Thursday, March 31, 2011

Perak Mengharamkan Tarian Poco-poco

MB: Perak patuhi fatwa haramkan poco-poco


Kerajaan Negeri Perak akan mematuhi keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak berhubung pengharaman tarian poco-poco, kata Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, selepas fatwa dikeluarkan, semua pihak perlu menghormatinya dan tidak mempersoalkannya.

Zambry berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah akhbar mengenai kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak telah memutuskan tarian berkenaan sebagai haram.

Harussani dilaporkan berkata tarian tersebut diharamkan kerana ia mempunyai unsur kepercayaan agama lain iaitu Kristian selain pemujaan roh dan pewartaan fatwa itu akan dibuat tidak lama lagi.

- Bernama

Bengkel kereta diarah bayar RM20,000 kerana menipu

Bengkel kereta diarah bayar RM20,000 kerana menipu
TERANIAYA! Sudahlah 'diketuk' oleh pemilik bengkel, komponen kereta pula dijual sebagai alat ganti kepada pihak ketiga.

Kereta jenis Audi A4 yang dihantar untuk dibaiki pada Januari 2008 itu sehingga hari ini masih tersadai sehingga pemiliknya, Looi Kar Min, 42, mengambil keputusan mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Ipoh, Perak baru-baru ini.

Justeru, Presiden TTPM, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh mengarahkan bengkel tersebut, Ipoh New Technics Auto Service Sdn. Bhd. membayar RM20,000 kepada Kar Min membabitkan RM16,000 bagi nilai kereta dan RM4,000 untuk kos baik pulih kereta yang telah dibayar oleh penuntut.

Beliau memutuskan demikian selepas mendapati pemilik bengkel itu menipu TTPM semasa prosiding apabila mendakwa kereta tersebut sebenarnya sudah siap dan boleh diambil oleh Kar Min, sedangkan kenderaan itu sebenarnya masih tersadai dan keadaannya begitu teruk.

Ia dimaklumkan sendiri oleh Kar Min yang pergi melihat keadaan kereta tersebut selepas diberikan masa selama sejam oleh TTPM untuk mengambil kereta itu dan menyelesaikan baki hutangnya dengan bengkel berkenaan.

Ketika ditemui di pekarangan TTPM, Kar Min memberitahu, dia menghantar kereta itu ke bengkel tersebut untuk dibaiki pada Januari 2008 selepas enjin kereta tidak boleh dihidupkan.

Namun, selepas kerosakan itu dibaiki, timbul pula kerosakan demi kerosakan termasuk pada penyerap hentakan dan kotak gear sehingga kosnya mencecah RM8,000 yang tidak mampu dibayar oleh Kar Min.

''Pada 26 Oktober 2010, saya menghubungi pemilik bengkel dan dia bersetuju untuk membaiki kereta itu dalam masa tiga minggu selepas Tahun Baru Cina dengan bayaran RM8,000.

''Dia juga berjanji untuk menggantikan semula alat-alat ganti yang telah dijual itu dengan alat ganti baru selepas saya membayar wang pendahuluan sebanyak RM4,000. Bakinya akan dibayar selepas kereta itu siap,'' katanya.

Menurut Kar Min, selepas tiga minggu, kereta itu tidak juga siap dan pemilik bengkel asyik melanjutkan masa membaiki kereta itu dengan alasan terlalu sibuk.

''Semasa pergi tengok kereta, saya mendapati enjinnya tidak boleh dihidupkan, cermin pecah dan tayar pancit.

''Dia juga menggantikan komponen kereta dengan alat ganti terpakai dengan alasan komponen baru terlalu mahal,'' katanya.

Tuesday, March 29, 2011

AWAS: Sijil Nikah Palsu

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi berikut:

1. Mangsa yang ingin berpoligami tanpa kebenaran isteri didatangi oleh seorang individu (penjenayah).

2. Penjenayah mendakwa bahawa dia dapat membantu mangsa bagi berkahwin walaupun tanpa kebenaran isteri.

3. Caranya adalah penjenayah berkata kononnya dia dapat menjual sijil nikah secara ekspres kepada mangsa.

4. Menurut penjenayah lagi, sijil nikah itu dapat dimiliki oleh mangsa dengan mudah, iaitu tanpa melalui pelbagai prosedur yang ditetapkan pihak berkuasa, termasuklah syarat yang menghendaki suami mendapatkan kebenaran isteri sebelum berpoligami.

5. Penjenayah cuba meyakinkan mangsa dengan mengatakan, malah menunjukkan ‘bukti’ bahawa sijil nikah itu pernah dibeli oleh artis dan orang berpangkat, termasuklah Datuk dan Tan Sri.

6. Mangsa membayar wang dalam jumlah yang besar bagi mendapatkan sijil palsu itu.

7. Mangsa menyesal apabila mendapati bahawa sijil nikah itu adalah sijil yang palsu.

8. Penjenayah pula sudah pun lesap dengan wang mangsa dan mencari mangsa yang berikutnya.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

KEPENGGUNAAN: Kopi campur gelatin babi

Kopi campur gelatin babi
Oleh Mary Victoria Dass dan Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my


JOHOR BAHRU: Sebuah kedai kopi popular di negeri ini yang beroperasi sejak kira-kira 70 tahun lalu dan dikunjungi lebih 80 peratus pelanggan beragama Islam rupa-rupanya menghidangkan kopi bercampur gelatin babi.


Perkara menjijikkan itu terbongkar selepas Jabatan Agama Johor (JAJ) menjalankan pemeriksaan terhadap premis itu berikutan aduan orang ramai.


Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan memang ada gelatin babi dalam serbuk kopi disediakan di kedai berkenaan.


“Sampel serbuk kopi dari premis itu diambil untuk dianalisis Jabatan Kimia Johor dan hasilnya, ia positif gelatin babi.


“Semua itu dilakukan selepas kami mendapat banyak aduan daripada orang ramai. Pemeriksaan dijalankan baru-baru ini oleh JAJ serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Bagaimanapun, kata Zainal, pihaknya tidak boleh mengambil tindakan terhadap pengusaha terbabit melainkan menasihati peniaga supaya memastikan produk mereka halal serta mendapatkan sijil halal.


“Pelanggan beragama Islam perlu berwaspada dalam memilih lokasi untuk menjamu selera, pastikan premis berkaitan mempunyai logo halal,” katanya.


Difahamkan, pengusaha premis terbabit akan hadir ke pejabat JAJ, hari ini. Selain di Johor, kedai kopi itu dikatakan turut memiliki cawangan di Lembah Klang.


Sementara itu, Ketua Pegawai Penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor, Abdul Hamid Abu Bakar berkata, pihaknya menghantar lima pegawai ke premis terbabit, kelmarin.


“Selepas menerima aduan menerusi SMS, kami melakukan pemeriksaan di premis itu dan mendapati memang tiada tanda logo halal dipamerkan di situ.


“Berikutan itu, kami tidak boleh mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 1972 ke atas mereka,” katanya ketika dihubungi.


Menurut Abdul Hamid, jika premis terbabit memaparkan logo halal, pihaknya boleh mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang berkenaan.


Sehubungan itu, menasihatkan pelanggan beragama Islam supaya berhati-hati memilih lokasi untuk menjamu selera.


“Sepatutnya orang Islam memastikan tanda logo halal sebelum memasuki sesuatu premis itu kerana dalam kes ini, tiada langsung logo berkenaan dipamerkan tapi pengguna Islam masih ke situ untuk menjamu selera.


“Pada masa sama, pengusaha terbabit juga perlu lebih bertanggungjawab kerana premis perniagaan mereka sering dikunjungi pelanggan beragama Islam,” katanya.


Sementara itu, jurucakap Persatuan Pengguna Bumiputera Johor Bahru berkata, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pengusaha premis terbabit secepat mungkin dan menasihati pengusaha berkenaan supaya mempamerkan kandungan minuman dan makanan kepada pelanggan.


“Kami menerima banyak aduan dan pertanyaan daripada orang ramai yang bimbang selepas melihat sebaran berkaitan isu berkenaan di Internet dan laman web sosial,” katanya.

KEPENGGUNAAN: Sesco diarah bayar RM1,675 kepada pasangan suami isteri

Sesco diarah bayar RM1,675 kepada pasangan suami isteri
AKIBAT pengaliran arus elektrik berlebihan, sepasang suami isteri terpaksa berputih mata apabila peralatan elektrik dan elektronik di kediamannya di Taman Haji Baki, Kuching, Sarawak mengalami kerosakan.

Mana tidaknya, bukan sahaja mesin basuh tetapi pam air elektrik dan alat mandi wap tidak dapat berfungsi ekoran daripada masalah berkenaan.

Tidak puas hati dengan masalah tersebut yang menyebabkan mereka kerugian, Raymond Jeyaraj Noel dan isteri, Komarusamy Tamenthi membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kuching.

