Tuesday, December 28, 2010

Pertanian bernilai tinggi dan jaminan makanan

Sebuah negara yang makmur mempunyai beberapa elemen, termasuklah pendapatan tinggi yang berdaya tahan dan keseimbangan antara pembangunan fizikal dan akhlak. Dalam konteks pendapatan tinggi yang berdaya tahan, pelbagai perkara dapat dilakukan bagi mencapainya, termasuklah melalui pertanian bernilai tinggi.

Pertanian bernilai tinggi di sini merujuk pada komoditi yang mempunyai nilai yang tinggi dari segi ekonomi, seperti getah dan kelapa sawit. Trend yang menunjukkan peningkatan harga getah dan kelapa sawit sudah semestinya meningkatkan lagi nilai ekonomi (economic value) komoditi berharga ini.

Penanaman dan penjualan getah, kelapa sawit dan lain-lain komoditi seumpamanya secara besar-besaran dapat memastikan pendapatan negara bertambah, selaras dengan hasrat kerajaan mahu menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi. Malah kelapa sawit dan getah menjadi penyumbang utama kepada eksport pertanian negara.

Langkah memberikan tumpuan pada penanaman komoditi seperti kelapa sawit dan getah sememangnya adalah langkah yang baik bagi melonjakkan pendapatan negara. Namun demikian, adalah penting juga bagi memastikan bahawa sentiasa terdapat keseimbangan antara tanaman komoditi dan tanaman makanan, terutamanya padi yang menjadi makanan ruji penduduk Malaysia dan juga penduduk di rantau ini.

Dalam konteks keselamatan negara, salah satu unsur strategik yang amat penting adalah jaminan makanan bagi rakyat jelata. Apabila negara terlalu bergantung pada sumber makanan dari luar, maka jaminan makanan terjejas, sekaligus menyebabkan gangguan dalam aspek keselamatan negara.

Kita juga dapat mengambil pengajaran dari krisis makanan global yang berlaku pada 2007/2008. Menurut kajian yang dilakukan, antara faktor yang dikatakan punca pada krisis makanan tersebut adalah penanaman tanaman bagi menghasilkan etanol yang kemudiannya diproses menjadi biodiesel.

Penggunaan biodiesel dengan matlamat mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau adalah usaha yang baik. Walau bagaimanapun, ia tetap perlu dipantau dan keseimbangan dicari supaya ia tidak menyebabkan pula krisis makanan. Antara faktor penanaman ‘tanaman biodiesel’ dapat menyebabkan kekurangan makanan adalah penanaman ‘tanaman biodiesel’ mengakibatkan kurangnya tanah yang tersedia bagi penanaman tanaman makanan.

Terdapat beberapa cara yang dapat dilakukan meningkatkan pendapatan negara dan pada masa yang sama, memastikan jaminan makanan terpelihara. Antaranya adalah melalui konsep pertanian bandar (urban farming).

Kesimpulannya, kedua-dua elemen, iaitu pendapatan tinggi yang berdaya tahan dan juga jaminan makanan diperlukan bagi memastikan negara membangun secara lestari dan masyarakat mendapat manfaat secara optimum.

Sunday, December 12, 2010

Keusahawanan sosial dan alam sekitar

Negara seluruh dunia baharu sahaja menamatkan persidangan berhubung dengan perubahan cuaca yang mempengaruhi kehidupan semua warga dalam tamadun manusia. Meskipun mereka tidak mencapai kata sepakat dari segi memanjangkan Perjanjian Kyoto menjangkau 2012, namun persetujuan berjaya dicapai dari segi mekanisme membantu negara membangun menangani kesan negatif ekonomi yang wujud ekoran pengurangan emisi karbon.

