Sunday, February 27, 2011

AWAS: Deposit Kereta Dibayar Sia-sia

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi yang berikut:

1. Mangsa didatangi oleh seorang jurujual kereta.

2. Jurujual itu mendakwa bahawa dia adalah ejen sebuah syarikat kereta terpakai.

3. Namun hakikatnya adalah syarikat tersebut tidak wujud.

4. Jurujual mendakwa bahawa dia dapat memberikan diskaun kepada mangsa dengan syarat mangsa membayar deposit bagi membeli kereta tersebut dengan segera.

5. Mangsa pun membayar deposit, iaitu deposit antara 10 – 15% dari harga jualan kereta tersebut.

6. ‘Jurujual’ terbabit kemudiannya menghilangkan diri.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Wednesday, February 23, 2011

AWAS: Restoran Tikus

Bangkai tikus dalam kuali
Oleh Siti Sofia Md Nasir

2011/02/24

BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.
Ops Bersih 3 gempur premis niaga kotor sekitar Klang

KLANG: Bangkai tikus dalam kuali. Mungkin sukar dipercayai tetapi itulah yang dilihat dalam satu operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan ‘Ops Bersih 3' yang diadakan di sekitar bandar diraja ini, baru-baru ini.

Pemilik sebuah restoran mendakwa kuali itu tidak lagi digunakan tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang digempur pasukan penguat kuasa itu kotor dan berbau meloyakan.
Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan turut menemui mi goreng yang sudah basi disimpan di bawah rak makanan dan boleh memudaratkan kesihatan jika ia dipanaskan dan dihidangkan semula kepada pelanggan.

Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan terus menjamu selera di restoran terbabit seperti langsung tidak mengendahkan operasi yang sedang dijalankan.

Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan sepatutnya di samping melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tidak melabel jenis makanan dan pekerja memakai selipar.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa didapati gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya tong sampah tidak ditutup dan lantai kotor.
"Malah, kami turut menjumpai bangkai tikus, najis tikus dan lipas di beberapa premis," katanya sambil menambah semua premis itu diarah ditutup untuk tempoh dua minggu bagi mereka membersihkan premis masing-masing.

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Bulan lalu, sebanyak 12 premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 2 yang diadakan di sekitar kawasan Bukit Tinggi.

Tuesday, February 22, 2011

AWAS: Hadiah dari Kekasih

Berhati-hatilah jika anda menghadapi situasi yang berikut:

1. Anda dihubungi seorang lelaki melalui internet, terutamanya melalui laman sosial.

2. Lelaki itu berkata bahawa dia ingin berkenalan dengan anda dan mendakwa bahawa dia kini bekerja di luar negara.

3. Selepas beberapa lama berkenalan, maka si lelaki yang kini menjadi kekasih anda itu mengatakan bahawa dia amat mencintai anda.

4. Bagi membuktikan cintanya itu, dia ingin menghadiahkan sesuatu kepada anda. Hadiah mahal itu kononnya akan dihantar melalui pos/kurier.

5. Tidak lama kemudian, anda mendapat panggilan daripada pihak kastam (sebenarnya adalah rakan subahat lelaki berkenaan).

6. Pihak 'kastam' memberitahu anda bahawa terdapat bungkusan atas nama anda.

7. Namun demikian, bungkusan itu hanya akan dilepaskan sesudah anda sebagai penerima membayar cukai atas bungkusan itu. Mereka menyuruh anda memasukkan sejumlah wang ke dalam sebuah akaun bank.

Selain modus operandi 4 - 7 di atas, lelaki itu juga mungkin mendakwa bahawa dia ingin sangat menemui anda dan akan terbang ke Malaysia dengan segera. Anda kemudiannya menerima panggilan daripada 'kastam', yang memberitahu anda bahawa kekasih anda itu ditahan kerana gagal menjelaskan cukai barang atau membawa masuk wang tunai melebihi hаԁ dan tidak mengisytiharkannya dalam Borang Kastam 22 (pengisytiharan wang tunai).

Maka bagi membolehkan pihak 'kastam' melepaskan kekasih anda, anda dikehendaki membayar denda. Denda itu perlu dibayar ke dalam sebuah akaun bank.

Berhati-hatilah.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Adakah makanan organik yang dijual benar-benar organik?

Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan mengenai makanan organik yang kini semakin popular di kalangan pengguna yang ingin menjaga kesihatan. Namun bagaimanakah caranya memastikan kesahihan dakwaan pihak yang mengeluarkan makanan organik tersebut?

Adakah makanan organik yang dijual itu benar-benar ’organik’ mengikut piawaian yang terpakai padanya? Atau adakah label ’organik’ itu hanya diperalatkan bagi menjual produk substandard pada harga yang tinggi?

Bukan apa, kita tidak mahu pihak-pihak tertentu memperalatkan keinginan pengguna untuk menjaga kesihatan dengan menjual produk-produk yang didakwa sebagai makanan organik tetapi sebenarnya adalah makanan yang tidak memenuhi standard sebagai makanan organik.