Pada prosiding tuntutannya yang didengar semalam, Syarikat Sesco Bhd. (Sesco) yang merupakan pembekal elektrik di Sarawak telah diarahkan membayar RM1,675 kepada pasangan suami isteri tersebut.

Presiden TTPM, Preatam Singh yang memutuskan demikian turut memerintahkan agar bayaran tersebut dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

Terdahulu, Sesco dalam pembelaannya menyatakan kesanggupan membayar balik kos kerosakan kepada pasangan suami isteri berkenaan.

Sikap tanggungjawab Sesco dibuktikan apabila syarikat itu dengan serta-merta mengeluarkan cek tunai bagi menyelesaikan tuntutan terbabit

Dalam pada itu, Preatam mengingatkan setiap pengguna supaya mempunyai kefahaman mengenai kes seumpamanya bagi mendapatkan pembelaan sekiranya tertindas.

''Masyarakat harus sedar tentang hak-hak mereka sebagai pengguna supaya pihak yang berkaitan dengan perkhidmatan seperti ini (bekalan elektrik) tidak mengambil kesempatan terhadap kita,'' ujarnya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Preatam menambah kata, sepanjang 2007 sehingga sekarang, sebanyak 28 kes sedemikian telah dilaporkan kepada TTPM.

Monday, March 28, 2011

KEPENGGUNAAN: Patuhi syarat kempen turun harga

Patuhi syarat kempen turun harga
KUALA LUMPUR 28 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengingatkan para peniaga supaya mematuhi syarat kempen turun harga yang bakal berlangsung antara 15 Jun hingga 31 Ogos ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, antaranya setiap peniaga yang ingin menurunkan harga barang perlu memaklumkan kepada pihak kementerian terlebih dahulu.

"Mereka perlu menyerahkan butir-butir barangan yang hendak diturunkan harga termasuk harga asal dan harga baru. Sebelum ini, peniaga hanya perlu memaklumkan kepada kementerian tetapi kali ini selain menghantar butiran mereka juga perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

"Pemantauan harga barang akan dilakukan selama enam bulan dan sekiranya didapati ada peniaga yang salah guna atau mengambil kesempatan sepanjang kempen tersebut, pengguna boleh membuat laporan kepada kementerian," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen penurunan harga di Tesco Mutiara Damansara dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kegusaran yang dilahirkan oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini yang meminta agar satu garis panduan dikeluarkan agar tiada peniaga mengambil kesempatan meletakkan harga sesuka hati sepanjang kempen tersebut.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Selain itu, Ismail turut menasihatkan pengguna agar bijak berbelanja dan membeli barangan keperluan yang benar-benar penting sahaja untuk mengelakkan lebihan belanja di luar kemampuan sepanjang kempen tersebut.

Dalam pada itu beliau juga berkata, pemilik pasar raya dan kedai runcit tidak perlu gusar dengan kempen penurunan harga yang giat dijalankan pasar raya besar di seluruh negara.

Menurutnya, ini kerana setiap daripada premis tersebut mempunyai kumpulan pelanggan yang tersendiri.

"Ramai yang menganggap dengan adanya kempen sebegini maka kesannya akan berbalik kepada pasar raya kecil dan juga kedai runcit.

"Namun, sebenarnya kalau kita perhatikan pelanggan yang berbelanja di pasar raya besar kebanyakannya membeli secara pukal berbanding mereka yang berbelanja di pasar raya kecil dan kedai runcit. Ini sememangnya tidak akan memberi kesan," katanya.

KEPENGGUNAAN: Syarikat bas diarah bayar RM250 atas kehilangan beg penumpang

Syarikat bas diarah bayar RM250 ke atas kehilangan beg penumpang
HASRAT seorang suri rumah mendapatkan semula dua beg pakaian berisi lima buah telefon bimbit bernilai lebih RM1,800 tidak kesampaian apabila barangan yang disimpan di dalam sebuah bas yang dinaikinya tiba-tiba hilang.

Jamnah Ishak, 61, berkata, kedua-dua beg itu hilang ketika dia dalam perjalanan bersama seorang cucunya Siti Nor Atikah Mohd. Yusuf, 13, menaiki sebuah bas dari Ipoh ke Kamunting pada 2 Februari lalu.

Menurut suri rumah tersebut, dalam perjalanan itu dia membawa empat beg dan dua daripadanya disimpan di tempat barang di bahagian badan bas tersebut.

''Apabila tiba di Terminal Bas Kamunting pada pukul 4.30 petang hari tersebut, saya mendapati kedua-dua beg itu tidak ada. Saya percaya ia telah diambil oleh orang lain,'' katanya semasa hadir di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) Taiping, Perak, baru-baru ini.

Jamnah yang tidak berpuas hati dengan kehilangan beg tersebut kemudian telah membuat laporan polis pada hari yang sama dan aduan kepada TTPM pada 12 Februari lalu.

''Saya harap dengan laporan itu memberikan peringatan kepada syarikat bas supaya berhati-hati di samping mengelak kejadian kehilangan barangan berharga pengguna tidak berulang lagi,'' katanya.

Presiden TTPM, Pretam Singh yang mendengar tuntutan tersebut telah memerintahkan Kumpulan Bas Perak Sdn. Bhd., membayar RM250 kepada Jamnah dalam tempoh 14 hari kerana syarikat itu bertanggungjawab terhadap kehilangan beg tersebut.

''Walaupun tuntutan yang dibuat tinggi, tetapi syarikat bertanggungjawab ke atas barang yang hilang itu,'' katanya.

Wednesday, March 23, 2011

Jangan Kaitkan Inflasi dengan Islam

Dalam kita mendepani cabaran bagi memastikan umat Islam mendapat produk yang halal, terdapat pandangan-pandangan tertentu yang secara kasarnya masuk akal, namun sebenarnya mengakibatkan implikasi negatif pada agama dan umat Islam itu sendiri.

Salah satu pandangan tersebut adalah pandangan yang menyatakan bahawa bagi mendapatkan produk yang halal, pengguna perlu berbelanja lebih. Ini kerana menurut golongan ini, kos bagi menyediakan barangan halal adalah lebih tinggi berbanding dengan barangan yang tidak mematuhi kehendak Islam.

Golongan ini suka menggunakan contoh ayam yang disembelih mengikut cara yang ditentukan oleh Islam. Menurut mereka, ayam yang disembelih mengikut cara yang ditentukan oleh Islam adalah lebih mahal kerana pihak penternak perlu mengeluarkan wang bagi membayar upah si penyembelih.

Walau bagaimanapun, adakah hujah ini berpandukan realiti ataupun sekadar hujah kosong semata-mata? Hakikatnya adalah ayam yang tidak halal juga turut disembelih. Perbezaannya dengan ayam halal adalah ia tidak disembelih menurut cara yang sah di sisi Islam.

Pandangan seperti ini perlu dibendung kerana ia menyebabkan orang bukan Islam menganggap Islam sebagai agama yang membawa inflasi. Ini kerana apabila pandangan itu diterima, maka kesimpulannya adalah pelaksanaan sistem Islam memerlukan peruntukan kewangan yang lebih besar.

Kos yang dikatakan lebih tinggi itu menyebabkan harga produk halal ditetapkan pada tahap yang lebih tinggi berbanding dengan produk tidak halal. Akibatnya adalah usahawan/pengeluar/syarikat Islam akan kehilangan daya saing apabila mereka menanggung kos operasi yang lebih tinggi berikutan terpaksa membeli bahan mentah/input halal pada harga yang lebih tinggi daripada input tidak halal. Akhirnya, usaha membangunkan ekonomi ummah terjejas.

Contoh mudah adalah contoh ayam tadi. Dengan menggunakan alasan upah penyembelih, harga ayam halal menjadi lebih mahal daripada ayam tidak halal. Pengusaha restoran halal pula membeli ayam halal ini sebagai input dalam perniagaan makanan mereka. Harga makanan yang dijual mereka akan lebih tinggi daripada harga makanan di restoran bukan Islam ekoran mereka menanggung kos input yang lebih tinggi.

Seterusnya, pengguna Islam pula yang menjadi mangsa kerana merekalah pembeli utama produk halal. Kesan rantaian yang diakibatkan oleh fahaman seperti ini menyebabkan seluruh umat Islam menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi, lantas menyebabkan daya beli dan daya ekonomi mereka menurun.

Dari segi imej agama Islam itu sendiri pula, ia secara tidak langsung menyebabkan agama Islam kelihatan tidak menarik pada orang bukan Islam apabila mereka berasa bahawa bagi mengamalkan Islam, mereka terpaksa berbelanja lebih. Akhirnya, kerja-kerja dakwah menjadi lebih sukar apabila imej inflasi dikaitkan dengan Islam.

Usahlah kita menyalahkan sistem dan tatacara dalam Islam sebagai penyebab kenaikan kos. Kenaikan kos dapat disebabkan banyak faktor lain, seperti ketidakcekapan pengendalian, pengurusan rantaian nilai yang tidak optimum, pengurusan kewangan yang kurang cekap dan sebagainya.

Marilah kita memperbaiki kelemahan-kelemahan sedia ada dan tidak menjadikan sistem dan tatacara dalam Islam sebagai kambing hitam.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Tuesday, March 22, 2011

Syarikat kecantikan diarah bayar semula RM8,362

Syarikat kecantikan diarah bayar semula RM8,362


Mohamad Azmar Bidin menunjukan set produk kecantikan yang didakwanya tidak memberi kesan seperti dijanjikan. TTPM di Alor Setar semalam telah mengarahkan syarikat itu memulangkan semula wang beliau.

--------------------------------------------------------------------------------



TIDAK berbaloi! Wang beribu ringgit dihabiskan untuk mencantikkan wajah namun apa yang berlaku, kulit muka seorang pelanggan bertambah teruk dan gatal-gatal.

Bukan itu sahaja, syarikat kecantikan terkenal yang beroperasi di sebuah pusat beli-belah di sini turut didakwa mengenakan caj rawatan berlebihan sehingga RM2,500 tanpa pengetahuan seorang pelanggan lain.

Berikutan itu, syarikat New York Skin Sdn. Bhd. di Alor Setar semalam diarahkan oleh Pengerusi Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Reihana Abd. Razak memulangkan semula wang dua pelanggannya masing-masing berjumlah RM6,362 dan RM2,000 dalam tempoh 14 hari.

Dalam kes pertama, syarikat itu diarah membayar RM6,362 kepada penjawat awam, Mohamad Azmar Bidin, 37, yang mengemukakan tuntutan selepas tidak puas hati terhadap rawatan mencantikkan kulit yang dijanjikan oleh syarikat tersebut.

"Syarikat ini memberi jaminan bahawa masalah kulit muka saya beransur pulih setelah menjalani empat rawatan daripada 15 sesi rawatan yang ditawarkan.

"Namun selepas menjalani lima rawatan, tiada sebarang perubahan sebaliknya muka menjadi lebih teruk dan gatal-gatal, atas nasihat doktor saya berhenti," katanya ketika ditemui di pekarangan TTPM.

Tambahnya, apa yang menyakitkan hatinya adalah pakar kecantikan di situ memberi pelbagai alasan tentang masalah itu termasuk memujuknya membeli satu lagi produk iaitu minuman kolagen.

"Saya sudah membayar RM6,362 untuk rawatan dengan jaminan ia berkesan tetapi dipaksa membeli produk lain pula agar rawatan berkesan. Memang saya rasa tertipu," katanya.

Berbeza pula dengan kes yang dituntut oleh jurujual, Lee Siew Hong, 52, yang mendakwa syarikat terbabit mengenakan caj rawatan berlebihan iaitu RM4,500 berbanding harga yang dipersetujui RM2,000.

"Saya cuma bersetuju mengambil pakej rawatan yang berjumlah RM2,000 dan membayar jumlah tersebut tanpa mengetahui syarikat ini telah menggenakan caj tambahan RM2,500 melalui kad kredit saya," katanya.

Dia yang tidak berpuas hati terus membuat laporan polis dan berjaya mendapat semula wangnya berjumlah RM2,500.

"Tetapi untuk bakinya, RM2,000 mereka asyik tertangguh dan memaksa saya menjalani rawatan. Awal-awal lagi mereka sudah ingin memperdayakan saya dengan cara begini, kenapa saya harus terus menjerat diri saya lagi," katanya.

JANGAN TERTIPU: 11 Jenis Jenayah Siber Utama di Malaysia

Terdapat 11 jenis jenayah siber yang sering menjadikan rakyat negara ini sebagai sasaran.

1. Penipuan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS);

2. Penipuan melalui panggilan telefon;

3. Penyamaran sebagai pegawai bank ataupun polis;

4. Penipuan melalui mesin juruwang automatik (ATM) di bawah Seksyen 4 Akta Jenayah Komersial, iaitu melibatkan transaksi wang dari akaun mangsa;

5. Penipuan ATM dengan menggunakan modus operandi menepuk bahu mangsa;

6. Penipuan membabitkan bungkusan (contohnya kononnya bungkusan itu mengandungi hadiah yang dikirim oleh rakan siber);

7. Penipuan membabitkan perbankan Internet;

8. Penipuan membabitkan perbankan telefon;

9. 'Phishing', iaitu taktik mendapatkan maklumat peribadi mangsa, yang kemudiannya digunakan bagi tujuan jenayah;

10. Penipuan membabitkan pembelian barangan; dan

11. Salah guna rangkaian seperti telefon atau internet untuk mengugut atau memfitnah dan penggodaman (Seksyen 5 AJK).

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

AWAS: Kad Kahwin Putera William

Berhati-hatilah apabila anda berhadapan dengan situasi yang berikut:

1. Mangsa menerima tawaran bagi menyaksikan sendiri majlis perkahwinan Putera William di England.

2. Caranya adalah mangsa perlu membuat pembayaran bagi membeli kad jemputan yang kononnya ditawarkan secara rawak kepada warga dunia.

3. Kad jemputan tersebut ditawarkan pada harga ribuan ringgit.

4. Hakikatnya adalah kad jemputan itu merupakan kad palsu.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Monday, March 21, 2011

Paderi anti-Islam bakar al-Quran

Paderi anti-Islam bakar al-Quran


2011/03/22
GAINESVILLE: Paderi Amerika Syarikat yang anti-Islam, Terry Jones, memutuskan bahawa al-Quran ‘bersalah menyebabkan jenayah’ tertentu dan mengatur sesi pembakaran kitab suci itu di gerejanya, kelmarin.

Pembakaran itu dilakukan paderi Wayne Sapp di bawah pengawasan Jones yang mencetuskan bantahan terhadap rancangan untuk membakar al-Quran sempena sambutan memperingati serangan 11 September 2001 (9/11). Upacara membakar itu dilakukan selepas sesi penghakiman hanya lapan minit sebelum memutuskan kononnya al-Quran didapati bersalah dan dihukum. Kitab itu direndam dalam minyak tanah selama sejam dan diletakkan dalam dulang besi di tengah-tengah gereja itu sebelum Sapp menyalakan api dengan pemetik api barbeku. Kitab itu di bakar selama 10 minit sementara penonton mengambil gambar.

Jones dikutuk hebat banyak pihak termasuk Presiden Barack Obama, Setiausaha Negara Amerika, Hillary Clinton dan Setiausaha Pertahanan, Robert Gates berhubung rancangannya membakar kitab suci Islam, September lalu.

Dia tidak meneruskan rancangannya dan berikrar tidak akan melakukannya sebelum menyatakan dia sudah buat keputusan.

Kali ini, Jones berkata, dia sudah memberi dunia Muslim peluang untuk mempertahankan kitab itu tetapi tidak mendapat maklum balas.
Paderi itu merasakan beliau tidak dapat menjalankan perbicaraan sebenar tanpa hukuman sebenar. Upacara itu dibuka pada orang ramai dan hampir 30 orang menyertainya.

Jadwiga Schatz, yang datang untuk menyokong Jones, meluahkan rasa bimbang dengan perkembangan Islam di Eropah.

“Penganut agama itu pada saya seperti raksasa. Saya benci mereka.
“Ini adalah pengalaman sekali seumur hidup,” katanya.
Jones menganggap majlis itu berjaya. – AFP

Sunday, March 20, 2011

Munasabahkah Alasan Ini?

Harga barangan keperluan terus meningkat dan yang terbaharu adalah kenaikan harga ayam. Yang peliknya adalah apabila ditanya, ada peniaga/penjual yang menyalahkan bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun sebagai punca harga ayam di Malaysia terpaksa dinaikkan.

Persoalannya adalah sejak bila pula bekalan ayam Malaysia bergantung pada Jepun? Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, setakat ini, kerajaan hanya mengimport ikan laut yang digunakan pengusaha restoran makanan Jepun di negara ini bagi memenuhi permintaan pelancong serta sedikit buah-buahan.

Sehubungan itu, bencana yang berlaku di Jepun tidak seharusnya menjejaskan harga barangan keperluan di Malaysia, khususnya ayam dalam konteks ini. Adalah diharap agar tiada peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dengan menggunakan alasan yang bukan-bukan. Pengguna harus diberikan barangan dan perkhidmatan yang terbaik, dan bukannya dizalimi.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Jumlah Anak Haram Terus Meningkat

Anak tak sah taraf cecah 234,647
Oleh Johari Ibrahim

2011/03/21
JPN ajak pelbagai pihak tangani segera gejala sosial

PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran anak tidak sah taraf iaitu bayi hasil hubungan luar nikah, menunjukkan pola meningkat antara 2006 hingga 2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 didaftarkan dalam tempoh itu daripada lebih dua juta kelahiran didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Friday, March 18, 2011

Bible dalam Bahasa Melayu

Mufti S'gor larang Injil guna kalimah Allah diedar

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor.

Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.

"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.

Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut ditarik balik, mengikut pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang Selasa lalu.

Kenyataan bercanggah

Kenyataan Nazri dan Tamyes bersabit pengedaran Kitab Injil itu dijangka menambah kemelut susulan kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh Kementerian Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersabit isu itu.

Tamyes sendiri melahirkan rasa kesal kerana tidak ada penyelarasan dalam menangani isu kitab-kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia itu.

"Sepatutnya kita ni kalau nak buat keputusan biarlah ada persepakatan, kenapa pula seorang mengatakan boleh seorang mengatakan tidak," katanya.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu keputusan Peguam Negara sama ada penahanan 35,000 Kitab Injil di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang boleh ditarik balik.

Menurut Hishamuddin, keputusan itu berkait dengan kes penggunaan kalimah Allah yang masih belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan yang berlarutan sejak 2010.

Namun pada pagi Selasa, Muhyiddin berkata isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok. Katanya, Menteri harus membincangkan perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Syarat KDN satu penghinaan

Ironinya, sebelah petang hari sama Idris Jala mengumumkan kesemua 35,000 naskah yang ditahan di Pelabuhan Kelang (sejak 2009) dan Pelabuhan Kuching (sejak Januari 2011) akan dibenarkan masuk ke negara ini.

Bagaimanapun KDN meletakkan dua syarat iaitu setiap naskah kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan cop "Hanya Untuk Penganut Kristian" sebelum dibenarkan pengedaran dan mesti bersertakan nombor siri.

Syarat itu, bagaimanapun ditolak oleh pihak gereja di Sarawak yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.

Paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor menegaskan penganut Kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab suci mereka.

“Saya rasa jika kita letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini, kita seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah seseorang yang memiliki kitab ini melakukan satu jenayah. Tiada penganut Kristian akan menerima perkara ini,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Thursday, March 17, 2011

Adakah amalan khurafat menjadi salah satu sebab semakin ramai pasangan Islam di Malaysia yang bercerai?

Semoga kita sentiasa sedar akan hakikat perkara khurafat dan menjauhkan diri darinya. Bercakap tentang amalan khurafat, tidak cukup dengan amalan khurafat yang berakar umbikan amalan Nusantara, umat Islam di Malaysia kini dikesan melakukan perbuatan khurafat yang ditiru dari negara barat.

Amalan khurafat yang saya maksudkan di sini adalah amalan melontarkan bunga perkahwinan (bridal bouquet) di kalangan pasangan yang baharu berkahwin di negara-negara barat.

Ini sebenarnya adalah amalan khurafat, yang mana pengantin perempuan akan melontarkan bridal bouquet ke belakang, yakni ke arah para tetamu perempuan. Ini dilakukan seusai majlis perkahwinan tersebut.

Mereka percaya bahawa sesiapa yang dapat menangkap bridal bouquet itu akan cepat mendapat jodoh. Malangnya, amalan ini kini menjadi sebahagian dari ritual perkahwinan di kalangan pasangan yang beragama Islam.

Tidak cukup dengan ini, terdapat juga lain-lain amalan khurafat yang mencemarkan kesucian majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi langkah pertama dalam membina generasi yang selaras dengan kehendak Islam.

Amalan-amalan khurafat semasa majlis perkahwinan menimbulkan persoalan tentang keberkatan pula, iaitu adakah majlis semacam itu diberkati Allah? Persoalan berikutnya adalah jika keluarga dibina dengan menggunakan asas-asas yang disirati amalan khurafat, maka adakah keluarga yang dibina itu nanti akan mendapat keberkatanNya?

Saya tidaklah mengatakan secara pasti bahawa amalan-amalan khurafat inilah yang menjadi salah satu punca semakin ramai pasangan Islam yang bercerai. Namun demikian, sudah tentu pembinaan sesebuah keluarga itu menjadi lebih baik apabila ia dimulakan dengan pengamalan tradisi Islami, bermula dari pemilihan pasangan dan majlis perkahwinan hinggalah kepada pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak. Wallahu’alam.

Fikir-fikirkanlah.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Tuesday, March 15, 2011

Syarikat haji kena bayar RM17,500

Syarikat haji kena bayar RM17,500


2011/03/16
KUALA TERENGGANU: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam, memerintahkan Aflah Haj dan Umrah Service membayar RM17,500 kepada dua pelanggannya selepas syarikat pengendali pakej haji dan umrah itu gagal memberi perkhidmatan ditawarkan.

Presiden TTPM, Reihana Abd Razak dalam keputusannya, memerintahkan wakil syarikat itu, Mustafar Ismail membayar RM10,500 kepada W Abd Razak W Hassan, 50, dan RM7,000 kepada Mohamad Idris, 50, dalam tempoh 30 hari bermula semalam. Mohammad ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana keputusan TTPM membolehkannya mendapatkan semula wang yang dibayar kepada syarikat berkenaan selepas menunggu hampir dua tahun. “Saya membuat pembayaran tiga kali bermula November 2008, Januari dan Mac 2009. Syukur kerana berjaya mendapatkan semula wang berkenaan. Dengan duit yang ada, saya sedang mencari syarikat lain untuk meneruskan impian untuk ke tanah suci sekali lagi bagi mengerjakan umrah.

“Terima kasih kerana TTPM menyelesaikan masalah ini tidak sampai sebulan,” katanya, semalam.

TTPM turut memerintahkan syarikat pemaju perumahan, Se Purnama Development Sdn Bhd membayar RM5,000 kepada Mamat Salleh, 59, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan bermula semalam.

Wang itu dibayar Mamat sebagai pendahuluan bagi menempah rumah mampu milik Fasa 2 di Kampung Padang, Setenga, Kuala Berang.
Tuntutan bagi mendapatkan semula wang pendahuluan itu dibuat selepas permohonan Mamat untuk mendapatkan pinjaman di bank tidak berjaya dan usahanya untuk menemui pegawai syarikat pemaju untuk mendapatkan wang pendahuluan itu sebelum ini tidak berhasil.

Kepenggunaan: Telefon bimbit rosakkan sperma?

Telefon bimbit rosakkan sperma?

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.



S.M Mohamed Idris menunjukkan telefon bimbit yang boleh menyebabkan kerosakan sperma pada sidang media di Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 15 Mac - Golongan lelaki mungkin perlu berhati-hati apabila menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar selepas ini berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa tindakan itu boleh membawa kesan kepada sistem reproduktif mereka.

CAP mendakwa perbuatan menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar yang sering dilakukan kaum lelaki menyebabkan mereka berdepan risiko kerosakan sperma serta mati pucuk.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, keputusan itu berdasarkan hasil kajian pihaknya tahun lalu yang menunjukkan kaitan di antara sperma yang berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari.

Jelas beliau, hasil kajian itu menunjukkan pengguna yang membuat panggilan lebih daripada empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya.

"Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia kemungkinan menghadapi kesukaran untuk menjadi bapa kerana penggunaan telefon bimbit yang meluas.

"Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok, stres, pencemaran dan bahan kimia yang mengganggu hormon," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini.

S.M. Mohamed berkata, lelaki yang membawa telefon bimbit yang diletakkan di bahagian tali pinggang atau dalam poket dengan 'keypad' mengarah ke luar pula akan menghadapi kesan yang tinggi kerana antena berada di belakang dan lebih hampir dengan tubuh.

Katanya, wanita yang sering meletakkan telefon bimbit di dalam beg sandang yang tergantung di sebelah payu dara turut mendapat kesan terhadap kesihatan dalamannya.

Beliau mendakwa pihak pengeluar alat komunikasi itu sendiri telah mengeluarkan peringatan mengenai risiko penggunaannya terhadap kesihatan pengguna.

"Misalnya, syarikat Apple dalam buku panduannya telah memberi amaran kepada pengguna agar menjauhkan Iphone dalam jarak sekurang-kurangnya 15 milimeter daripada tubuh.

"Syarikat Blackberry pula menasihatkan pelanggannya supaya menggunakan telefon bimbit bebas wayar atau menjarakkannya seinci dari tubuh wanita hamil dan bahagian bawah perut remaja. Bagaimanapun, pengguna masih tidak mempedulikan kesan yang akan mereka tanggung itu," katanya.

Justeru, S.M. Mohamed menggesa para pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit kecuali dalam kes-kes kecemasan dan sekiranya perlu gunakan pembesar suara pada jarak 20 sentimeter dari kepala.

Monday, March 14, 2011

AWAS: Emel Dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi yang berikut:

1. Mangsa menerima emel yang kononnya datang dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

2. Dalam emel itu, mangsa diberitahu bahawa dia layak diberikan bayaran balik cukai sebanyak RM700.

3. Emel itu seterusnya menyatakan bahawa bagi memudahkan urusan pembayaran balik cukai itu, mangsa dikehendaki mengemaskinikan maklumat peribadinya.

4. Bagi mengemaskinikan maklumat peribadinya, mangsa dikehendaki klik pada satu pautan yang kononnya adalah salah satu halaman dalam laman sesawang LHDN.

5. Apabila mangsa membuka laman itu, mangsa diminta memberikan butiran diri dan nombor akaun bank mereka.

6. Maklumat peribadi mangsa kemudiannya akan disalahgunakan oleh sindiket yang mendalangi emel palsu ini.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah

SUNGAI PETANI 14 Mac 2011 – Seorang bekas pengurus akaun sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pecah amanah akaun pelanggan bank terbabit bernilai RM74,000 melalui perbankan Internet.

Khor Gek Khim, 28, dilihat bersahaja ketika membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Zainol Saad.

Tertuduh didakwa dengan curangnya memindahkan wang sebanyak RM40,000 milik Beh Poey Su secara perbankan Internet ke akaun Ireene Ching Shwe Chyn untuk kegunaannya sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC) cawangan Sungai Petani di Jalan Ibrahim di sini pada 21 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Gek Khim didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM34,000 milik Poey Su dengan cara yang sama ke akaun Ng Moi Heng untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh dari Taman Keladi di sini pada 24 Januari lalu di cawangan bank yang sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussain mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, Sharifah Syazwani mencadangkan supaya Gek Khim dibebaskan dengan jaminan RM24,000 beserta seorang penjamin.

Peguam T. Jayaraaj yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada kadar munasabah dengan alasan lelaki itu menyara ibu, bapa, isteri dan seorang anak berusia empat bulan.

Menurutnya, tertuduh juga menanggung beban hutang yang banyak untuk diselesaikan.

Mahkamah kemudian membenarkan Gek Khim diikat jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 13 April ini.

Memetik laporan akhbar pada 26 Februari lalu, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kehilangan sejumlah besar wang milik pelanggan yang dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Tertuduh yang meletak jawatan secara sukarela pada 16 Februari lalu ditahan di rumahnya pada 23 Februari lepas, setelah pegawai atasan dan para pelanggan bank berkenaan membuat aduan mengenai kegiatannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, sebanyak 13 laporan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan sehingga 25 Februari lalu.

AWAS: Gempa di Jepun, Harga Barang Naik?

Bencana bukan alasan naik harga barang
BERA 13 Mac - Bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun tidak boleh dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barang keperluan asas sesuka hati.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tiada sebab untuk peniaga menaikkan harga kerana negara matahari terbit itu tidak banyak mengeksport barang keperluan asas ke Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun sedang menunggu laporan penuh tragedi itu dan kaitannya dengan barang keperluan asas yang diimport oleh Malaysia dari Jepun.
"Kita sedang meneliti senarai barang keperluan asas yang diimport dari Jepun. Kebanyakan barang yang diimport adalah membabitkan barang industri.
''Kawasan yang dilanda kemusnahan itu pula berlaku di wilayah timur laut Jepun yang bukan pusat pengeluaran barang keperluan asas," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta menutup kursus motivasi anak-anak yatim tingkatan lima peringkat Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kerayong di sini hari ini.

Kepenggunaan: Botol susu Bisphenel A diharamkan

Botol susu Bisphenel A diharamkam

Mac 14, 11 3:16pm

Kerajaan memutuskan untuk mengharamkan penjualan botol susu polikarbonat yang mengandungi 'Bisphenol A' (BPA), berkuat kuasa 1 Mac 2012, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perkara itu diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 2 Mac lepas sebagai langkah berjaga-jaga kerana sehingga kini tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan botol susu tersebut adalah selamat untuk digunakan oleh golongan berisiko tinggi terutamanya bayi dan kanak-kanak.

"Kementerian tidak akan berkompromi dalam keselamatan pengguna terutamanya bayi dan kanak-kanak. Polikarbonat adalah plastik yang digunakan dalam pembuatan botol susu bayi dan 'bisphenol A' ialah bahan kimia industri yang ditambah dalam botol susu bayi polikarbonat untuk menjadikannya keras dan lutsinar," katanya.

Kerajaan memberi tempoh satu tahun untuk memastikan tindakan pengharaman itu dilaksanakan dengan lancar secara berperingkat, katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

"Pihak industri diberi tempoh masa satu tahun untuk membuat persediaan bagi keperluan pertukaran atau pembelian mesin dan penggunaan bahan mentah yang sesuai".

Tindakan pengharaman itu diambil dengan mengambil kira BPA didapati boleh menyebabkan gangguan kepada sistem hormon sekaligus mengganggu sistem fungsi tubuh, katanya dan menurutnya bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang penilaian dijalankan berhubung sistem hormon dalam tubuh bayi.

Liow berkata pengharaman itu juga adalah selaras dengan tindakan beberapa negara yang telahpun mengharamkan penjualan susu botol tersebut antaranya Jerman, Perancis, Denmark, Kanada, Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan terbaru oleh Kesatuan Eropah.

Menurutnya, sehingga 2010 sebanyak 159 sampel botol susu bayi telah dianalisis dan didapati 85 peratus dikesan mengandungi bahan BPA dalam julat 0 hingga 0.7 mg/kg hasil migrasi daripada botol berkenaan.

Kajian Universiti Malaya juga menunjukkan kadar migrasi BPA meningkat sebanyak tujuh kali ganda pada suhu 80 celsius berbanding pada suhu bilik 25 celsius, katanya.

"Pemantauan secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati terdapat migrasi BPA daripada botol-botol susu bayi polikarbonat yang telah diuji," katanya.

Beliau meminta pengguna mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada migrasi BPA berdasarkan panduan penggunaan botol susu bayi polikarbonat yang disarankan kementerian.

Liow menasihatkan pengguna supaya menukar botol susu bayi polikarbonat kepada alternatif yang terdapat di pasaran mengikut kemampuan masing-masing.

Pengguna juga dinasihatkan meneliti kod identifikasi di bawah botol sama ada polikarbonat atau tidak sebelum membelinya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/8883365/88833655 atau melayari laman web http:moh.gov.my/ atau http://fsq.moh.gov.my.

--Bernama

Thursday, March 10, 2011

WASPADA: Langgar dan Samun

Sindiket samun kereta mewah lumpuh

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
pengarang@utusan.com.my



ANTARA kereta mewah yang disamun ditemui semula selepas 11 suspek ditahan baru-baru ini.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 10 Mac - Polis melumpuhkan satu sindiket samun kereta mewah di sekitar ibu negara yang menggunakan taktik langgar dari belakang selepas menahan 11 individu yang terlibat dalam kegiatan itu, baru-baru ini.

Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 35 tahun dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 20 kes samun kenderaan untuk tahun ini sahaja.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, sindiket ini menjadikan laluan lebuh raya di sekitar Lembah Klang sebagai lokasi jenayah mereka.

"Modus operandi kumpulan ini adalah mengekori kereta mewah dan melanggar belakang kenderaan itu sebelum menyamun mangsa dengan senjata seperti parang atau kayu sebaik sahaja pemandunya keluar dari kenderaan.

"Hasil siasatan polis mendapati, kira-kira 100 kes samun menggunakan modus sebegitu sejak 2009 sehingga Februari lalu membabitkan kerugian kira-kira RM10 juta," katanya pada sidang akhbar di Maktab Polis Diraja Malaysia Cheras di sini hari ini.

Tambah Bakri, susulan penahanan kesemua suspek itu, polis menemui lapan buah kereta mewah yang dicuri antaranya jenis Toyota Alphard, BMW, Mitsubishi Airtrek, Honda Civic dan Toyota Altis yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM800,000.

"Turut ditemui, pelbagai jenis senjata berbahaya seperti parang, pedang dan kayu yang digunakan untuk melakukan jenayah terbabit.

"Sebahagian daripada suspek juga dikesan memiliki rekod jenayah lampau, malah seorang daripadanya baru sahaja dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam, Johor," katanya sambil menambah, kumpulan ini dikesan aktif melakukan kegiatan samun di lebuh raya sekitar Rawang dan Gombak.

Salah seorang daripada mangsa termasuklah Pengarang Sukan Utusan Malaysia, Meor Herman Meor Shakri yang disamun di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Rawang ketika pulang bertugas pada 8 Februari lalu.

Wednesday, March 9, 2011

AWAS: 'Hilang dan Jumpa' taktik terbaru seludup dadah

'Hilang dan Jumpa' taktik terbaru seludup dadah

KUALA LUMPUR 9 Mac - Selepas pelbagai taktik dibongkar pihak berkuasa, sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan menggunakan modus operandi (MO) baru menggunakan taktik 'Hilang dan Jumpa' bagi menyeludup masuk dadah melalui lapangan terbang negara.

