Monday, March 14, 2011

AWAS: Gempa di Jepun, Harga Barang Naik?

Bencana bukan alasan naik harga barang
BERA 13 Mac - Bencana gempa bumi dan tsunami di Jepun tidak boleh dijadikan alasan oleh peniaga untuk menaikkan harga barang keperluan asas sesuka hati.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tiada sebab untuk peniaga menaikkan harga kerana negara matahari terbit itu tidak banyak mengeksport barang keperluan asas ke Malaysia.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun sedang menunggu laporan penuh tragedi itu dan kaitannya dengan barang keperluan asas yang diimport oleh Malaysia dari Jepun.
"Kita sedang meneliti senarai barang keperluan asas yang diimport dari Jepun. Kebanyakan barang yang diimport adalah membabitkan barang industri.
''Kawasan yang dilanda kemusnahan itu pula berlaku di wilayah timur laut Jepun yang bukan pusat pengeluaran barang keperluan asas," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis anugerah pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) serta menutup kursus motivasi anak-anak yatim tingkatan lima peringkat Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Kerayong di sini hari ini.

No comments:

Post a Comment