Perubahan cuaca ini dapat dilihat dalam kerangka pemeliharaan alam sekitar secara keseluruhannya, yang mana kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan kerosakan alam sekitar tidak menjadi semakin membarah, lantas menjejaskan kelangsungan umat manusia itu sendiri. Malaysia sebagai peserta global juga tidak terkecuali dari dipengaruhi kesan perubahan cuaca global yang menjangkau ke seluruh sarwajagat.
Dalam hal memelihara dan memulihara alam sekitar di Malaysia, pelbagai pendekatan telah digunakan bagi memastikan rakyat terus menikmati suasana hidup yang progresif dan pada masa yang sama, harmonis dengan alam sekitar. Namun begitu, pencemaran demi pencemaran terus berlaku, lantas menimbulkan keinginan bagi mencari kaedah-kaedah lain yang difikirkan lebih sesuai dan berkesan.

Salah satu kaedah yang kurang diberikan perhatian adalah keusahawanan sosial (social entrepreneurship), yang merujuk kepada penggunaan prinsip-prinsip keusahawanan bagi menyusun, mewujudkan dan mengurus tindakan yang bertujuan mencapai perubahan sosial. Dalam konteks ini, perubahan sosial yang dikehendaki adalah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Contoh masalah pencemaran yang dapat memanfaatkan keusahawanan sosial adalah pencemaran sungai yang semakin kronik dan bakal menyaksikan kemudaratan yang teruk jika ia tidak diselesaikan secara tuntas, berikutan air adalah sumber asas kehidupan. Maka penulis ingin mencadangkan pendekatan keusahawanan sosial sebagai salah satu cara bagi menangani masalah ini. Ini tidaklah bermakna pendekatan lain perlu dihentikan. Ia hanya bermakna kaedah ini berfungsi sebagai pelengkap kepada kaedah-kaedah yang sedang dan masih dilaksanakan.

Perniagaan-perniagaan berteraskan ekopelancongan dapat menjadi salah satu komponen dalam program keusahawanan sosial alam sekitar ini. Sungai dapat dijadikan tarikan pelancong dalam subsektor ekopelancongan, yang mana pada masa yang sama, sungai dipelihara dan dipulihara. Ini tidak bermaksud bahawa sungai ’diniagakan’ atau bertukar menjadi milik swasta. Sebaliknya, program ini cuma menumpukan pada projek ekopelancongan yang menjadikan sungai sebagai penarik dan wadah utamanya, bukan sebagai bahan niaga.

Bagi memastikan program ini mencapai kejayaan, beberapa unsur utama perlu dipenuhi. Pertama, ia perlu menjadi program dipacu komuniti (community-driven), iaitu komuniti di sekitar sungai itu terbabit secara langsung dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sungai serta pengwujudan projek ekopelancongan yang membabitkan sungai berkenaan. Kedua, kerajaan perlu terus melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan sedia ada, di samping menjadi pemudahcara antara komuniti dan sektor swasta. Ketiga, sektor swasta dapat berperanan memberikan bantuan kewangan dan teknikal sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat. Akhir sekali, badan-badan bukan kerajaan dapat berperanan sebagai sumber bantuan teknikal dan juga badan pemantau.

Sunday, November 21, 2010

Audit Rakyat dan Indeks Maqasid

Angin bertiup kencang bahawa pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi, lantas memberikan peluang kepada seluruh warga Malaysia bagi sekali lagi membuat pilihan dalam sistem demokrasi bagi memilih kerajaan yang akan memimpin dan menerajui kerajaan untuk tempoh lima tahun yang berikutnya.

Pilihanraya memang ditunggu-tunggu oleh mereka yang komited dalam memainkan peranan sebagai pengundi, demi memastikan negara dikepalai oleh kerajaan yang bertanggungjawab, seiring dengan hasrat bagi mewujudkan negara yang maju dalam semua lapangan, yakni jasmani, akli dan rohani

Namun bagaimanakah caranya bagi menilai keberkesanan ataupun kemampuan sesebuah kumpulan ataupun pakatan politik bagi memimpin negara bagi tempoh yang seterusnya? Salah satu cara yang biasa digunakan bagi menjangka prestasi seseorang ataupun sesebuah organisasi, termasuklah organisasi politik adalah dengan menilai prestasi lepas mereka, dengan andaian bahawa prestasi lampau dapat memberikan petunjuk bagi prestasi akan datang.

Dalam hal ini, terdapat beberapa kayu ukur ataupun penanda aras yang dapat digunakan oleh rakyat jelata bagi menilai prestasi sesebuah kerajaan, termasuklah laporan audit kewangan, indeks rasuah, laporan kebebasan media dan sebagainya. Semua laporan ini menjadi lebih relevan lagi dalam suasana yang mana kedua-dua organisasi politik utama negara, yakni Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri-negeri tertentu, yang mana tiada satu pun yang memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.

Maka prestasi kedua-dua organisasi politik dapat dinilai secara lebih adil kerana kedua-duanya berpeluang bagi memperlihatkan prestasi masing-masing dalam konteks menggerakkan kemajuan di negeri-negeri yang dipimpin.

Disebabkan keunikan suasana inilah maka penulis ingin mencadangkan satu lagi penanda aras ataupun kayu ukur diwujudkan bagi digunakan oleh rakyat demi menilai prestasi organisasi politik. Kayu ukur yang dimaksudkan adalah Audit Rakyat ataupun The People’s Audit. Audit Rakyat ini bukanlah audit kewangan (financial audit) ataupun audit pematuhan (compliance audit) semata-mata kerana jika tidak, ia akan bertindan pula dengan audit yang sudah dijalankan oleh Jabatan Audit Negara

Audit Rakyat yang ingin dicadangkan ini adalah sejenis audit yang merangkumi prestasi organisasi politik (malah boleh digunakan bagi semua jenis organisasi sekalipun) mengikut parameter tertentu. Salah satu parameter yang dapat digunakan adalah maqasid Syari’iyyah (matlamat Syariah), yang merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, nasab (keturunan) dan harta.

Melalui Audit Rakyat ini, prestasi organisasi politik dinilai berdasarkan sejauh mana mereka memenuhi kehendak maqasid Syari’iyyah, iaitu sejauh mana mereka mentadbir dan membangunkan negara dalam konteks memelihara agama, nyawa, akal, nasab (keturunan) dan harta.

Seterusnya, hasil Audit Rakyat ini dapat dicerakin menurut sistem pemarkahan tersusun, hingga membolehkan suatu angka dipadankan pada prestasi organisasi politik itu, lalu membentuk suatu indeks, yakni Indeks Maqasid Syari’iyyah. Misalnya, 1 dapat merujuk kepada prestasi terburuk (berlawanan dengan kehendak maqasid Syari’iyyah), manakala 5 pula dapat merujuk kepada prestasi terbaik (memenuhi kehendak maqasid Syari’iyyah).

Apabila kita dapat merasionalkan prestasi sesebuah organisasi politik kepada suatu angka tertentu (quantify), maka ia dapat membantu rakyat membuat keputusan bagi memilih organisasi politik yang difikirkan sesuai bagi menerajui Malaysia.

Wednesday, November 17, 2010

Diversification bagi mengurangkan kemalangan maut

Kemalangan demi kemalangan maut mencemarkan dada akhbar negara kita sejak kebelakangan ini. Pelbagai reaksi diutarakan dan tidak kurang juga ada yang mencadangkan pelbagai perkara bagi menangani masalah tersebut secara tuntas dan total.

Dalam hal ini, penulis ingin mencadangkan supaya diversification atau pempelbagaian dipertimbangkan sebagai salah satu cara bagi mengatasinya dengan lebih berkesan.

Pempelbagaian dalam konteks ini bermaksud mempelbagaikan perniagaan dengan tujuan mengurus risiko dan juga mempelbagaikan sumber pendapatan. Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang kaitan antara pempelbagaian dan kemalangan jiwa.

Ya, pempelbagaian yang ingin penulis cadangkan ini melibatkan usaha pempelbagaian di pihak syarikat bas dan pengendali kenderaan berat.

Seperti yang kita ketahui, ramai pihak menyalahkan pemandu bas atas kemalangan maut yang semakin menjadi-jadi. Mereka dikatakan sebagai tidak berdisiplin dan mengambil mudah nyawa penumpang, hatta nyawa mereka sekalipun. Sungguhpun dakwaan ini mempunyai kebenarannya, namun kita juga perlu berlaku adil pada mereka dan menilai juga akan aspek tekanan inflasi.

Inflasi menyebabkan kos sara hidup meningkat, lantas menyebabkan para pemandu bas terpaksa mengejar trip bagi memastikan mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi menampung hidup dalam persekitaran kos yang meningkat. Ini ditambah pula dengan faktor gaji yang tidak mencukupi, lalu memaksa mereka melakukan sebanyak mungkin trip, dari utara ke selatan, timur ke barat.

Di sinilah letaknya peranan pempelbagaian. Ini kerana inflasi yang disebutkan tadi bukan sahaja meningkatkan kos sara hidup para pemandu bas tetapi juga menyebabkan kos operasi syarikat bas melonjak. Dengan demikian, ini menjadi salah satu sebab syarikat bas tidak mampu menawarkan gaji yang lebih baik kepada pemandu bas (kos meningkat, pendapatan kekal sama).

Maka dengan melakukan pempelbagaian, iaitu dengan menceburkan diri dalam lain-lain bidang perniagaan yang ada kaitan langsung dengan perniagaan utama mereka (direct diversification) ataupun tidak (cross diversification), maka syarikat bas dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Justeru apabila pendapatan sudah berjaya ditingkatkan, di samping meningkatkan kecekapan operasi (bagi mengurangkan kos), maka syarikat bas dapat menawarkan gaji dan faedah yang lebih baik kepada para pemandu mereka (apabila peningkatan dalam pendapatan melebihi kenaikan kos).


Seterusnya, apabila skim gaji dan faedah yang diterima oleh pemandu bas bertambah baik, maka mereka tidak lagi dihambat keterpaksaan bagi bertempiaran ke sana sini mengejar trip, demi mendapatkan wang. Hasilnya, pemanduan dilakukan dengan lebih berhati-hati (kerana tidak perlu berkejaran ke sana sini) dan oleh yang demikian, kemalangan maut dapat dikurangkan.

Sememangnya strategi pempelbagaian bagi mengurangkan kemalangan maut bukanlah strategi jangka panjang. Ia adalah strategi jangka sederhana bagi memastikan ketidakmampuan menangani kenaikan kos tidak menjadi punca kemalangan maut.

Disebabkan itulah penulis ingin juga mencadangkan supaya strategi ini digabungkan juga dengan lain-lain strategi jangka pendek dan jangka panjang.
Ringkasnya, strategi yang ingin dicadangkan adalah:
1. Strategi jangka pendek dan juga jangka panjang – Pihak kerajaan dan syarikat bas memastikan pemandu sentiasa berkelakuan baik dan memastikan hanya pemandu yang mempunyai kebertanggungjawaban (accountability) dan sifat amanah yang tinggi yang diambil sebagai pemandu;
2. Strategi jangka sederhana – Pempelbagaian; dan
3. Strategi jangka panjang – Usaha oleh kerajaan dan industri pengangkutan bagi menambah baik seluruh sistem pengangkutan negara (bukan hanya sistem bas) bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang bersepadu, murah, selamat, cekap dan boleh diharap.

Sunday, November 7, 2010

Penggemblengan harta intelektual

Dalam usaha negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, pelbagai inisiatif digerakkan bagi melahirkan modal insan yang mampu menyumbang secara cekap dan berkesan, sejajar dengan hasrat bagi mencapai kemajuan mengikut acuan sendiri. Salah satu inisiatif berkenaan adalah penubuhan Perbadanan Bakat yang akan mula beroperasi pada Januari 2011.

Penubuhan sebuah entiti khusus bagi menggalakkan kepulangan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara adalah usaha yang baik bagi menambahkan jumlah tenaga pakar di Malaysia, sekaligus dapat merancakkan kegiatan ekonomi, antaranya melalui pelaburan langsung asing yang menjadikan kewujudan tenaga pakar sebagai salah satu kriteria sebelum mereka melabur di mana-mana negara.

Dalam pada kita berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, adalah wajar juga usaha digiatkan lagi bagi memanfaatkan modal insan sedia ada di Malaysia, yakni sumber manusia yang tidak pernah bekerja di luar negara, demi menyumbang bakti di tanahair sendiri.

Sudah semestinya ada di kalangan individu tersebut yang sebenarnya memang tergolong dalam kategori tenaga mahir bertaraf antarabangsa. Namun bakat yang ada masih terpendam dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ekoran kurangnya peluang dan pendedahan yang diberikan kepada mereka.

Maka dengan demikian, mereka seeloknya diberikan peluang yang lebih luas dan pendedahan yang lebih mantap supaya negara tidak mensia-siakan potensi yang ada dalam setiap rakyat Malaysia. Pelaksanaan program-program tertentu bagi mencungkil bakat dan kemahiran modal insan sedia ada sudah pasti dapat melengkapi usaha bagi membawa pulang modal insan dari luar negara, lantas mengoptimumkan mobilisasi modal insan ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara platform yang dapat dimanfaatkan bagi mencungkil bakat terpendam di kalangan rakyat adalah melalui pusat inovasi komuniti yang akan mula beroperasi di Sabah dan Sarawak, sebelum dibuka pula di lain-lain negeri.

Penubuhan Makmal Belia juga dapat berfungsi sebagai wadah yang efektif dalam usaha mencari idea baharu bagi menyerlahkan dan menonjolkan kebolehan anak tempatan hingga ke persada antarabangsa, sekaligus meningkatkan pendapatan negara.

Dalam hal ini, adalah wajar jika segala usaha bagi menggalakkan pengembangan bakat melalui inovasi dan kreativiti tidak hanya tertumpu pada sains dan teknologi fizikal sahaja, tetapi juga bidang-bidang lain yang mempunyai potensi bagi dikembangkan sebagai harta intelektual (intellectual property).

Misalnya adalah pengkomersilan idea-idea sains sosial yang berupaya mengubah keadaan sosioekonomi, meningkatkan kecekapan, memperbaiki cara kerja sedia ada dan sebagainya.

Grameen Bank adalah satu contoh idea sains sosial yang berjaya mengubah kedudukan sosioekonomi masyarakat luar bandar, yang mana idea yang berasal dari Bangladesh itu kemudiannya disesuaikan di Malaysia dan dilaksanakan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia.

Usaha-usaha menggalakkan kemunculan inovasi dan kreativiti di Malaysia dapat ditingkatkan lagi melalui pendemokrasian idea (democratisation of ideas), yang mana idea diterima berdasarkan mutunya dan bukan berdasarkan siapa yang mengutarakannya. Seterusnya, Malaysia mampu menjadi negara berpendapatan tinggi melalui daya kreativiti dan inovasi yang hebat.

Melalui pendemokrasian idea, sesiapa sahaja dapat mengusulkan ideanya, tidak kiralah sama ada dia seorang profesor di menara gading mahupun surirumah yang tidak bekerja.

Baru-baru ini juga, kerajaan ada mengumumkan bahawa idea-idea yang baik daripada rakyat akan cuba dikomersilkan dan jika mampu, dikomersilkan hingga ke peringkat antarabangsa.

Ini sudah pasti dapat dipermudahkan melalui pendemokrasian idea yang merangkumi sains fizikal dan sains sosial, hingga akhirnya menghasilkan situasi menang-menang bagi si tuan punya idea dan juga kerajaan, yakni melalui pendapatan yang diterima berikutan pengkomersilan tersebut.

Semoga Perbadanan Bakat dapat mempertimbangkan pengkomersilan melalui saluran pendemokrasian idea sebagai salah satu dari aktivitinya. Ya, memanglah ini mungkin bukan mandat asal (original mandate) yang diberikan kepada Perbadanan Bakat.

Namun ia sebenarnya tidak lari dari matlamat bagi mengembangkan bakat di Malaysia, selaras dengan objektif utama (ultimate objective) kerajaan bagi mewujudkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, sama ada melalui kemasukan semula tenaga pakar tempatan dari luar negara mahupun pengkomersilan idea rakyat marhaen, yang mana kedua-duanya mampu menjana pendapatan bagi negara.

Tuesday, November 2, 2010

Gantikan hab hiburan dengan pelancongan ilmu

Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini bertujuan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negara bagi mencapai matlamat mewujudkan negara berpendapatan tinggi, di samping menambahkan peluang pekerjaan bagi dinikmati oleh seluruh warga di bumi Malaysia.

Ini adalah inisiatif ekonomi yang baik, yang diharap dapat membantu setiap lapisan masyarakat, tidak kira di bandar ataupun luar bandar.

Namun demikian, terdapat beberapa perkara yang mungkin dapat dinilai semula bagi memastikan kerajaan tidak terperangkap dalam fenomena 'hukum akibat yang tidak disengajakan' ataupun law of unintended consequences.

Salah satu perkara yang mungkin dapat dinilai semula adalah langkah mewujudkan hab hiburan.

Objektif ETP adalah bagi meningkatkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi, dengan memanfaatkan sumber-sumber yang ada dan mewujudkan infrastruktur baru.

Bagaimanapun, adalah dikhuatiri pewujudan hab hiburan, walaupun menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak dan pendapatan yang tinggi sebagai sasaran, akan menyebabkan negara terperangkap dalam 'hukum akibat yang tidak disengajakan'.

Akhirnya, objektif menjana pertumbuhan ekonomi mungkin tidak tercapai. Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya, sesuai dengan fenomena itu.

Ini dapat berlaku disebabkan beberapa perkara. Contohnya, penekanan yang berlebihan pada hiburan dapat menyebabkan produktiviti menurun apabila para belia lebih mementingkan hiburan dan tidak memanfaatkan lebih banyak masa bagi menjana pemikiran bernas, selain tumpuan pada kerja yang menurun.

Seterusnya, produktiviti yang menurun menyumbang pada penguncupan dalam ekonomi.

Selain itu, percambahan hab hiburan dapat menyebabkan kadar jenayah meningkat. Ini kerana umum mengetahui bahawa pusat-pusat hiburan memang menjadi sarang pelacuran dan lain-lain kegiatan negatif seperti pengambilan dadah, di samping aktiviti lain yang merosakkan kesihatan dan minda, yakni pengambilan rokok dan alkohol.

Ketika kadar jenayah meningkat, para pelabur antarabangsa dan juga domestik akan mengalih modal mereka ke tempat yang mana ekosistem keselamatannya lebih terjamin. Seterusnya, pengaliran modal keluar menyumbang kepada penguncupan dalam ekonomi.

Di samping itu, kesan negatif yang timbul ekoran hab hiburan mengakibatkan kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi menanganinya. Ketagihan dadah, misalnya, menyaksikan kerajaan menanggung kos yang tinggi bagi aktiviti pemulihan penagih dadah.

Seterusnya, lonjakan ekonomi yang terhasil daripada hab hiburan pastinya tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kesan sosial dan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi menangani kesan langsung yang berlaku disebabkan hab hiburan. Kesan akhirnya atau 'resultant effect' akan menunjukkan defisit dan bukannya lebihan apabila jumlah yang tinggi terpaksa dibelanjakan bagi membanteras kesan negatif yang timbul.

