Tuesday, March 1, 2011

Kalau semua haram, pilih haram yang lebih menguntungkan?

Dalam kita mengharungi dunia yang serba moden ini, terdapat pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui, termasuklah cabaran dari segi asakan pemikiran dan fahaman dalam persekitaran yang menjadi pentas persaingan antara ideologi. Terdapat pemikiran yang membawa kesan positif dan selari dengan kehendak Islam dan pada masa yang sama, ada juga pemikiran, falsafah dan fahaman yang bukan sahaja mengundang akibat negatif, malah adalah bertentangan dengan ajaran Islam yang syumul.

Dewasa ini, terdapat perkembangan yang membimbangkan, iaitu kecenderungan bagi sesetengah penganut Islam memperwaraskan pemilihan antara dua perkara yang dianggap sebagai haram. Kecenderungan ini timbul ekoran kurangnya pengetahuan umat Islam di kala mereka berdepan dengan pelbagai pilihan, iaitu opsyen yang meliputi segenap bidang, seperti kewangan dan makanan.

Ada antara opsyen itu memang jelas statusnya, yakni haram, manakala ada pula yang terus menjadi perdebatan hangat yang membabitkan golongan agamawan dan juga individu biasa. Contoh yang mungkin paling ketara kini adalah perdebatan yang berlaku tentang sektor perbankan dan kewangan Islam, yang mana terdapat perdebatan membabitkan pelbagai isu Syariah.

Sejak diperkenalkan berdekad yang lalu, sektor perbankan dan kewangan Islam mengalami pertumbuhan pesat lebih daripada 20% setahun. Dari produk yang memenuhi keperluan kewangan asas umat Islam, sektor tersebut kini menawarkan pelbagai jenis produk dan perkhidmatan yang bukan sahaja digunakan oleh umat Islam, tetapi juga orang bukan Islam. Bahkan terdapat beberapa buah negara dengan majoriti penduduk bukan Islam yang memperkenalkan kewangan Islam sebagai sebahagian daripada komponen dalam sistem kewangan nasional mereka, termasuklah United Kingdom dan Perancis.

Bagi umat Islam, pertimbangan utama yang digunakan adalah sama ada sesuatu produk kewangan itu selaras dengan kehendak Islam ataupun tidak. Bagi golongan bukan Islam pula, faktor kos dan faedah menjadi kriteria utama sebelum mereka memilih produk kewangan. Misalnya, dalam persekitaran kadar faedah yang meningkat, orang bukan Islam akan memilih produk kewangan Islam disebabkan kadar keuntungannya yang tetap (ini terpakai bagi produk seperti pembiayaan perumahan yang berasaskan konsep bai’ bithaman ajil).. Faktor kadar keuntungan yang tetap itu mampu memudahkan perancangan kewangan, disebabkan kurangnya ketidaktentuan.

Walau bagaimanapun, sejak diperkenalkan, perbankan Islam menghadapi pelbagai cabaran. Perbankan Islam kini dimomokkan dengan pelbagai cemuhan kerana ia dikatakan tidak memenuhi kehendak Islam secara sepenuhnya. Pada ketika yang sama, ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menyebarkan pemikiran bahawa perbankan Islam tiada bezanya dengan perbankan konvensional.

Di satu sisi, mereka bersetuju bahawa perbankan konvensional memang haram. Namun begitu, pada masa yang sama, mereka berhujah bahawa perbankan Islam juga tidak halal secara sepenuhnya. Natijahnya adalah mereka membuat kesimpulan bahawa kedua-duanya haram, atas alasan bahawa perbankan dan kewangan Islam melibatkan percampuran antara unsur halal dan juga haram.

Maka mereka menyarankan supaya umat Islam memilih perbankan konvensional yang dianggap lebih menguntungkan (contohnya, ansuran bulanan pinjaman perumahan dari bank konvensional dikatakan lebih murah daripada pembiayaan perumahan dari institusi perbankan Islam). Ini kerana menurut mereka, jika kedua-duanya memang haram, adalah lebih baik umat Islam memilih sesuatu yang lebih menguntungkan mereka.

Saya tidak bermaksud di sini bahawa sistem perbankan dan kewangan Islam yang wujud pada masa kini tidak mempunyai sebarang kelemahan. Ya, memang sistem yang sedia ada mempunyai kelemahan-kelemahan yang mesti diperbaiki demi memastikan keadilan, kesaksamaan dan ekuiti buat semua pesertanya, termasuklah para pengguna. Contohnya adalah dari segi penetapan harga bagi produk perbankan dan kewangan Islam. Institusi kewangan Islam juga dikritik kerana sering menggunakan alasan darurat sebagai justifikasi bagi mengesahkan amalan perbankan mereka.

Namun demikian, adakah pemikiran di atas selari dengan kehendak Islam? Mereka berhujah bahawa disebabkan kedua-dua perbankan konvensional dan perbankan Islam masih melibatkan percampuran antara elemen haram dan halal, maka adalah lebih baik bagi umat Islam memilih perbankan konvensional yang dikatakan lebih murah dan menguntungkan. Adalah jelas bahawa pemikiran yang saya sebutkan di atas perlu ditangani kerana ia mampu mengakibatkan implikasi lain yang lebih besar.

Misalnya, pandangan yang sejenis dengan fahaman di atas adalah pendapat bahawa tiada gunanya memilih antara makanan yang halal dan haram. Ini kerana mereka dapat menggunakan hujah bahawa dalam zaman teknologi yang serba canggih ini, adalah tidak sukar bagi pengeluar dan pengendali makanan bagi meniru sijil halal yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Mereka juga dapat berhujah bahawa disebabkan masalah penguatkuasaan, pengeluar dan pengendali makanan yang mempamerkan sijil halal tidak semestinya mengeluar dan menjual produk yang halal di sisi Islam. Maka mereka berhujah apa bezanya antara produk yang mempunyai sijil halal dan yang tidak?

Mereka mengatakan yang haram memang sudah jelas haram tetapi yang dikatakan halal pun tidak semestinya halal berdasarkan hujah-hujah yang dijelaskan sebentar tadi. Maka dalam situasi yang mengelirukan seperti ini, mereka menyarankan supaya umat Islam mengambil jalan mudah, iaitu mengutamakan selera masing-masing daripada memilih makanan berdasarkan status halalnya. Pertimbangan logik akal mereka adalah jika makanan yang halal pun belum tentu halal, maka adalah lebih baik bagi orang Islam memilih makanan haram, yakni jika ia lebih serasi dengan selera mereka berbanding dengan makanan halal.

Potensi akibat buruk fahaman ini yang lebih besar lagi adalah mereka yang menganut fahaman ini berhujah bahawa dalam dunia akhir zaman ini, keseluruhan ekonomi dunia didominasi oleh sistem ekonomi yang haram, iaitu sistem riba. Jadi, mereka berkata bahawa kalau sudah memang keseluruhannya haram, apa gunanya kita mengamalkan tatacara perniagaan Islam dalam kehidupan seharian?

Mereka berkata tiada gunanya umat Islam mengamalkan tatacara perniagaan Islam dalam kehidupan seharian kerana akhirnya, usaha mereka masih dikekang oleh persekitaran makro yang lebih besar, iaitu persekitaran ekonomi ribawi yang merupakan sistem ekonomi bagi majoriti penduduk dunia. Mereka menggunakan hujah ini sebagai asas bagi membenarkan penyelewengan, penipuan, pecah amanah, rasuah dan segala macam jenayah ekonomi.

Sikap liberal dalam melakukan jenayah ekonomi ini seterusnya akan berkembang kepada sikap liberal dalam segala aspek kehidupan, termasuklah ibadah, muamalah dan munakahat. Lama-kelamaan, kepercayaan dan keyakinan umat Islam pada agama mereka sendiri terhakis, malah mereka lebih percaya pada sistem yang jelas haram di sisi Islam. Persepsi mereka mengatakan bahawa sistem yang tidak Islamik itu seakan-akan memberikan keuntungan yang besar, sekalipun ‘keuntungan’ itu hanya bersifat jangka pendek dan mempunyai kesan negatif yang berpanjangan dan menyeluruh.

Pemikiran di atas sebenarnya mengambil kesempatan atas cubaan dan dugaan yang melanda umat Islam dalam usaha mereka mengamalkan gaya hidup Islam. Semasa cabaran melanda, mereka membisikkan fahaman ini, kononnya dengan tujuan membantu umat Islam dan memberikan kemampuan kepada mereka bagi menjadi umat yang lebih berjaya di mata dunia. Kesimpulannya, fahaman ini perlu dibendung bagi mengelakkan umat Islam terjerumus ke dalam kepercayaan yang seakan masuk akal, tetapi sebenarnya penuh dengan penipuan dan kekeliruan.

No comments:

Post a Comment