Berikutan itu, polis merampas sejumlah 9.8 kilogram (kg) syabu bernilai 2.35 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dan menahan tiga orang termasuk dua wanita dalam tiga kes dari Sabtu lalu sehingga semalam.

Ini berikutan taktik menelan dadah atau mengubah suai bagasi yang dibawa mereka berjaya digagalkan pihak berkuasa melalui operasi penguatkuasaan yang ketat di semua pintu masuk negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim (gambar) berkata, melalui MO terbaru itu, sindiket dadah tidak membawa bagasi seperti biasa tetapi akan melaporkan kehilangan bagasi yang dibawa anggota sindiket atau penyeludup upahan.

Katanya, selang beberapa hari kemudian, anggota sindiket kembali ke lapangan terbang terbabit untuk menuntut bagasi yang dilaporkan 'hilang'.

Beliau berkata, MO itu berjaya dibongkar JSJN Bukit Aman dalam operasi di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) apabila mengesan sebuah beg berisi dadah ditinggalkan di kaunter 'Hilang dan Jumpa', Sabtu lalu.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg pakaian di KLIA, kita berjaya menemui 4.2 kilogram dadah yang bernilai RM1.1 juta. Bagaimanapun, tiada individu ditahan ketika operasi itu," katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Noor Rashid, kurang 24 jam selepas penemuan dadah itu, sepasang lelaki dan wanita warga Iran berjaya ditahan ketika datang ke kaunter 'Hilang dan Jumpa' bagi menuntut bagasi.

Katanya, curiga dengan tindakan suspek, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas dua buah beg dan menjumpai dadah jenis syabu yang disembunyikan di dalam beg bagasi itu.

"Salah satu beg berisi 1.4 kilogram dadah jenis syabu manakala sebuah lagi yang dibawa oleh wanita Iran itu seberat 1.2 kilogram syabu. Kesemua dadah itu bernilai RM500,000," katanya.

Noor Rashid memberitahu, hasil risikan pihaknya turut berjaya menahan seorang wanita warga Vietnam berusia 30 tahun yang turut menuntut bagasi di kaunter Hilang dan Jumpa, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas bagasi suspek, pihaknya menemui dadah jenis syabu seberat tiga kilogram bernilai RM750,000 yang disembunyikan di bawah beg suspek.

"Hasil siasatan, wanita terbabit datang dari Doha ke Kuala Lumpur menggunakan penerbangan Qatar Airways.

"Kita masih lagi menjalankan siasatan jika mereka terdiri dari sindiket yang sama," katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tuesday, March 8, 2011

Kepenggunaan: Dana Rakyat 1Malaysia dilancarkan

Dana Rakyat 1Malaysia dilancar

Oleh WANDA IDRIS
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Mac - Dana Rakyat 1Malaysia dilancarkan hari ini bagi membantu pengguna yang memenangi kes di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) membayar khidmat guaman apabila berdepan dengan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi oleh pihak peniaga atau pembekal perkhidmatan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, melalui dana tersebut, pengguna tidak perlu menanggung kos guaman yang tinggi iaitu antara RM10,000 hingga RM30,000.

Sebaliknya, kata beliau, mereka hanya perlu membayar RM5 dan bantuan khidmat guaman akan diberikan secara percuma.

"Oleh yang demikian pihak pengguna tidak perlu lagi bimbang seandainya kes mereka dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana selepas ini sebarang bayaran khidmat peguam akan ditanggung oleh dana tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) Bantuan Guaman Kepada Pengguna antara kementerian dengan Bank Kerjasama Rakyat (Bank Rakyat) dan Majlis Peguam Malaysia di Menara SSM di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, program bantuan guaman secara percuma itu merupakan kerjasama antara Majlis Peguam Malaysia yang akan menyediakan perkhidmatan guaman kepada pengguna secara percuma.

Sementara itu, katanya, Bank Rakyat akan membayar balik kepada Majlis Peguam Malaysia yuran mahkamah yang dikenakan bagi sesuatu kes yang dibayar melalui dana tersebut.

Menurutnya, buat permulaan sebanyak RM10,000 diperuntukkan bagi dana tersebut yang disumbangkan oleh Bank Rakyat dan SSM.

Terdahulu dalam ucapannya, Ismail Sabri berkata, sejak TTPM ditubuhkan pada 1999 sehingga kini, sebanyak RM257,124,960.07 nilai tuntutan diterima dan daripada jumlah tersebut, sebanyak RM142,338,575.53 tuntutan dibayar.

Sementara itu, kata beliau, jumlah tuntutan yang difailkan pula adalah sebanyak 56,415 dengan 55,603 kes berjaya diselesaikan.

"Daripada jumlah kes yang difailkan, hanya lebih kurang 130 kes sahaja yang dibawa ke Mahkamah Tinggi untuk semakan kehakiman.

"Walaupun angka ini kecil, ia tetap beban kewangan yang besar kepada pengguna. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu dan memberikan perlindungan kepada mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, TTPM mengambil inisiatif membuka lebih banyak cawangan baru bagi memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang tinggal di luar bandar.

Tahun ini sahaja, sebanyak 10 cawangan dibuka dan lima daripadanya telah beroperasi iaitu di Taiping dan Manjung, Perak; Batu Pahat, Johor; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Kulim, Kedah.

Sunday, March 6, 2011

AWAS: Sindiket Pelaburan Emas

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi berikut:

1. Mangsa ditawarkan peluang bagi menyertai skim pelaburan berasaskan emas.

2. Bagi menyertai skim ini, mangsa perlu membeli jongkong emas seberat sekilogram dengan harga pasaran antara RM135,000 hingga RM150,000.

3. Pengendali skim ini turut menawarkan pulangan tiga peratus daripada harga emas kepada pembeli bagi setiap bulan bagi tempoh tiga bulan.

4. Pengendali skim ini kemudiannya membayar dividen tiga peratus berkenaan pada bulan pertama dan kedua sebelum menawarkan untuk membeli semula jongkong emas terbabit pada bulan ketiga.

5. Sesudah mangsa bersetuju untuk menjual semula dan telah menyerahkan emas berkenaan, wakil pengendali skim ini melarikan diri bersama emas tanpa membuat sebarang bayaran.

Berhati-hatilah.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Wednesday, March 2, 2011

CAP dakwa harga makanan lonjak hingga 167 peratus

CAP dakwa harga makanan lonjak hingga 167 peratus

Persatuan Pengguna Pulau Pinang mendakwa harga pelbagai makanan telah melonjak antara 20 peratus hingga 167 peratus sejak bulan lalu akibat kenaikan harga pelbagai barangan keperluan.

Presidennya, SM Mohamed Idris berkata peningkatan harga makanan itu telah menyebabkan kesukaran yang amat sangat kepada kehidupan pengguna.

"Satu hidangan sayuran yang dijual pada harga 60 sen enam bulan yang lepas, kini dijual pada harga 80 sen hingga RM1.00 setiap hidangan, peningkatan 25 peratus hingga 66 peratus; udang (saiz sederhana) daripada RM1.50 hingga RM4.00 setiap satu, peningkatan 167 peratus," katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut SM Mohamed, pengusaha restoran dan pemilik gerai makanan yang ditemubual oleh pegawai CAP, berkata kenaikan harga makanan dan minuman ringan adalah akibat daripada kenaikan harga barangan keperluan yang diimport seperti bawang, bawang putih, kacang dal dan rempah; ayam, daging, daging kambing, ikan, udang, sayuran, tepung beras, telur, susu pekat manis, biji kopi, serbuk teh daripada antara 20 peratus sehingga 200 peratus serta peningkatan dalam harga gas dan bahan api.


Katanya kajian yang dijalankan sekitar gerai-gerai di Pulau Pinang itu mendapati kenaikan bukan sahaja membabitkan kedai makanan orang Islam tetapi juga menjejaskan makanan orang Cina dan India.

"Harga char koay teow di gerai makanan Cina menunjukkan peningkatan 50 peratus daripada RM3.00 kepada RM4.50 sepinggan.

"Barangan makanan lain seperti moey daging atau bubur meningkat daripada RM3.50 kepada RM4.50; mee udang daripada RM4.50 kepada RM5.50; mee tomyam RM4.00 kepada RM4.50; nasi goreng daripada RM3.50 kepada RM4.00," katanya.

Menurut beliau bagi makan India pula, harga tosai yang dijual RM1.00 setiap satu kini meningkat RM1.20, peningkatan 20 peratus harga roti canai dan nasi lemak masih sama tetapi kandungannya telah dikurangkan.

"Harga kopi dan teh telah meningkat daripada 80 sen kepada RM1.00 hingga RM1.10 segelas; Nescafe, Horlicks dan Milo meningkat daripada RM1.20 kepada RM1.30 segelas; minuman tin dan jus segar pula meningkat daripada RM1.50 kepada RM2.00, peningkatan 33 peratus.

"Di sesetengah tempat ais kosong telah meningkat daripada 20 sen kepada 40 sen segelas iaitu peningkatan 100 peratus," katanya.

Presiden CAP itu berkata memandangkan kenaikan kos, bayaran bagi perkhidmatan lain seperti pembaikan paip, elektrik, bengkel kereta, membaiki motosikal juga telah meningkat bayarannya daripada antara 20 peratus kepada 30 peratusdalam tempoh lebih enam bulan lalu.

Sehubungan itu, SM Mohamed menggesa kerajaan mempertimbangkan perkara ini dengan serius bagi mencari jalan bagaimana untuk mengatasi kenaikan kos.

"Pengguna (perlu) berhati-hati dalam berbelanja dan untuk meminimumkan makan di luar dan jika mereka tidak mempunyai pilihan tetapi terpaksa makan di luar, maka pilihlah kedai yang mengenakan harga yang berpatutan.

"CAP juga menggesa peniaga supaya memainkan peranan mereka dalam membantu situasi kenaikan harga dengan mengurangkan pengambilan keuntungan bagi memastikan mereka dapat meneruskan perniagaan," katanya.

Deposit haram: Pengarah dipenjara tiga tahun

Deposit haram: Pengarah dipenjara tiga tahun
PULAU PINANG 2 Mac - Seorang pengarah syarikat dihukum penjara tiga tahun dan denda RM300,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tuduhan mengambil deposit secara haram daripada orang ramai menerusi skim pelaburan perniagaan ginseng.
Selain itu, syarikat milik pengarah tersebut, Madang Impian Sdn. Bhd. didenda RM200,000.
Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Khor Cheng Loo, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan pembelaannya hanya berbentuk penafian.
"Keputusan juga dibuat disebabkan kegagalan Cheng Loo menghadiri beberapa perbicaraan, gagal menyerah diri biarpun waran tangkap dikeluarkan, alamat tidak betul, penjamin tidak mengetahui lokasi tertuduh dan kegagalan melaporkan diri di balai polis seperti ditetapkan.
"Akibat beberapa syarat dilanggar dan tidak dipatuhi, mahkamah tidak membenarkan permohonan melanjutkan ikat jamin sementara menunggu rayuan manakala hukuman dilaksanakan serta-merta," tegasnya.
Cheng Loo didakwa menerima wang deposit daripada orang ramai tanpa lesen sah untuk syarikat yang menjalankan urus niaga pelaburan ginseng antara Jun 2001 dan Februari 2002 di Northam Tower, Jalan Sultan Ahmad Shah di sini.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Perbankan dan Kewangan 1989 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM10 juta atau kedua-duanya.
Tertuduh diwakili peguam, Khoo Chye Beng manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa dari Bank Negara Malaysia (BNM), Alvin Ong Heng Kiat.
Terdahulu, Alvin membantah permohonan Cheng Loo supaya ikat jamin dilanjutkan kerana tertuduh telah melanggar beberapa syarat jaminan malah ini adalah kes pertama di negeri ini.
"Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, ia dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai," ujarnya.

Terpaksa jual aset untuk lunaskan hutang akibat pinjam ah long

Terpaksa jual aset untuk lunaskan hutang akibat pinjam ah long
JOHOR BAHRU 2 Mac – Kira-kira 60 peratus kes membabitkan pinjaman menerusi ceti haram atau ah long yang dikendalikan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) adalah berpunca daripada tabiat berjudi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Akwal Sultan berkata, keadaan itu mengakibatkan peminjam terpaksa menggunakan sumber pendapatan bagi melunaskan hutang dan selebihnya untuk keperluan asas termasuk membeli makanan.
Beliau berkata, bagi mengeluarkan peminjam daripada masalah tersebut, AKPK lazimnya akan menilai aset yang mereka miliki untuk membayar semula jumlah pinjaman.
“Apabila peminjam ah long datang ke AKPK, kita akan nasihatkan mereka untuk membuat bajet dan melaluinya kita akan cari jalan penyelesaian secepat yang boleh.
“Mungkin mereka kena jual aset untuk bayar balik pinjaman. Biasanya mereka yang mempunyai masalah ini jarang bercakap benar bahawa mereka meminjam wang daripada ah long,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Pengurusan Wang Ringgit Anda (Power!) di Hotel Mutiara, di sini hari ini.
Program itu untuk mendidik setiap individu cara mengurus kewangan dengan baik sekali gus mengelakkan mereka dibelenggu masalah hutang keliling pinggang.
Mohamed Akwal berkata, selain masalah judi, peminjam juga biasanya meminjam daripada ah long kerana mengalami masalah kewangan dalam bidang perniagaan.
Beliau berkata, sejak 2006 hingga kini, seramai 142,574 pelanggan telah mendapatkan perkhidmatan kaunseling dan hampir 54,116 pelanggan dibantu melalui program itu.
Menurutnya, sasaran program itu adalah golongan muda berumur antara 18 hingga 30 tahun dan ia menunjukkan keseriusan Bank Negara Malaysia (BNM) bersama-sama AKPK membendung masalah hutang isi rumah lebih awal sebelum ia berada di luar kawalan.
Beliau memberitahu, program itu akan diperkenal melalui laman web AKPK pada Jun atau Julai ini bagi memudahkan orang ramai mengaksesnya secara percuma.
Mohamed Akwal berkata, program itu akan diadakan di tujuh lokasi pada tahun ini iaitu Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Melaka, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Kuching dan Kuala Terengganu.
Setakat ini, lebih 1,000 orang menyertainya iaitu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka, katanya.
“Selepas ini kita akan adakan pula di Kota Kinabalu pada 9 Mac diikuti di Kuching (16 Mac) sebelum berakhir di Kuala Terengganu (30 Mac),” katanya

Hati-hati dengan perbankan Internet - Polis

Hati-hati dengan perbankan Internet - Polis
KUALA LUMPUR 2 Mac - Polis mengingatkan para pengguna perkhidmatan perbankan Internet agar tidak mudah terpedaya dengan e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon yang meminta mereka mendedahkan maklumat perbankan.
Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Asisten Komisioner Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, kes penipuan melibatkan perbankan Internet meningkat dengan amat ketara.
"Mengikut statistik, pada 2009, 75 kes penipuan melalui perbankan Internet dilaporkan dengan kerugian berjumlah lebih RM200,000 dan ia terus meningkat dengan 353 kes dan kerugian kira-kira RM1.2 juta, pada tahun lepas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati kebanyakan mangsa terdiri daripada pengguna Maybank2U yang terpedaya dengan modus operandi digunakan melalui penghantaran e-mel kepada pengguna.
"E-mel yang berbentuk 'Security Alert' itu kemudian mengarahkan mangsa mengemas kini akaun perbankan Internet mereka dengan memasukkan kata nama, kata laluan dan nombor TAC.
"Ia kononnya bagi tujuan keselamatan bank dan mengelakkan akaun mereka dibatalkan," katanya.
Katanya, mangsa bagaimanapun hanya mengetahui mereka ditipu setelah menerima SMS dari pihak bank yang memaklumkan wang mereka telah dipindahkan ke akaun ketiga.
"Untuk makluman pengguna, pihak bank tidak menggunakan perkhidmatan e-mel untuk tujuan kemas kini akaun perbankan Internet.
"Sehubungan itu, sekiranya pengguna menerima e-mel sedemikian, sila abaikannya," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penipuan perbankan Internet boleh menyalurkan maklumat tersebut ke Pusat Kawalan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di talian 03-26163999.

1,086 penjawat awam bankrap, ramai dibelenggu hutang

1,086 penjawat awam bankrap, ramai dibelenggu hutang


2011/03/02
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, hari ini mendedahkan ramai penjawat awam di negara ini dibelenggu masalah keterhutangan yang serius yang mungkin membawa kepada kebankrapan.

Beliau berkata, pada 2009 sahaja Jabatan Insolvensi Malaysia melaporkan seramai 1,086 penjawat awam diisytiharkan bankrap di mana 72.74 peratus daripadanya adalah lelaki.
"Masalah ini perlu difahami oleh semua penjawat awam kerana belenggu masalah hutang boleh menjejaskan prestasi penjawat awam dan sekiranya prestasi terjejas dengan teruk maka boleh diambil tindakan tatatertib," katanya ketika merasmikan Taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Taklimat Kebankrapan dan Taklimat Bantuan Guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia itu adalah Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman.

Justeru, Liew berkata taklimat tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada penjawat awam bagaimana untuk menangani isu berkaitan dengan hutang dan kebankrapan.

Beliau berkata, ia juga bagi memberi penerangan mengenai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat yang telah diluluskan oleh Parlimen tahun lepas dan telah mula dikuatkuasakan pada 15 Disember tahun yang sama, serta taklimat mengenai Bantuan Guaman untuk penjawat awam.

"Ahli-ahli CUEPACS yang berpendapatan kurang dari RM25,000 setahun boleh mendapat perkhidmatan guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman dalam kes-kes seperti petisyen perceraian, tuntutan nafkah, tuntutan harta sepencarian, hak penjagaan anak dan lain-lain masalah kekeluargaan.
"Sekiranya pendapatan lebih RM25,000 tetapi tidak lebih RM30,000 mereka hanya akan dikenakan bayaran minimum," katanya. - BERNAMA

Tuesday, March 1, 2011

Kalau semua haram, pilih haram yang lebih menguntungkan?

Dalam kita mengharungi dunia yang serba moden ini, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui, termasuklah cabaran dari segi asakan pemikiran dan fahaman dalam persekitaran yang menjadi pentas persaingan antara ideologi. Terdapat pemikiran yang membawa kesan positif dan selari dengan kehendak Islam dan pada masa yang sama, ada juga pemikiran, falsafah dan fahaman yang bukan sahaja mengundang akibat negatif, malah adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang syumul.

Dewasa ini, terdapat perkembangan yang membimbangkan, iaitu kecenderungan bagi sesetengah penganut Islam memperwaraskan pemilihan antara dua perkara yang dianggap sebagai haram. Kecenderungan ini timbul ekoran kurangnya pengetahuan umat Islam di kala mereka berdepan dengan pelbagai pilihan, iaitu opsyen yang meliputi segenap bidang, seperti kewangan dan makanan.

Ada antara opsyen itu memang jelas statusnya, yakni haram, manakala ada pula yang terus menjadi perdebatan hangat yang membabitkan golongan agamawan dan juga individu biasa. Contoh yang mungkin paling ketara kini adalah perdebatan yang berlaku tentang sektor perbankan dan kewangan Islam, yang mana terdapat perdebatan membabitkan pelbagai isu Syariah.

Sejak diperkenalkan berdekad yang lalu, sektor perbankan dan kewangan Islam mengalami pertumbuhan pesat lebih daripada 20% setahun. Dari produk yang memenuhi keperluan kewangan asas umat Islam, sektor tersebut kini menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja digunakan oleh umat Islam, tetapi juga orang bukan Islam. Bahkan terdapat beberapa buah negara dengan majoriti penduduk bukan Islam yang memperkenalkan kewangan Islam sebagai sebahagian daripada komponen dalam sistem kewangan nasional mereka, termasuklah United Kingdom dan Perancis.

Bagi umat Islam, pertimbangan utama yang digunakan adalah sama ada sesuatu produk kewangan itu selaras dengan kehendak Islam ataupun tidak. Bagi golongan bukan Islam pula, faktor kos dan faedah menjadi kriteria utama sebelum mereka memilih produk kewangan. Misalnya, dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat, orang bukan Islam akan memilih produk kewangan Islam disebabkan kadar keuntungannya yang tetap (ini terpakai bagi produk seperti pembiayaan perumahan yang berasaskan konsep bai’ bithaman ajil).. Faktor kadar keuntungan yang tetap itu mampu memudahkan perancangan kewangan, disebabkan kurangnya ketidaktentuan.

Walau bagaimanapun, sejak diperkenalkan, perbankan Islam menghadapi pelbagai cabaran. Perbankan Islam kini dimomokkan dengan pelbagai cemuhan kerana ia dikatakan tidak memenuhi kehendak Islam secara sepenuhnya. Pada ketika yang sama, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan pemikiran bahawa perbankan Islam tiada bezanya dengan perbankan konvensional.

Di satu sisi, mereka bersetuju bahawa perbankan konvensional memang haram. Namun begitu, pada masa yang sama, mereka berhujah bahawa perbankan Islam juga tidak halal secara sepenuhnya. Natijahnya adalah mereka membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya haram, atas alasan bahawa perbankan dan kewangan Islam melibatkan percampuran antara unsur halal dan juga haram.

Maka mereka menyarankan supaya umat Islam memilih perbankan konvensional yang dianggap lebih menguntungkan (contohnya, ansuran bulanan pinjaman perumahan dari bank konvensional dikatakan lebih murah daripada pembiayaan perumahan dari institusi perbankan Islam). Ini kerana menurut mereka, jika kedua-duanya memang haram, adalah lebih baik umat Islam memilih sesuatu yang lebih menguntungkan mereka.

Saya tidak bermaksud di sini bahawa sistem perbankan dan kewangan Islam yang wujud pada masa kini tidak mempunyai sebarang kelemahan. Ya, memang sistem yang sedia ada mempunyai kelemahan-kelemahan yang mesti diperbaiki demi memastikan keadilan, kesaksamaan dan ekuiti buat semua pesertanya, termasuklah para pengguna. Contohnya adalah dari segi penetapan harga bagi produk perbankan dan kewangan Islam. Institusi kewangan Islam juga dikritik kerana sering menggunakan alasan darurat sebagai justifikasi bagi mengesahkan amalan perbankan mereka.

Namun demikian, adakah pemikiran di atas selari dengan kehendak Islam? Mereka berhujah bahawa disebabkan kedua-dua perbankan konvensional dan perbankan Islam masih melibatkan percampuran antara elemen haram dan halal, maka adalah lebih baik bagi umat Islam memilih perbankan konvensional yang dikatakan lebih murah dan menguntungkan. Adalah jelas bahawa pemikiran yang saya sebutkan di atas perlu ditangani kerana ia mampu mengakibatkan implikasi lain yang lebih besar.

Misalnya, pandangan yang sejenis dengan fahaman di atas adalah pendapat bahawa tiada gunanya memilih antara makanan yang halal dan haram. Ini kerana mereka dapat menggunakan hujah bahawa dalam zaman teknologi yang serba canggih ini, adalah tidak sukar bagi pengeluar dan pengendali makanan bagi meniru sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Mereka juga dapat berhujah bahawa disebabkan masalah penguatkuasaan, pengeluar dan pengendali makanan yang mempamerkan sijil halal tidak semestinya mengeluar dan menjual produk yang halal di sisi Islam. Maka mereka berhujah apa bezanya antara produk yang mempunyai sijil halal dan yang tidak?

Mereka mengatakan yang haram memang sudah jelas haram tetapi yang dikatakan halal pun tidak semestinya halal berdasarkan hujah-hujah yang dijelaskan sebentar tadi. Maka dalam situasi yang mengelirukan seperti ini, mereka menyarankan supaya umat Islam mengambil jalan mudah, iaitu mengutamakan selera masing-masing daripada memilih makanan berdasarkan status halalnya. Pertimbangan logik akal mereka adalah jika makanan yang halal pun belum tentu halal, maka adalah lebih baik bagi orang Islam memilih makanan haram, yakni jika ia lebih serasi dengan selera mereka berbanding dengan makanan halal.

Potensi akibat buruk fahaman ini yang lebih besar lagi adalah mereka yang menganut fahaman ini berhujah bahawa dalam dunia akhir zaman ini, keseluruhan ekonomi dunia didominasi oleh sistem ekonomi yang haram, iaitu sistem riba. Jadi, mereka berkata bahawa kalau sudah memang keseluruhannya haram, apa gunanya kita mengamalkan tatacara perniagaan Islam dalam kehidupan seharian?

Mereka berkata tiada gunanya umat Islam mengamalkan tatacara perniagaan Islam dalam kehidupan seharian kerana akhirnya, usaha mereka masih dikekang oleh persekitaran makro yang lebih besar, iaitu persekitaran ekonomi ribawi yang merupakan sistem ekonomi bagi majoriti penduduk dunia. Mereka menggunakan hujah ini sebagai asas bagi membenarkan penyelewengan, penipuan, pecah amanah, rasuah dan segala macam jenayah ekonomi.

Sikap liberal dalam melakukan jenayah ekonomi ini seterusnya akan berkembang kepada sikap liberal dalam segala aspek kehidupan, termasuklah ibadah, muamalah dan munakahat. Lama-kelamaan, kepercayaan dan keyakinan umat Islam pada agama mereka sendiri terhakis, malah mereka lebih percaya pada sistem yang jelas haram di sisi Islam. Persepsi mereka mengatakan bahawa sistem yang tidak Islamik itu seakan-akan memberikan keuntungan yang besar, sekalipun ‘keuntungan’ itu hanya bersifat jangka pendek dan mempunyai kesan negatif yang berpanjangan dan menyeluruh.

Pemikiran di atas sebenarnya mengambil kesempatan atas cubaan dan dugaan yang melanda umat Islam dalam usaha mereka mengamalkan gaya hidup Islam. Semasa cabaran melanda, mereka membisikkan fahaman ini, kononnya dengan tujuan membantu umat Islam dan memberikan kemampuan kepada mereka bagi menjadi umat yang lebih berjaya di mata dunia. Kesimpulannya, fahaman ini perlu dibendung bagi mengelakkan umat Islam terjerumus ke dalam kepercayaan yang seakan masuk akal, tetapi sebenarnya penuh dengan penipuan dan kekeliruan.