan di lantai.

Wanita itu kemudian tunduk dan mengutip wang tersebut tetapi setelah selesai membuat pengeluaran wang dan mengambil kembali kadnya dari mesin ATM, dia mendapati kad itu berlainan daripada kad miliknya.

Semakan dengan pihak bank mendapati RM3,500 daripada akaunnya telah dikeluarkan sebelum bank sempat membatalkan kad berkenaan.

Siasatan polis mendapati imej semua tertuduh dan Ma Kalthum terdapat dalam rakaman kamera litar tertutup bank itu.

Terdahulu, ketiga-tiga tertuduh mendakwa telah insaf dan ingin meminta maaf kepada mangsa berikutan kesusahan yang terpaksa dihadapi selepas kejadian tersebut.

Di mahkamah berasingan, Carlin dihukum penjara enam bulan setelah mengaku bersalah menggunakan cop keselamatan palsu pada pasport miliknya ketika memasuki negara ini.

Hakim Tuan Azman Tuan Mustapha memerintahkan hukuman tersebut bermula dari tarikh dia ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Izalina Abdullah manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam bela, Mohd. Shamril Afzan Mohamed Hasim yang dilantik oleh Kedutaan Peru.

No comments:

Post a Comment