Tidak lupa juga bahawa penekanan yang berlebihan kepada hiburan dapat menyebabkan hutang isi rumah meningkat berikutan para belia berbelanja secara berlebihan bagi mendapatkan hiburan di kelab malam yang diwujudkan. Peningkatan dalam hutang isi rumah pastinya tidak menyumbangkepada usaha merealisasikan ekonomi yang berdaya tahan.

Memang tidak dinafikan bahawa manusia memerlukan hiburan. Tetapi hiburan yang berlebihan dapat menyebabkan kesan buruk yang berpanjangan, iaitu meliputi kesan sosial dan juga ekonomi.

Penulis ingin mencadangkan supaya hab hiburan yang berpaksikan pelancongan hiburan itu digantikan dengan pelancongan ilmu atau knowledge tourism, iaitu antara lain melalui pembinaan kota buku dan hab ilmu, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab ilmu dan buku yang tersohor di dunia.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa cadangan ini agak naif. Walaupun demikian, ia tidaklah tanpa rasionalnya yang tersendiri, memandangkan pelaksanaan program Malaysia sebagai hab ilmu dan buku bukan hanya dapat menarik pelancong dari seluruh dunia (di bawah pelancongan ilmu), malah mampu melonjakkan lagi kualiti pemikiran masyarakat.

Thursday, October 28, 2010

Isu Menara - Penyelesaian

Sejak Program Transformasi Ekonomi (ETP) dilancarkan, antara perkara yang paling hangat diperkatakan adalah pembinaan Menara Warisan yang dianggarkan menelan kos RM5 bilion. Jumlah yang besar ini mengundang reaksi daripada pelbagai pihak, yang mana kemnya kini terdiri daripada dua, iaitu yang menentang dan yang menyokong. Bantahan dan sokongan dilakukan melalui aneka cara, termasuklah melalui wadah siber, iaitu berdasarkan laman sosial.

Hujah utama yang dikemukakan oleh pihak yang menyokong adalah pembinaan menara tersebut dapat membantu menjana ekonomi negara melalui kesan multiplier (rantaian berganda yang membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi) ataupun trickle down economics (penyaluran manfaat secara langsung ataupun secara tidak langsung melalui kegiatan ekonomi di peringkat makro). Mereka berkata bahawa perbelanjaan yang besar oleh kerajaan bagi membina infrastruktur mega seperti Menara Warisan bakal memberikan manfaat yang dapat dinikmati oleh rakyat hingga ke peringkat akar umbi.

Hujah utama yang dikemukakan oleh pihak yang menentang pula menekankan pada pembaziran yang berlaku ekoran pembinaan menara 100 tingkat itu. Pembaziran ini pula dikaitkan dengan teori opportunity cost (kos melepas, iaitu nilai faedah ataupun keuntungan yang sepatutnya dapat diperoleh daripada peng¬gunaan alternatif sumber yang sama). Mereka berhujah bahawa daripada membazirkan RM5 bilion bagi membina menara, maka adalah lebih baik jika ia digunakan bagi menambah baik sistem pengangkutan awam, membina lebih banyak Projek Perumahan Rakyat (PPR), membina lebih banyak sekolah dan lain-lain lagi.

Jadi, di manakah penyelesaiannya? Perlukah menara itu terus dibina di kala ramai orang membantahnya? Namun ada pula yang berhujah bahawa pandangan majoriti tidak semestinya merupakan pandangan yang tepat. Mereka berkata bahawa pembangunan negara bukanlah suatu pertandingan mencari populariti tetapi memerlukan tindakan berani yang memandang jauh ke hadapan.

Maka penyelesaian yang dapat penulis cadangkan adalah supaya Permodalan Nasional Berhad (PNB) memberikan lebih banyak maklumat kepada orang awam mengenai projek Menara Warisan. Antara perincian yang mungkin dapat didedahkan kepada masyarakat adalah feasibility study (kajian kebolehlaksanaan, iaitu kajian bagi menilai daya maju sesuatu projek) yang dilakukan oleh PNB bagi projek ini. Selain itu, rancangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang PNB bagi memastikan keberkesanan Menara Warisan dalam mencapai objektif ekonomi (economic goals) yang disasarkan juga adalah perlu supaya rakyat dapat menilainya secara adil.

