Tuesday, March 29, 2011

KEPENGGUNAAN: Sesco diarah bayar RM1,675 kepada pasangan suami isteri

Sesco diarah bayar RM1,675 kepada pasangan suami isteri
AKIBAT pengaliran arus elektrik berlebihan, sepasang suami isteri terpaksa berputih mata apabila peralatan elektrik dan elektronik di kediamannya di Taman Haji Baki, Kuching, Sarawak mengalami kerosakan.

Mana tidaknya, bukan sahaja mesin basuh tetapi pam air elektrik dan alat mandi wap tidak dapat berfungsi ekoran daripada masalah berkenaan.

Tidak puas hati dengan masalah tersebut yang menyebabkan mereka kerugian, Raymond Jeyaraj Noel dan isteri, Komarusamy Tamenthi membuat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kuching.

Pada prosiding tuntutannya yang didengar semalam, Syarikat Sesco Bhd. (Sesco) yang merupakan pembekal elektrik di Sarawak telah diarahkan membayar RM1,675 kepada pasangan suami isteri tersebut.

Presiden TTPM, Preatam Singh yang memutuskan demikian turut memerintahkan agar bayaran tersebut dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

Terdahulu, Sesco dalam pembelaannya menyatakan kesanggupan membayar balik kos kerosakan kepada pasangan suami isteri berkenaan.

Sikap tanggungjawab Sesco dibuktikan apabila syarikat itu dengan serta-merta mengeluarkan cek tunai bagi menyelesaikan tuntutan terbabit

Dalam pada itu, Preatam mengingatkan setiap pengguna supaya mempunyai kefahaman mengenai kes seumpamanya bagi mendapatkan pembelaan sekiranya tertindas.

''Masyarakat harus sedar tentang hak-hak mereka sebagai pengguna supaya pihak yang berkaitan dengan perkhidmatan seperti ini (bekalan elektrik) tidak mengambil kesempatan terhadap kita,'' ujarnya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Preatam menambah kata, sepanjang 2007 sehingga sekarang, sebanyak 28 kes sedemikian telah dilaporkan kepada TTPM.

No comments:

Post a Comment