Wednesday, July 13, 2011

AWAS: Amil Palsu

MAIP perlu pantau amil palsu kutip fitrah


2011/07/13
KUANTAN: Warga bandar ini mahu Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MAIP) mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak tertentu terutama individu yang menyamar sebagai amil bagi mengutip zakat fitrah sepanjang Ramadan ini.

Mereka berpendapat tindakan tegas itu dapat menyekat kegiatan tidak bertanggungjawab, sekali gus memastikan hasil kutipan zakat fitrah itu disalur terus kepada golongan memerlukan seperti fakir miskin.
Kakitangan swasta, Hamid Isa, berkata kehadiran mereka harus dikekang kerana ia boleh menggugat kesejahteraan masyarakat Islam.
"Tindakan tegas yang dilaksanakan MAIP perlu kerana kita tidak mahu mereka mengaut keuntungan ketika masyarakat menunaikan kewajipan berzakat itu pada Ramadan ini," katanya.

Sementara itu, suri rumah, Salmiah Musa, pula meminta MAIP meningkatkan penguatkuasaan, sekali gus dapat menghalang pihak tidak bertanggungjawab yang menyamar sebagai amil untuk menipu orang ramai.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata individu yang tahan kerana menyamar sebagai amil akan dikenakan hukuman mengikut Seksyen 173 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang, No. 8 Tahun 1982.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM2,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya pada majlis cabutan bertuah `Ops Berkat' dan penyerahan zakat di bangunan MAIP, di sini, semalam.

Friday, July 8, 2011

AWAS: Empat lagi produk Taiwan disahkan tercemar DEHP

Empat lagi produk Taiwan disahkan tercemar DEHP
PUTRAJAYA 7 Julai - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan empat lagi produk makanan yang diimport dari Taiwan iaitu watermelon syrup, crystal sugar, aloe syrup dan yam syrup berjenama Top 1 serta jem mangga berjenama Good Day yang diedarkan oleh syarikat Top 1 F&B Sdn. Bhd. Malaysia, dicemari bahan kimia Di-(2 ethylhexyl) phthalate (DEHP).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menganalisis kesemua produk Taiwan yang diimport dan hasil kajian mendapati empat produk lagi dicemari bahan kimia DEHP.
Menurutnya, kementerian akan meneruskan pemantauan yang serius terhadap kemasukan dan penjualan produk dari negara itu bagi memastikan ia tidak mengancam kesihatan rakyat negara ini.
"Kementerian telah mengarahkan syarikat terbabit untuk menarik balik produk makanan tersebut dengan serta-merta dan semua penjual produk berkenaan juga dinasihatkan menghentikan penjualan produk tersebut.
"Sehubungan itu, kementerian akan terus melakukan pemantauan terhadap produk-produk yang diimport dari Taiwan bagi memastikan ia selamat untuk digunakan rakyat negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan 2010 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tiong Lai menggesa semua pihak yang terlibat dalam industri makanan supaya meningkatkan kawalan keselamatan makanan dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan produk yang dijual di negara ini selamat.
"Dengan ini, saya berharap segala maklumat berkenaan produk yang disyaki tercemar DEHP dilaporkan kepada pihak kementerian supaya kajian dan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan proaktif dan berkesan.
"Bagi pengguna yang telah membeli produk makanan yang telah tercemar pula dinasihatkan tidak memakannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan sampingan," katanya.
Maklumat lanjut termasuk senarai produk makanan keluaran Taiwan yang dicemari DEHP boleh didapati di laman web www.moh.gov.my atau http://fsg.moh.gov.my.
Orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/88833653.

KEPENGGUNAAN: Suri rumah mahu langsing hampir melecur

HAJAT seorang suri rumah untuk mendapatkan tubuh badan yang langsing terkubur apabila kulitnya hampir melecur selepas menjalani sesi rawatan yang keseluruhannya berharga RM8,800.
Semuanya gara-gara krim pelangsing badan yang digunakan oleh sebuah pusat kecantikan di Sri Petaling di ibu negara yang tidak sesuai dengan kulitnya.
Tham See Kaee, 31, mengalami saat mencemaskan apabila meronta-ronta dengan badannya berbalut dan cuba meminta pertolongan daripada kakitangan pusat kecantikan itu selepas ditinggalkan bersendirian selama 10 minit di dalam bilik rawatan.
Hasilnya, kulit di bahagian belakang badannya bertukar menjadi kemerah-merahan dan pedih.
Pemeriksaan doktor mengesahkan dia mengalami alahan terhadap krim yang digunakan.
Menurut See Kaee, sebelum rawatan bermula, dia telah memaklumkan kepada pihak berkenaan bahawa dia mempunyai alahan tertentu.
Tidak berpuas hati dengan keadaan itu, wanita terbabit meminta wangnya dipulangkan namun pihak pengurusan pusat itu enggan memberikan kerjasama.
Masalah itu menyebabkan See Kaee memfailkan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di ibu negara.
Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak yang mendengar kes tersebut baru-baru ini mengarahkan pusat kecantikan berkenaan membayar ganti rugi RM5,820 kepada See Kaee dalam tempoh 14 hari mulai tarikh keputusan itu dibuat.
Menceritakan semula kejadian itu, wanita itu berkata, segalanya bermula apabila dia dihampiri oleh kakitangan pusat kecantikan itu yang memperkenalkan diri sebagai May dan ditawarkan promosi rawatan muka dengan bayaran RM58 sahaja.
Namun setelah perbualan lanjut, dia dipujuk dengan tawaran untuk melangsingkan badan iaitu pakej 13 kali rawatan dengan harga RM1,988 dan dia bersetuju.
Beberapa hari kemudian ketika membawa suaminya ke pusat itu, jururunding kecantikan di situ berjaya pula mempengaruhi See Kaee dan suaminya untuk bersetuju dengan pakej yang lebih mahal iaitu RM8,800 bagi rawatan tanpa had selama setahun.
Katanya, pihak tersebut turut memberi jaminan bahawa wang akan dikembalikan sekiranya pelanggan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan mereka tetapi janji tersebut tidak dikotakan.