Thursday, March 17, 2011

Adakah amalan khurafat menjadi salah satu sebab semakin ramai pasangan Islam di Malaysia yang bercerai?

Semoga kita sentiasa sedar akan hakikat perkara khurafat dan menjauhkan diri darinya. Bercakap tentang amalan khurafat, tidak cukup dengan amalan khurafat yang berakar umbikan amalan Nusantara, umat Islam di Malaysia kini dikesan melakukan perbuatan khurafat yang ditiru dari negara barat.

Amalan khurafat yang saya maksudkan di sini adalah amalan melontarkan bunga perkahwinan (bridal bouquet) di kalangan pasangan yang baharu berkahwin di negara-negara barat.

Ini sebenarnya adalah amalan khurafat, yang mana pengantin perempuan akan melontarkan bridal bouquet ke belakang, yakni ke arah para tetamu perempuan. Ini dilakukan seusai majlis perkahwinan tersebut.

Mereka percaya bahawa sesiapa yang dapat menangkap bridal bouquet itu akan cepat mendapat jodoh. Malangnya, amalan ini kini menjadi sebahagian dari ritual perkahwinan di kalangan pasangan yang beragama Islam.

Tidak cukup dengan ini, terdapat juga lain-lain amalan khurafat yang mencemarkan kesucian majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi langkah pertama dalam membina generasi yang selaras dengan kehendak Islam.

Amalan-amalan khurafat semasa majlis perkahwinan menimbulkan persoalan tentang keberkatan pula, iaitu adakah majlis semacam itu diberkati Allah? Persoalan berikutnya adalah jika keluarga dibina dengan menggunakan asas-asas yang disirati amalan khurafat, maka adakah keluarga yang dibina itu nanti akan mendapat keberkatanNya?

Saya tidaklah mengatakan secara pasti bahawa amalan-amalan khurafat inilah yang menjadi salah satu punca semakin ramai pasangan Islam yang bercerai. Namun demikian, sudah tentu pembinaan sesebuah keluarga itu menjadi lebih baik apabila ia dimulakan dengan pengamalan tradisi Islami, bermula dari pemilihan pasangan dan majlis perkahwinan hinggalah kepada pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak. Wallahu’alam.

Fikir-fikirkanlah.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment