Sunday, December 12, 2010

Keusahawanan sosial dan alam sekitar

Negara seluruh dunia baharu sahaja menamatkan persidangan berhubung dengan perubahan cuaca yang mempengaruhi kehidupan semua warga dalam tamadun manusia. Meskipun mereka tidak mencapai kata sepakat dari segi memanjangkan Perjanjian Kyoto menjangkau 2012, namun persetujuan berjaya dicapai dari segi mekanisme membantu negara membangun menangani kesan negatif ekonomi yang wujud ekoran pengurangan emisi karbon.

Perubahan cuaca ini dapat dilihat dalam kerangka pemeliharaan alam sekitar secara keseluruhannya, yang mana kerjasama semua pihak diperlukan bagi memastikan kerosakan alam sekitar tidak menjadi semakin membarah, lantas menjejaskan kelangsungan umat manusia itu sendiri. Malaysia sebagai peserta global juga tidak terkecuali dari dipengaruhi kesan perubahan cuaca global yang menjangkau ke seluruh sarwajagat.
Dalam hal memelihara dan memulihara alam sekitar di Malaysia, pelbagai pendekatan telah digunakan bagi memastikan rakyat terus menikmati suasana hidup yang progresif dan pada masa yang sama, harmonis dengan alam sekitar. Namun begitu, pencemaran demi pencemaran terus berlaku, lantas menimbulkan keinginan bagi mencari kaedah-kaedah lain yang difikirkan lebih sesuai dan berkesan.

Salah satu kaedah yang kurang diberikan perhatian adalah keusahawanan sosial (social entrepreneurship), yang merujuk kepada penggunaan prinsip-prinsip keusahawanan bagi menyusun, mewujudkan dan mengurus tindakan yang bertujuan mencapai perubahan sosial. Dalam konteks ini, perubahan sosial yang dikehendaki adalah pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Contoh masalah pencemaran yang dapat memanfaatkan keusahawanan sosial adalah pencemaran sungai yang semakin kronik dan bakal menyaksikan kemudaratan yang teruk jika ia tidak diselesaikan secara tuntas, berikutan air adalah sumber asas kehidupan. Maka penulis ingin mencadangkan pendekatan keusahawanan sosial sebagai salah satu cara bagi menangani masalah ini. Ini tidaklah bermakna pendekatan lain perlu dihentikan. Ia hanya bermakna kaedah ini berfungsi sebagai pelengkap kepada kaedah-kaedah yang sedang dan masih dilaksanakan.

Perniagaan-perniagaan berteraskan ekopelancongan dapat menjadi salah satu komponen dalam program keusahawanan sosial alam sekitar ini. Sungai dapat dijadikan tarikan pelancong dalam subsektor ekopelancongan, yang mana pada masa yang sama, sungai dipelihara dan dipulihara. Ini tidak bermaksud bahawa sungai ’diniagakan’ atau bertukar menjadi milik swasta. Sebaliknya, program ini cuma menumpukan pada projek ekopelancongan yang menjadikan sungai sebagai penarik dan wadah utamanya, bukan sebagai bahan niaga.

Bagi memastikan program ini mencapai kejayaan, beberapa unsur utama perlu dipenuhi. Pertama, ia perlu menjadi program dipacu komuniti (community-driven), iaitu komuniti di sekitar sungai itu terbabit secara langsung dalam pemeliharaan dan pemuliharaan sungai serta pengwujudan projek ekopelancongan yang membabitkan sungai berkenaan. Kedua, kerajaan perlu terus melaksanakan program pemeliharaan dan pemuliharaan sedia ada, di samping menjadi pemudahcara antara komuniti dan sektor swasta. Ketiga, sektor swasta dapat berperanan memberikan bantuan kewangan dan teknikal sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial korporat. Akhir sekali, badan-badan bukan kerajaan dapat berperanan sebagai sumber bantuan teknikal dan juga badan pemantau.

No comments:

Post a Comment