Selepas ia dinilai oleh masyarakat berdasarkan maklumat yang lebih lengkap, maka sudah tentulah masyarakat mampu memberikan maklumbalas yang sewajarnya. Seterusnya, maklumbalas yang diterima daripada rakyat dapat digunakan oleh PNB bagi menentukan langkah susulan, iaitu sama ada:
1. Meneruskan projek ini tanpa sebarang perubahan;
2. Membatalkannya; atau
3. Meneruskannya dengan perubahan-perubahan tertentu, yakni dengan mengambilkira pandangan orang awam.

Saya pasti bahawa adalah menjadi harapan semua pihak supaya prestasi PNB terus meningkat, lantas membolehkannya memberikan pulangan yang lebih lumayan kepada para pelabur.

Wednesday, October 27, 2010

Antara sejarah dan keruntuhan akhlak

Pengumuman yang dibuat baru-baru ini mengenai menjadikan subjek sejarah sebagai subjek wajib lulus menerima reaksi pelbagai pihak. Ada yang menyokongnya sebagai cara bagi menjelmakan perpaduan dan ada pula yang membantahnya kerana tidak mahu ia dijadikan alat propaganda yang ampuh. Tidak kurang juga terdapat pihak yang menganggap keperluan menjadikan sejarah sebagai wadah bagi mengingatkan golongan muda mengenai asal usul negara ini dan lantas, memantapkan semangat kenegaraan mereka.

Pada masa yang sama, satu aspek yang dapat diberikan perhatian adalah aspek akhlak atau lebih tepat lagi, pembinaan dan reformasi akhlak melalui pembelajaran sejarah secara berkesan. Kita tidak mahu pembelajaran sejarah nanti, walaupun akan dijadikan subjek wajib lulus, hanya menekankan pada kehendak bagi lulus dalam peperiksaan semata-mata, hingga mengabaikan nilai akhlak dan kemanusiaan yang wujud di dalamnya.

Penghayatan yang mendalam sudah semestinya juga perlu ditekankan. Namun begitu, apakah ’penghayatan’ yang dimaksudkan? Adakah ia berkisar pada penghayatan pada perjuangan pahlawan kemerdekaan dahulukala? Atau adakah ia seputar dinamisme pembinaan negara bangsa yang kukuh dan padu?

Seperti yang dijelaskan di atas, satu penghayatan yang penting bagi diambilkira adalah penghayatan reformasi akhlak melalui pembelajaran sejarah secara berkesan. Dalam pada kita mengejar kemajuan dan pertumbuhan ekonomi, kita menghadapi segala corak cabaran yang kemudiannya termanifestasi dalam bentuk gejala sosial dan kebobrokan akhlak yang akhirnya menjejaskan usaha melahirkan generasi dan negara yang maju secara seimbang, iaitu secara rohaniah, akli dan kebendaan.

Maka di sinilah letaknya kepentingan memanfaatkan sejarah bagi membina akhlak di kalangan generasi muda, sesuai dengan pepatah ’melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Para pelajar yang dahagakan bimbingan sudah tentu akan mendapat manfaat melalui pengajaran sejarah yang menekankan aspek reformasi akhlak, iaitu berdasarkan nilai murni dan worldview tamadun cemerlang purbakala, pelbagai budaya dan adab santun masyarakat timur yang sesuai dengan peredaran zaman, falsafah dan jatidiri yang luhur, dan sebagainya.

Reformasi akhlak sebenarnya tidak hanya mampu dilakukan melalui pendidikan agama dan moral, malah mampu dilakukan melalui pembelajaran sejarah, yakni pembelajaran sejarah yang dilakukan dalam kerangka pembinaan akhlak, sesuai dengan rukun kelima dalam Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan.