Sunday, November 21, 2010

Audit Rakyat dan Indeks Maqasid

Angin bertiup kencang bahawa pilihanraya umum akan diadakan tidak lama lagi, lantas memberikan peluang kepada seluruh warga Malaysia bagi sekali lagi membuat pilihan dalam sistem demokrasi bagi memilih kerajaan yang akan memimpin dan menerajui kerajaan untuk tempoh lima tahun yang berikutnya.

Pilihanraya memang ditunggu-tunggu oleh mereka yang komited dalam memainkan peranan sebagai pengundi, demi memastikan negara dikepalai oleh kerajaan yang bertanggungjawab, seiring dengan hasrat bagi mewujudkan negara yang maju dalam semua lapangan, yakni jasmani, akli dan rohani

Namun bagaimanakah caranya bagi menilai keberkesanan ataupun kemampuan sesebuah kumpulan ataupun pakatan politik bagi memimpin negara bagi tempoh yang seterusnya? Salah satu cara yang biasa digunakan bagi menjangka prestasi seseorang ataupun sesebuah organisasi, termasuklah organisasi politik adalah dengan menilai prestasi lepas mereka, dengan andaian bahawa prestasi lampau dapat memberikan petunjuk bagi prestasi akan datang.

Dalam hal ini, terdapat beberapa kayu ukur ataupun penanda aras yang dapat digunakan oleh rakyat jelata bagi menilai prestasi sesebuah kerajaan, termasuklah laporan audit kewangan, indeks rasuah, laporan kebebasan media dan sebagainya. Semua laporan ini menjadi lebih relevan lagi dalam suasana yang mana kedua-dua organisasi politik utama negara, yakni Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat berjaya menguasai negeri-negeri tertentu, yang mana tiada satu pun yang memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen.

Maka prestasi kedua-dua organisasi politik dapat dinilai secara lebih adil kerana kedua-duanya berpeluang bagi memperlihatkan prestasi masing-masing dalam konteks menggerakkan kemajuan di negeri-negeri yang dipimpin.

Disebabkan keunikan suasana inilah maka penulis ingin mencadangkan satu lagi penanda aras ataupun kayu ukur diwujudkan bagi digunakan oleh rakyat demi menilai prestasi organisasi politik. Kayu ukur yang dimaksudkan adalah Audit Rakyat ataupun The People’s Audit. Audit Rakyat ini bukanlah audit kewangan (financial audit) ataupun audit pematuhan (compliance audit) semata-mata kerana jika tidak, ia akan bertindan pula dengan audit yang sudah dijalankan oleh Jabatan Audit Negara

Audit Rakyat yang ingin dicadangkan ini adalah sejenis audit yang merangkumi prestasi organisasi politik (malah boleh digunakan bagi semua jenis organisasi sekalipun) mengikut parameter tertentu. Salah satu parameter yang dapat digunakan adalah maqasid Syari’iyyah (matlamat Syariah), yang merangkumi pemeliharaan agama, nyawa, akal, nasab (keturunan) dan harta.

Melalui Audit Rakyat ini, prestasi organisasi politik dinilai berdasarkan sejauh mana mereka memenuhi kehendak maqasid Syari’iyyah, iaitu sejauh mana mereka mentadbir dan membangunkan negara dalam konteks memelihara agama, nyawa, akal, nasab (keturunan) dan harta.

Seterusnya, hasil Audit Rakyat ini dapat dicerakin menurut sistem pemarkahan tersusun, hingga membolehkan suatu angka dipadankan pada prestasi organisasi politik itu, lalu membentuk suatu indeks, yakni Indeks Maqasid Syari’iyyah. Misalnya, 1 dapat merujuk kepada prestasi terburuk (berlawanan dengan kehendak maqasid Syari’iyyah), manakala 5 pula dapat merujuk kepada prestasi terbaik (memenuhi kehendak maqasid Syari’iyyah).

Apabila kita dapat merasionalkan prestasi sesebuah organisasi politik kepada suatu angka tertentu (quantify), maka ia dapat membantu rakyat membuat keputusan bagi memilih organisasi politik yang difikirkan sesuai bagi menerajui Malaysia.

Wednesday, November 17, 2010

Diversification bagi mengurangkan kemalangan maut

Kemalangan demi kemalangan maut mencemarkan dada akhbar negara kita sejak kebelakangan ini. Pelbagai reaksi diutarakan dan tidak kurang juga ada yang mencadangkan pelbagai perkara bagi menangani masalah tersebut secara tuntas dan total.

Dalam hal ini, penulis ingin mencadangkan supaya diversification atau pempelbagaian dipertimbangkan sebagai salah satu cara bagi mengatasinya dengan lebih berkesan.

Pempelbagaian dalam konteks ini bermaksud mempelbagaikan perniagaan dengan tujuan mengurus risiko dan juga mempelbagaikan sumber pendapatan. Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang kaitan antara pempelbagaian dan kemalangan jiwa.

Ya, pempelbagaian yang ingin penulis cadangkan ini melibatkan usaha pempelbagaian di pihak syarikat bas dan pengendali kenderaan berat.

Seperti yang kita ketahui, ramai pihak menyalahkan pemandu bas atas kemalangan maut yang semakin menjadi-jadi. Mereka dikatakan sebagai tidak berdisiplin dan mengambil mudah nyawa penumpang, hatta nyawa mereka sekalipun. Sungguhpun dakwaan ini mempunyai kebenarannya, namun kita juga perlu berlaku adil pada mereka dan menilai juga akan aspek tekanan inflasi.

Inflasi menyebabkan kos sara hidup meningkat, lantas menyebabkan para pemandu bas terpaksa mengejar trip bagi memastikan mereka mempunyai pendapatan yang mencukupi bagi menampung hidup dalam persekitaran kos yang meningkat. Ini ditambah pula dengan faktor gaji yang tidak mencukupi, lalu memaksa mereka melakukan sebanyak mungkin trip, dari utara ke selatan, timur ke barat.

Di sinilah letaknya peranan pempelbagaian. Ini kerana inflasi yang disebutkan tadi bukan sahaja meningkatkan kos sara hidup para pemandu bas tetapi juga menyebabkan kos operasi syarikat bas melonjak. Dengan demikian, ini menjadi salah satu sebab syarikat bas tidak mampu menawarkan gaji yang lebih baik kepada pemandu bas (kos meningkat, pendapatan kekal sama).

Maka dengan melakukan pempelbagaian, iaitu dengan menceburkan diri dalam lain-lain bidang perniagaan yang ada kaitan langsung dengan perniagaan utama mereka (direct diversification) ataupun tidak (cross diversification), maka syarikat bas dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Justeru apabila pendapatan sudah berjaya ditingkatkan, di samping meningkatkan kecekapan operasi (bagi mengurangkan kos), maka syarikat bas dapat menawarkan gaji dan faedah yang lebih baik kepada para pemandu mereka (apabila peningkatan dalam pendapatan melebihi kenaikan kos).


Seterusnya, apabila skim gaji dan faedah yang diterima oleh pemandu bas bertambah baik, maka mereka tidak lagi dihambat keterpaksaan bagi bertempiaran ke sana sini mengejar trip, demi mendapatkan wang. Hasilnya, pemanduan dilakukan dengan lebih berhati-hati (kerana tidak perlu berkejaran ke sana sini) dan oleh yang demikian, kemalangan maut dapat dikurangkan.

Sememangnya strategi pempelbagaian bagi mengurangkan kemalangan maut bukanlah strategi jangka panjang. Ia adalah strategi jangka sederhana bagi memastikan ketidakmampuan menangani kenaikan kos tidak menjadi punca kemalangan maut.

Disebabkan itulah penulis ingin juga mencadangkan supaya strategi ini digabungkan juga dengan lain-lain strategi jangka pendek dan jangka panjang.
Ringkasnya, strategi yang ingin dicadangkan adalah:
1. Strategi jangka pendek dan juga jangka panjang – Pihak kerajaan dan syarikat bas memastikan pemandu sentiasa berkelakuan baik dan memastikan hanya pemandu yang mempunyai kebertanggungjawaban (accountability) dan sifat amanah yang tinggi yang diambil sebagai pemandu;
2. Strategi jangka sederhana – Pempelbagaian; dan
3. Strategi jangka panjang – Usaha oleh kerajaan dan industri pengangkutan bagi menambah baik seluruh sistem pengangkutan negara (bukan hanya sistem bas) bagi mewujudkan sistem pengangkutan yang bersepadu, murah, selamat, cekap dan boleh diharap.

Sunday, November 7, 2010

Penggemblengan harta intelektual

Dalam usaha negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi, pelbagai inisiatif digerakkan bagi melahirkan modal insan yang mampu menyumbang secara cekap dan berkesan, sejajar dengan hasrat bagi mencapai kemajuan mengikut acuan sendiri. Salah satu inisiatif berkenaan adalah penubuhan Perbadanan Bakat yang akan mula beroperasi pada Januari 2011.

Penubuhan sebuah entiti khusus bagi menggalakkan kepulangan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara adalah usaha yang baik bagi menambahkan jumlah tenaga pakar di Malaysia, sekaligus dapat merancakkan kegiatan ekonomi, antaranya melalui pelaburan langsung asing yang menjadikan kewujudan tenaga pakar sebagai salah satu kriteria sebelum mereka melabur di mana-mana negara.

Dalam pada kita berusaha membawa pulang rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, adalah wajar juga usaha digiatkan lagi bagi memanfaatkan modal insan sedia ada di Malaysia, yakni sumber manusia yang tidak pernah bekerja di luar negara, demi menyumbang bakti di tanahair sendiri.

Sudah semestinya ada di kalangan individu tersebut yang sebenarnya memang tergolong dalam kategori tenaga mahir bertaraf antarabangsa. Namun bakat yang ada masih terpendam dan tidak dimanfaatkan sepenuhnya, ekoran kurangnya peluang dan pendedahan yang diberikan kepada mereka.

Maka dengan demikian, mereka seeloknya diberikan peluang yang lebih luas dan pendedahan yang lebih mantap supaya negara tidak mensia-siakan potensi yang ada dalam setiap rakyat Malaysia. Pelaksanaan program-program tertentu bagi mencungkil bakat dan kemahiran modal insan sedia ada sudah pasti dapat melengkapi usaha bagi membawa pulang modal insan dari luar negara, lantas mengoptimumkan mobilisasi modal insan ke peringkat yang lebih tinggi.

Antara platform yang dapat dimanfaatkan bagi mencungkil bakat terpendam di kalangan rakyat adalah melalui pusat inovasi komuniti yang akan mula beroperasi di Sabah dan Sarawak, sebelum dibuka pula di lain-lain negeri.

Penubuhan Makmal Belia juga dapat berfungsi sebagai wadah yang efektif dalam usaha mencari idea baharu bagi menyerlahkan dan menonjolkan kebolehan anak tempatan hingga ke persada antarabangsa, sekaligus meningkatkan pendapatan negara.

Dalam hal ini, adalah wajar jika segala usaha bagi menggalakkan pengembangan bakat melalui inovasi dan kreativiti tidak hanya tertumpu pada sains dan teknologi fizikal sahaja, tetapi juga bidang-bidang lain yang mempunyai potensi bagi dikembangkan sebagai harta intelektual (intellectual property).

Misalnya adalah pengkomersilan idea-idea sains sosial yang berupaya mengubah keadaan sosioekonomi, meningkatkan kecekapan, memperbaiki cara kerja sedia ada dan sebagainya.

Grameen Bank adalah satu contoh idea sains sosial yang berjaya mengubah kedudukan sosioekonomi masyarakat luar bandar, yang mana idea yang berasal dari Bangladesh itu kemudiannya disesuaikan di Malaysia dan dilaksanakan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia.

Usaha-usaha menggalakkan kemunculan inovasi dan kreativiti di Malaysia dapat ditingkatkan lagi melalui pendemokrasian idea (democratisation of ideas), yang mana idea diterima berdasarkan mutunya dan bukan berdasarkan siapa yang mengutarakannya. Seterusnya, Malaysia mampu menjadi negara berpendapatan tinggi melalui daya kreativiti dan inovasi yang hebat.

Melalui pendemokrasian idea, sesiapa sahaja dapat mengusulkan ideanya, tidak kiralah sama ada dia seorang profesor di menara gading mahupun surirumah yang tidak bekerja.

Baru-baru ini juga, kerajaan ada mengumumkan bahawa idea-idea yang baik daripada rakyat akan cuba dikomersilkan dan jika mampu, dikomersilkan hingga ke peringkat antarabangsa.

Ini sudah pasti dapat dipermudahkan melalui pendemokrasian idea yang merangkumi sains fizikal dan sains sosial, hingga akhirnya menghasilkan situasi menang-menang bagi si tuan punya idea dan juga kerajaan, yakni melalui pendapatan yang diterima berikutan pengkomersilan tersebut.

Semoga Perbadanan Bakat dapat mempertimbangkan pengkomersilan melalui saluran pendemokrasian idea sebagai salah satu dari aktivitinya. Ya, memanglah ini mungkin bukan mandat asal (original mandate) yang diberikan kepada Perbadanan Bakat.

Namun ia sebenarnya tidak lari dari matlamat bagi mengembangkan bakat di Malaysia, selaras dengan objektif utama (ultimate objective) kerajaan bagi mewujudkan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, sama ada melalui kemasukan semula tenaga pakar tempatan dari luar negara mahupun pengkomersilan idea rakyat marhaen, yang mana kedua-duanya mampu menjana pendapatan bagi negara.

Tuesday, November 2, 2010

Gantikan hab hiburan dengan pelancongan ilmu

Program Transformasi Ekonomi yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini bertujuan merancakkan lagi kegiatan ekonomi negara bagi mencapai matlamat mewujudkan negara berpendapatan tinggi, di samping menambahkan peluang pekerjaan bagi dinikmati oleh seluruh warga di bumi Malaysia.

Ini adalah inisiatif ekonomi yang baik, yang diharap dapat membantu setiap lapisan masyarakat, tidak kira di bandar ataupun luar bandar.

Namun demikian, terdapat beberapa perkara yang mungkin dapat dinilai semula bagi memastikan kerajaan tidak terperangkap dalam fenomena 'hukum akibat yang tidak disengajakan' ataupun law of unintended consequences.

Salah satu perkara yang mungkin dapat dinilai semula adalah langkah mewujudkan hab hiburan.

Objektif ETP adalah bagi meningkatkan pendapatan negara ke tahap yang lebih tinggi, dengan memanfaatkan sumber-sumber yang ada dan mewujudkan infrastruktur baru.

Bagaimanapun, adalah dikhuatiri pewujudan hab hiburan, walaupun menyediakan peluang pekerjaan yang lebih banyak dan pendapatan yang tinggi sebagai sasaran, akan menyebabkan negara terperangkap dalam 'hukum akibat yang tidak disengajakan'.

Akhirnya, objektif menjana pertumbuhan ekonomi mungkin tidak tercapai. Bahkan yang berlaku adalah sebaliknya, sesuai dengan fenomena itu.

Ini dapat berlaku disebabkan beberapa perkara. Contohnya, penekanan yang berlebihan pada hiburan dapat menyebabkan produktiviti menurun apabila para belia lebih mementingkan hiburan dan tidak memanfaatkan lebih banyak masa bagi menjana pemikiran bernas, selain tumpuan pada kerja yang menurun.

Seterusnya, produktiviti yang menurun menyumbang pada penguncupan dalam ekonomi.

Selain itu, percambahan hab hiburan dapat menyebabkan kadar jenayah meningkat. Ini kerana umum mengetahui bahawa pusat-pusat hiburan memang menjadi sarang pelacuran dan lain-lain kegiatan negatif seperti pengambilan dadah, di samping aktiviti lain yang merosakkan kesihatan dan minda, yakni pengambilan rokok dan alkohol.

Ketika kadar jenayah meningkat, para pelabur antarabangsa dan juga domestik akan mengalih modal mereka ke tempat yang mana ekosistem keselamatannya lebih terjamin. Seterusnya, pengaliran modal keluar menyumbang kepada penguncupan dalam ekonomi.

Di samping itu, kesan negatif yang timbul ekoran hab hiburan mengakibatkan kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi bagi menanganinya. Ketagihan dadah, misalnya, menyaksikan kerajaan menanggung kos yang tinggi bagi aktiviti pemulihan penagih dadah.

Seterusnya, lonjakan ekonomi yang terhasil daripada hab hiburan pastinya tidak berbaloi apabila dibandingkan dengan kesan sosial dan ekonomi yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan bagi menangani kesan langsung yang berlaku disebabkan hab hiburan. Kesan akhirnya atau 'resultant effect' akan menunjukkan defisit dan bukannya lebihan apabila jumlah yang tinggi terpaksa dibelanjakan bagi membanteras kesan negatif yang timbul.

Tidak lupa juga bahawa penekanan yang berlebihan kepada hiburan dapat menyebabkan hutang isi rumah meningkat berikutan para belia berbelanja secara berlebihan bagi mendapatkan hiburan di kelab malam yang diwujudkan. Peningkatan dalam hutang isi rumah pastinya tidak menyumbangkepada usaha merealisasikan ekonomi yang berdaya tahan.

Memang tidak dinafikan bahawa manusia memerlukan hiburan. Tetapi hiburan yang berlebihan dapat menyebabkan kesan buruk yang berpanjangan, iaitu meliputi kesan sosial dan juga ekonomi.

Penulis ingin mencadangkan supaya hab hiburan yang berpaksikan pelancongan hiburan itu digantikan dengan pelancongan ilmu atau knowledge tourism, iaitu antara lain melalui pembinaan kota buku dan hab ilmu, dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab ilmu dan buku yang tersohor di dunia.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa cadangan ini agak naif. Walaupun demikian, ia tidaklah tanpa rasionalnya yang tersendiri, memandangkan pelaksanaan program Malaysia sebagai hab ilmu dan buku bukan hanya dapat menarik pelancong dari seluruh dunia (di bawah pelancongan ilmu), malah mampu melonjakkan lagi kualiti pemikiran masyarakat.