Dalam hal ini, kita sedia maklum bahawa harga makanan organik adalah lebih mahal daripada harga makanan biasa. Contohnya, sos organik adalah lebih mahal daripada sos ’bukan organik’.

Jadi, jika terdapat pengeluar yang mendakwa menghasilkan makanan organik tetapi sebenarnya tidak mengikut piawaian makanan organik yang sebenar, maka pengguna sendiri yang rugi apabila mereka membayar harga premium bagi produk yang sebenarnya tidak pun premium.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Sunday, February 20, 2011

Bukan Semua yang Datang dari Tanah Arab adalah Sunnah Rasulullah SAW

Ya, moga kita dijauhkan dari segala sifat mazmumah.

Saya juga ingin menarik perhatian rakan-rakan mengenai isu shisha yang dibangkitkan dengan lebih tegas baru-baru ini.

Sebenarnya, kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) menunjukkan bahawa menghisap shisha adalah jauh lebih berbahaya daripada menghisap rokok.

Realitinya adalah shisha 400 kali ganda lebih berbahaya daripada rokok.

Ini kerana shisha mengandungi karbon monoksida, nikotin dan tar yang kepekatannya lebih tinggi berbanding dengan rokok.

Kajian juga menunjukkan bahawa satu ‘pusingan’ menghisap shisha bersamaan dengan menghisap sekotak rokok!

Jangan pula selepas ini, ada yang mendakwa bahawa menghisap shisha adalah sunnah Rasulullah SAW.

Usahlah kita menyangka bahawa hanya kerana sesuatu tabiat ataupun amalan itu datang dari Tanah Arab, maka ia secara automatik adalah sunnah Rasulullah SAW. Bukan itu hakikatnya.

Kekeliruan ini samalah juga dengan kekeliruan di kalangan umat Islam Malaysia yang menyangka bahawa semua muzik yang berbunyi Arab adalah nasyid.

Moga kita tidak terus terkeliru dan moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk mencontohi serba sedikit sunnah Rasulullah SAW, menurut kemampuan masing-masing.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

AWAS: Pergi haji tanpa melalui Tabung Haji?

Syarikat tawar khidmat haji disiasat

YAN 20 Feb. - Kerajaan akan menyiasat sebuah syarikat yang dikatakan menawarkan perkhidmatan haji di negara ini tanpa melalui Tabung Haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar).

Katanya, ini kerana di Malaysia, hanya Tabung Haji yang diberi kuota haji oleh kerajaan Arab Saudi dan bukan terus kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini.

"Syarikat yang menjadi ejen perkhidmatan itu perlu mendapatkan kebenaran dan kuota daripada Tabung Haji sebelum menjual perkhidmatan itu kepada orang ramai dan ia di bawah seliaan Tabung Haji.

"Ia bukan soal nak halang dan untuk monopoli perkhidmatan haji ini, tetapi kita kena berhati-hati dengan pakej yang ditawarkan oleh pihak berkenaan dan bimbang akan membawa padah kepada rakyat kita akibat tidak mempunyai kebenaran visa di Mekah nanti.

"Kerajaan Arab Saudi memandang serius mengenai kuota haji dan umrah yang diberikan kepada setiap negara. Saya bimbang jika ada rakyat negara ini terperangkap di sana nanti ekoran tidak memiliki visa yang sah akan menimbulkan masalah besar kepada negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Kering dekat sini hari ini.

Difahamkan, syarikat berkenaan yang berpangkalan di China dan tidak berdaftar di bawah Tabung Haji itu menawarkan perkhidmatan haji dan umrah dengan cepat dan bayaran yang dikenakan RM15,000 bagi seorang jemaah haji.

Mereka yang berminat dikatakan boleh membuat tempahan melalui laman web yang disediakan dengan mudah dan pantas.

Jamil Khir meminta rakyat negara ini yang berdaftar dengan Tabung Haji supaya bersabar menunggu giliran dan jangan mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang membolehkan mereka dapat menunaikan ibadat haji di Tanah Suci dengan cepat.

"Saya berharap orang ramai berhati-hati dengan tawaran seperti ini dan jangan sampai duit simpanan hilang dan haji tak dapat disebabkan tindakan terburu-buru mereka," kata Jamil Khir. - BERNAMA

Thursday, February 17, 2011

Suami isteri ditipu 'doktor' dapat kembali wang RM14,000

Dari: Utusan Malaysia

MELAKA 17 Feb. - Sepasang suami isteri yang kerugian kira-kira RM14,000 kerana ditipu doktor palsu, kini boleh menarik nafas lega apabila wang tersebut dikembalikan kepada mereka.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan sebuah syarikat Vibracare ASL membayar RM14,000 iaitu sama jumlah yang dituntut oleh Sarip Sayed, 61, dan isterinya, Salihah Biran, 54, kepada syarikat tersebut dua tahun lalu.

Presidennya, D. Pretam Singh dalam penghakimannya memberitahu, hasil maklumat membuktikan pasangan suami isteri itu telah ditipu oleh syarikat terbabit yang menawarkan pelbagai jenis ubat namun gagal menyembuhkan penyakit mereka.

"Oleh itu, TTPM mengarahkan pihak penentang supaya membayar sebanyak RM14,000 kepada penuntut bermula tarikh penghakiman yang dibuat hari ini.

"Apa yang saya boleh katakan, penuntut sendiri perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan apatah lagi ia melibatkan wang," katanya pada sidang TTPM di Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Sementara itu Salihah ketika ditemui memberitahu, kali pertama dia dan suami bertemu dengan 'doktor' terbabit ialah pada 14 Oktober 2009 di rumah lelaki itu di Taman Merak, Bukit Katil di sini.

"Apabila sampai di rumahnya, lelaki itu yang memakai stetoskop di leher memperkenalkan dirinya sebagai 'doktor' dan dia kemudian mengambil gambar mata saya dan memaparkannya di skrin besar sebelum menjelaskan saya turut mempunyai penyakit buah pinggang yang perlu dirawat segera sebelum melarat," katanya.

Kata Salihah lagi, sepanjang sesi penerangan itu, lelaki tersebut tidak berhenti-henti menyebut nama Allah dan berjanji akan merawat penyakit mereka sehingga sembuh tetapi perlu menggunakan ubatan herba yang dibekalkan pada harga RM14,000.

Kata Salihah, lelaki itu juga bijak memujuk dia dan suami supaya mengeluarkan simpanan di Tabung Haji dengan mengatakan tidak guna menunaikan haji sekiranya badan tidak sihat dan selalu sakit-sakit.

Tambahnya, selepas sebulan menggunakan 'ubat' yang diberikan oleh lelaki terbabit, penyakit yang dihadapi semakin teruk dan terkejut apabila 'doktor' terbabit mengarahkannya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Menurut Salihah, kata-kata lelaki tersebut berbeza dengan jaminan yang pernah dibuatnya sebelum ini yang berjanji akan merawat mereka sekeluarga sehingga sembuh.

"Setelah berasa tertipu, saya dan suami kemudian memfailkan tuntutan di TTPM pada 8 Februari 2009 dan membuat laporan polis pada 8 Januari 2010," katanya.

AWAS: Phishing

Berhati-hatilah apabila anda menghadapi situasi yang berikut:

1. Mangsa menerima emel dari banknya.

2. Penghantar emel itu meminta mangsa klik pada pautan yang disertakan dalam emel tersebut.

3. Mangsa pun klik dan terus log in seperti biasa.

4. Mangsa terkejut apabila tidak lama kemudian, wang dikeluarkan dari akaunnya.

Sebenarnya, taktik penipuan ini dipanggil 'phishing'. Mangsa menerima emel yang kononnya datang dari bank yang mana dia adalah salah seorang pelanggannya.

Dalam emel itu, mangsa sama ada disuruh:

1. Mengemelkan kepada penghantar emel itu maklumat peribadinya, seperti username dan kata laluan. Penghantar emel mengatakan ini perlu dilakukan kononnya bagi mengemaskini pangkalan data bank terbabit; atau

2. Klik pada pautan yang disertakan dalam emel. Apabila mangsa klik pada pautan itu, laman web yang muncul menyerupai laman web bank berkenaan. Seterusnya, mangsa disuruh log in dengan menggunakan username dan kata laluannya dalam laman web palsu itu. Penghantar emel mengatakan ini perlu dilakukan kononnya bagi mengemaskini pangkalan data bank terbabit.

Ringkasnya, objektif phishing adalah bagi mendapatkan maklumat peribadi pengguna perbankan internet, iaitu username dan kata laluan.

Setelah kedua-dua maklumat itu diperoleh, penjenayah akan menggunakan maklumat berkenaan bagi mencuri wang dari akaun mangsa.

Statistik terkini oleh Cyber Security Malaysia menunjukkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 900 laman 'phishing' yang menjadikan pengguna perbankan internet Malaysia sebagai sasaran.

Berhati-hatilah.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Wednesday, February 16, 2011

Penawar Sifat Dengki

Perasaan dengki natijah sifat ingin bersaing yang tidak kena pada tempatnya.

Maka saya ingin mencadangkan tiga 'penawar' bagi perasaan dengki, iaitu:

1. Apabila kita dengki melihat orang lain yang lebih tinggi kedudukannya daripada kita dari segi keduniaan, bandingkanlah diri kita dengan orang yang lebih rendah kedudukannya daripada kita. Selain itu, dari segi ibadah pula, bandingkanlah diri kita dengan orang yang lebih kuat ibadahnya daripada kita.

2. Usah bersaing dengan orang lain, tetapi bersainglah dengan diri kita sendiri. Ini bermaksud bahawa kita berusaha memperbaiki diri kita sendiri, yakni persaingan ditumpukan pada bersaing dengan nafsu sendiri, bukan bersaing dengan orang lain. Pada masa yang sama, sentiasalah bekerjasama dengan baik dengan semua orang.

3. Penawar ketiga, iaitu penawar yang paling ampuh adalah membersihkan hati. Ini kerana apabila hati seseorang itu baik, maka seluruh anggotanya turut elok (intipati hadis Rasulullah SAW).

Masya Allah, saya sendiri masih bergelumang dengan banyak sifat mazmumah dan nafsu amarah.

Penawar di atas bukan hanya ditujukan kepada rakan-rakan, tetapi juga kepada diri saya sendiri yang perlu membersihkan hati yang kotor ini.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Tuesday, February 15, 2011

Antara punca orang Melayu begitu mudah terpedaya dengan skim cepat kaya

Saya dirundung kesedihan apabila membaca mengenai nasib pihak yang terkena buatan orang. Inilah kerja sesetengah orang Melayu, asyik santau dan menyihir sana sini. Tidak sedarkah kita menyihir adalah dosa besar?

Adakah kita fikir bahawa kita akan hidup selamanya dan takkan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita di dunia?

Sebenarnya, inilah salah satu punca ramai orang Melayu begitu mudah mempercayai skim cepat kaya.

Skim cepat kaya yang saya maksudkan di sini adalah skim yang sudah pun banyak dihebahkan melalui media dan bukannya skim-skim baharu, yang mana mereka yang terpelajar pun mungkin tertipu.

Meskipun operasi skim-skim terbabit sudah sekian lama disiarkan melalui media, namun masih ramai di kalangan orang Melayu yang begitu mudah terpedaya.

Salah satu puncanya adalah kepercayaan pada unsur khurafat dan sihir masih menebal dalam jiwa orang Melayu.

Meskipun mereka tidak mengamalkannya, namun kepercayaan pada unsur-unsur tersebut masih bertapak kukuh dalam etos mereka.

Kepercayaan pada perkara khurafat menyebabkan minda ramai orang Melayu begitu mudah percaya pada perkara-perkara lain yang tidak masuk akal, termasuklah skim cepat kaya.

Ringkasnya, kepercayaan pada unsur khurafat menyebabkan kemampuan penaakulan menjadi lemah.

Penaakulan yang lemah pula menyuburkan sifat begitu mudah dan begitu ingin mempercayai perkara yang tidak logik.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

AWAS: Logo Suruhanjaya Sekuriti

Saya ingin menasihatkan kawan-kawan supaya berhati-hati jika menerima tawaran yang berkaitan dengan pelaburan, yang mana tawaran itu memperalatkan logo Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan tujuan menyokong pengesahan sesuatu laman web promosi, produk pelaburan ataupun program.

Berhati-hatilah dan rujuklah pada Suruhanjaya Sekuriti. Senarai syarikat dan individu yang telah diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti pelaburan, termasuk menyediakan nasihat pelaburan boleh diperoleh di laman web SC di www.sc.com.my.

Bagi urus niaga dalam mata wang pula, ia berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia dan memerlukan kelulusan bank pusat itu.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Larang jual minuman bergas

Dari: Berita Harian

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/02/16
Usaha kementerian galak pemakanan berkhasiat kepada pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran akan menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Kantin Sekolah Sihat meliputi larangan menjual minuman berkarbonat berjenama minuman bertenaga di kantin atau mesin layan diri di sekolah. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata garis panduan itu turut menetapkan minuman berkenaan tidak digalakkan penjualannya di kantin atau koperasi sekolah. Beliau berkata, penyediaan garis panduan itu akan dimuktamadkan bersama antara kedua-dua kementerian bagi memastikan hanya makanan dan minuman berkhasiat dijual di sekolah.

Ketetapan itu katanya, berdasarkan kajian pakar mendapati kandungan utama minuman berkarbonat dan bertenaga mengandungi kadar gula yang dikategorikan tidak ada khasiat.

“Penyediaan garis panduan itu menyatakan sokongan gesaan melarang penjualan minuman berkarbonat dan bertenaga di kantin dan koperasi sekolah serta mesin layan diri seperti didedahkan Berita Harian, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Rosnah berkata, bagi mengelak isu penjualan minuman itu berpanjangan, pihaknya mengharapkan hanya sajian disenaraikan pada garis panduan berkenaan dibenarkan dijual di kantin dan koperasi sekolah.
Beliau berkata, berdasarkan panel maklumat pemakanan pada label minuman ringan berkarbonat dan bertenaga, kandungan gula dalamnya tinggi iaitu 20 hingga 40 gram.

Jumlah itu bersamaan empat hingga lapan sudu teh bagi setiap 325 mililiter bungkusan atau tin.

Katanya, kementerian menyarankan rakyat mengambil minuman tanpa gula atau hanya menambah satu sudu teh gula bagi setiap cawan minuman jika perlu.

“Pengambilan gula berlebihan boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka panjang termasuk meningkatkan berat badan sehingga menyebabkan kegemukan,” katanya.

Akhbar ini dalam laporannya menyatakan minuman berkarbonat dengan jenama minuman bertenaga dijual secara berleluasa di kantin atau mesin layan diri.

Senario itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa kerana khuatir anak mereka disajikan dengan makanan dan minuman tidak berkhasiat di sekolah.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Chin Yit Siew, berkata pengambilan berlebihan minuman bertenaga menyebabkan pelbagai penyakit antaranya kencing manis dan kegemukan

RASUAH: Pegawai, 2 anggota JPJ diberkas

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 15 Feb. - Kegiatan seorang pegawai dan dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerima rasuah RM500 untuk membatalkan saman pesalah trafik terbongkar apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketiga-tiga mereka ditahan bersama seorang awam yang bertindak sebagai orang tengah untuk meminta wang daripada pesalah trafik dalam operasi SPRM negeri di Shah Alam, Selangor.

Jurucakap SPRM negeri berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan daripada seorang orang awam di negeri ini.

Katanya, pengadu mendakwa terdapat individu meminta rasuah jika ingin membatalkan saman yang dikeluarkan terhadapnya oleh jabatan itu, baru-baru ini.

"SPRM kemudian menahan individu terbabit yang disyaki orang tengah selepas dia mengambil wang berjumlah RM500 daripada pengadu.

"Hasil soal-siasat lelaki itu mengaku dia diarahkan oleh anggota JPJ terbabit untuk mengambil wang daripada pengadu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu, SPRM menahan seorang pegawai JPJ dan dua anggotanya di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam.

Difahamkan, pegawai dan anggota JPJ tersebut bertugas di Ibu Pejabat JPJ Selangor di Padang Jawa, Klang.

Jelas jurucakap berkenaan, kesemua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun dan mereka kini ditahan di lokap SPRM negeri untuk siasatan lanjut.

"Buat masa ini kita masih menyiasat tempoh pembabitan pegawai dan anggota berkenaan dalam kegiatan rasuah serta kesalahan lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Monday, February 14, 2011

AWAS: Gajah Keramat?

Wilayah: Puja 'gajah' wat Siam
Oleh Rahmat Othman
bhnews@bharian.com.my
2011/02/15


Siew menunjukkan sebahagian tebu dan pisang yang diletakkan berhampiran gajah hiasan di wat Watthai Pradit Tharam.Kaki judi Melayu amal khurafat bawa tebu, pisang ke Watthai Pradit Tharam

KUALA NERANG: Akibat terlalu taksub dengan perkara khurafat, sekumpulan kaki ekor yang ingin cepat kaya sanggup membawa tebu dan pisang untuk menjamu dua ekor gajah hiasan yang terletak di pintu masuk Wat Siam, di Kampung Baru Padang Sanai, dekat sini. Tindakan kaki ekor berkenaan yang membawa tebu dan pisang untuk menjamu gajah hiasan di Watthai Pradit Tharam itu menimbulkan rasa kurang senang masyarakat keturunan Siam di kampung berkenaan. Gajah diperbuat daripada simen setinggi kira-kira 2.5 meter itu dikatakan menjadi tumpuan kaki judi selepas mendakwa seorang kaki ekor mendapat habuan RM100,000 apabila kononnya mendapat mimpi nombor bertuah selepas mengunjungi gajah itu kira-kira lima tahun lalu.

Berikutan dakwaan itu, ramai kaki ekor berkunjung ke situ membawa tebu dan pisang untuk dihidangkan kepada gajah itu sambil berharap mendapat mimpi nombor ramalan yang dikatakan boleh mengubah nasib seseorang.

Malah, ada yang beranggapan gajah itu keramat yang mampu memberi keuntungan besar dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun perbuatan tidak bermaruah itu menimbulkan keresahan di kalangan penduduk apabila pengunjung terbabit meninggalkan pisang dan tebu sehingga menyebabkan kawasan sekitar pintu itu kotor.
Ahli Jawatankuasa wat berkenaan, Siew Kim, 50, berkata, perbuatan kaki ekor itu menyebabkan ramai yang tidak senang dengan senario berkenaan wat berkenaan adalah rumah ibadat kepada penganut buddha berketurunan Siam di kawasan itu.

"Kami sedih dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan berharap ia segera dihentikan. Perbuatan mereka membawa tebu dan pisang berkenaan menyebabkan kawasan itu kotor dan berbau," katanya yang tinggal kira-kira 100 meter dari wat itu.

Seorang lagi penduduk, Goh Ai Eng, 70, berkata dia ada mendengar cerita mengenai dakwaan ada kaki ekor yang mendapat habuan selepas mengunjungi gajah hiasan itu.

"Saya percaya disebabkan ramai yang datang ke situ tidak mustahil ada yang bernasib baik 'menikam' nombor yang tepat, tetapi bukanlah disebabkan gajah itu keramat tetapi mungkin berlaku secara kebetulan," katanya.

Timbalan Ketua Pelatun RELA Kampung Baru Padang Sanai, Awang Had Saad, 50, berkata, lebih menyedihkan kerana orang Melayu terbabit dalam perbuatan itu.

"Kita percaya mereka bukan penduduk dari daerah ini, tetapi orang luar. Mereka bukan saja datang pada waktu siang, tetapi ada yang sanggup datang pada waktu malam atau awal pagi.

Ketua Masyarakat Siam Malaysia, Senator Bon Som Inong, berkata, beliau ada mendengar mengenai perbuatan kaki nombor ekor di wat berkenaan.

Sunday, February 13, 2011

AWAS: Tanah Kerajaan Negeri

Saya ingin menasihatkan kawan-kawan supaya berhati-hati jika berhadapan dengan situasi berikut:

1. Anda diberitahu oleh pihak tertentu bahawa sebuah kerajaan negeri menawarkan tanah pertanian kepada mereka yang berminat.

2. Anda ditunjukkan surat kelulusan lot-lot tanah pertanian itu yang kononnya ditandatangani oleh pegawai kanan kerajaan negeri.

3. Malah kepala surat yang digunakan adalah kepala surat pejabat Menteri Besar negeri itu.

4. Maka anda ditawarkan peluang bagi memajak tanah tersebut pada harga RM10,000 seekar.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Thursday, February 10, 2011

Antara punca mengapa anak muda menyambut Hari Valentine

Sempena bulan Februari ini, saya ingin menarik perhatian rakan-rakan mengenai isu yang masih menghantui umat Islam di Malaysia, iaitu sambutan Hari Valentine.

Sebenarnya, adalah menghairankan mengapa umat Islam di Malaysia, khususnya orang Melayu cukup suka meniru elemen budaya Barat yang tidak membawa manfaat, malah kemudaratan.

Terdapat juga unsur dalam budaya Barat yang bersifat positif, seperti kemajuan dalam ilmu sains dan teknologi. Tetapi malangnya adalah orang Melayu lebih suka meniru unsur yang bobrok, termasuklah sambutan Hari Valentine.

Sambutan Hari Valentine bukan sahaja menjadi jalan kepada maksiat, tetapi juga mengarah kepada pembaziran wang dan juga masa. Puncanya?

Ya, antara punca anak muda begitu galak menyambut Hari Valentine adalah budaya dan sistem pendidikan yang kini diamalkan oleh ramai ibu bapa Melayu.

Mereka kini suka memberikan kebebasan berlebihan kepada anak-anak, kononnya itu amalan masyarakat Barat yang berjaya menjadikan anak-anak lebih kritis, berfikiran terbuka dan bersemangat tinggi bagi mencapai kejayaan.

Anak-anak tidak ditegur apabila melakukan kesalahan, malah dibiarkan begitu sahaja, kononnya bagi membangunkan kemahiran berfikir mereka.

Hakikatnya adalah ibu bapa tersebut hanya meniru elemen negatif dalam sistem pendidikan Barat dan mengabaikan unsur positifnya. Selain itu, mereka salah faham tentang mekanisme keseluruhan dalam sistem pendidikan itu.

Ini tidaklah bermaksud bahawa saya menidakkan sistem pendidikan Islam, malah itulah yang paling utama. Namun segala yang baik itu milik Islam. Selagi sesuatu perkara dan amalan itu adalah baik dan tidak bercanggah dengan Islam, maka ia boleh diamalkan.

Berbalik pada ibu bapa Melayu yang kini memberikan kebebasan melampau kepada anak-anak, kononnya supaya anak-anak menjadi individu yang cemerlang. Sebenarnya, mereka hanya meniru unsur yang negatif dan mengabaikan yang positif.

Buktinya, perhatikan pula ibu bapa yang menerapkan unsur positif dalam pendidikan Barat bagi membesarkan anak-anak mereka. Anak-anak mereka lazimnya berkelakuan baik dan pada masa yang sama, tidak pula melupakan ajaran Islam.

Ini berbeza dengan sesetengah ibu bapa Melayu yang hanya menerapkan unsur negatif, hinggakan anak-anak mereka akhirnya tidak dapat membezakan antara baik dan buruk, lantas mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam tabiat yang hanya merugikan diri sendiri, termasuklah menyambut Hari Valentine.

Kesimpulannya, memberikan kebebasan berlebihan kepada anak-anak tidak membantu membangunkan kemahiran berfikir, tetapi hanya akan merosakkan akhlak mereka apabila mereka tidak diberikan panduan mengenai dinamisme kehidupan.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

AWAS: Jemaah Umrah Ditipu

Dua ejen dituduh tipu wang jemaah


KUALA TERENGGANU: Dua ejen pelancongan dari Kelantan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana didakwa melakukan pecah amanah dan menipu wang bayaran pakej mengerjakan umrah ke Makkah bernilai RM766,500.

Tertuduh, Mustafar Ismail, 56, dari Kampung Bukit Cina, Kok Lanas, Kota Bharu dan Johari Kamaruddin, 35, dari Kampung Kedai Lalat, Kota Bharu, dituduh secara berasingan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan. Mustafar yang memakai kopiah putih, berbaju kemeja kelabu dan berseluar hitam kelihatan mengangguk ketika lapan tuduhan pecah amanah dan menipu membabitkan 219 jemaah dengan menawarkan pakej umrah RM3,500 setiap seorang dibacakan ke atasnya. Dia yang didakwa melakukan semua kesalahan itu di Besut bermula Februari hingga Jun tahun lalu, tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.

Berikutan itu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM55,000 bagi semua pertuduhan berkenaan.

Johari pula menghadapi satu tuduhan dan didakwa melakukan kesalahan sama pada 1 Jun 2009, jam 3.20 petang di depan Maybank cawangan Jertih membabitkan wang RM5,500.

Tertuduh tidak mengaku salah dan minta dibicarakan dan mahkamah mengenakan ikat jamin RM6,000.
Pendawaan ke atas kedua-dua tertuduh dijalankan Inspektor Faisal Abdullah di depan Majistret Nor Adila Abd Latiff.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 10 tahun, denda dan sebat. Nor Adila menetapkan 30 Mac ini tarikh sebutan semula kes - Berita Harian

Laporan palsu: Taktik jahat menyembunyikan perzinaan

Awas dengan penzina yang menggunakan taktik yang berikut:

1. Selepas anak haram dilahirkan, mereka sengaja meninggalkan bayi yang tidak bersalah itu di tempat tertentu.

2. Mereka kemudiannya berpura-pura menjumpai bayi itu.

3. Laporan polis kemudiannya dibuat dengan menyatakan bahawa mereka kononnya menjumpai bayi tersebut di kawasan terbabit.

4. Laporan polis palsu dibuat bagi mengabui mata pihak berkuasa daripada hakikat bahawa sebenarnya, bayi itu adalah anak mereka.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Sunday, February 6, 2011

AWAS: Emas Presiden Tunisia

Saya ingin menasihatkan kawan-kawan supaya berhati-hati jika berhadapan dengan situasi berikut:

1. Anda menerima emel, yang mana pengirimnya memberitahu anda bahawa baru-baru ini, Presiden Tunisia digulingkan oleh gelombang kebangkitan rakyat.

2. Seterusnya, pengirim emel mengatakan bahawa sebelum digulingkan, Presiden Tunisia dan kroninya sempat melarikan bertan-tan emas dari bank pusat negara itu.

3. Emas tersebut sudah pun dijual di pasaran gelap bagi mendapatkan tunai.

4. Kini, Presiden Tunisia melalui ejennya sedang mencari peluang bagi ‘membersihkan’ wang haram itu atas nama pelaburan.

5. Maka anda dijemput menjadi proksi kepada Presiden Tunisia bagi melaburkan wang itu di negara anda.

6. Sebagai balasan, anda akan menerima peratusan tertentu dari nilai ‘pelaburan’ terbabit.

Usah tertipu jika anda menerima tawaran seperti ini. Sekalipun ia adalah tawaran yang benar (kebarangkaliannya amat tipis sekali), ia tetap menyalahi undang-undang kerana ia membabitkan pengubahan wang haram.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Kurang manis tetapi harga sama?

Ada satu perkara yang saya fikir perlu diberikan perhatian. Meskipun ia seakan isu kecil, namun implikasi kewangannya (yakni bagi keseluruhan komuniti pengguna) adalah besar.

Ia juga menunjukkan betapa etika perniagaan yang baik masih tidak dihayati oleh ramai peniaga di Malaysia. Jadi, isu ini perlu ditangani kerana jika tidak, ia akan terus membawa kepada ketidakdilan pada pengguna, sama ada dalam isu ini atau lain-lain isu.

Isu yang saya maksudkan adalah minuman kurang manis. Ya, isu ini pernah dibangkitkan beberapa minggu yang lepas. Namun adakah ia sudah diselesaikan secara tuntas? Isu ini lebih ketara bagi pengusaha makanan, yang mana mereka mengenakan caj yang sama bagi minuman kurang manis.

Apa yang menghairankan adalah apabila harga gula naik, mereka cepat-cepat ingin menaikkan harga minuman, walaupun kenaikan yang mereka lakukan tidak setara dengan kenaikan sebenar gula (effective increase).

Sebaliknya, tatkala orang memesan minuman kurang manis (iaitu kurang gula digunakan), mereka tidak pula mengurangkan harga bagi minuman itu.

Jika kenaikan harga gula dijadikan alasan bagi menaikkan harga minuman, maka bukankah harga perlu diturunkan apabila pengguna memesan minuman kurang manis, yang mana kuantiti gula yang digunakan berkurangan?

Selain itu, isu ini tidak hanya terpakai bagi pengusaha makanan, tetapi juga para pengilang.

Terdapat syarikat yang kini mengeluarkan bahan makanan dengan mendakwa bahawa makanan yang mereka keluarkan adalah kurang manis.

Ini dilakukan bagi menarik pembelian daripada pengguna, yang mana pengguna kini lebih peka tentang keperluan menjaga kesihatan.

Persoalannya adalah adakah harga bahan makanan/minuman kurang manis ini lebih murah daripada bahan makanan/minuman yang menggunakan kuantiti gula yang normal?

Kita tidak mahu pihak-pihak tertentu memperalatkan keinginan pengguna bagi menjaga kesihatan dengan menjual produk yang didakwa selaras dengan kehendak pengguna, tetapi pada masa yang sama, tidak adil kepada pengguna dari segi harga yang ditawarkan.

Memanglah berniaga hendak untung, tetapi marilah kita sama-sama sentiasa mencapai situasi menang-menang.

Usahlah ingin mencapai margin keuntungan yang tinggi dengan cara menzalimi para pengguna.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Thursday, February 3, 2011

AWAS: Taktik Terbaharu Merompak, Menculik dan Merogol

AWAS:

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi berikut:

1. Anda terserempak dengan seorang budak kecil yang sedang menangis di jalanan.
2. Kanak-kanak itu menunjukkan alamat rumahnya pada anda.
3. Dia meminta anda membawanya ke alamat itu.

Jangan membawanya ke alamat itu. Sebaliknya, bawalah kanak-kanak berkenaan ke balai polis berhampiran.

Ketahuilah bahawa ini adalah taktik terbaharu penjenayah bagi merompak, menculik dan merogol.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Tuesday, February 1, 2011

Caj pengurusan bantuan banjir?

Awas:
Kepada mangsa banjir, berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi berikut:
1. Anda didatangi individu yang mengaku datang dari agensi kerajaan.

2. Individu itu berkata bahawa dia datang bagi menilai dan menguruskan bantuan kepada setiap mangsa banjir.

3. Selepas maklumat peribadi anda diambil, mereka akan meminta sejumlah wang, kononnya bagi tujuan memudahkan urusan penyaluran bantuan banjir.

4. ‘Caj pengurusan’ inilah sebenarnya elemen utama penipuan mereka. Mereka menyamar sebagai pegawai dari agensi berkenaan bagi mendapatkan ‘caj pengurusan’ ini.

5. Selepas ‘caj pengurusan’ dibayar, individu itu berjanji bahawa mangsa akan mendapat bantuan dalam masa terdekat.

6. Namun janji tinggal janji. Bantuan tidak tiba, duit yang dibayar sebagai ‘caj pengurusan’ pula hangus begitu sahaja.

Maka saya menyeru kepada kawan-kawan supaya berhati-hati dengan taktik penipuan ini. Jika anda didatangi oleh seseorang yang mengaku sebagai pegawai kerajaan, pastikan terlebih dahulu bahawa dia benar-benar seorang pegawai dari agensi berkenaan. Rujuklah pada agensi itu bagi mendapatkan pengesahan tentangnya dan juga caj pengurusan itu.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Awas, wabak melanda

AMARAN : Wabak demam dan batuk sedang melanda

Dua minggu lepas saya demam dan batuk. Minggu lepas anak perempuan saya pula yang kena. Minggu ni anak lelaki saya. Tempat kerja saya pun sama, seorang demi seorang MC, ada yang masuk wad. Rupa-rupanya di Singapura dah isytihar wabak batuk, selsema dan demam sedang melanda, tapi kenapa tak kecoh di Malaysia? Mungkin semua pihak dan media sedang sibuk di DUN Tenang agaknya.

Kawan saya yang masuk hospital kata, doktor menasihatkan para pesakit jangan sekali-kali makan buah …… yang banyak terdapat sekarang kerana ianya banyak mengandungi bahan kimia dan memburukkan lagi kesihatan kita semua.

Alhamdulillah, anak-anak saya sudah mula pulih. Banyakkan beri minum air kosong yang masak. Air kelapa amat baik untuk demam terbukti sejak dahulu dan secara saintifik, insyaAllah. Ada tanda demam, jumpa doktor terlebih dahulu untuk dapatkan diagnos dan rawatan

KOMEN OLEH ASHADI ZAIN:

Sama-sama kita berwaspada dengan wabak yang melanda. Jaga kebersihan.

Selain itu, tutup mulut ketika batuk dan bersin, dan pastikan tangan sentiasa bersih.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/