Wednesday, March 23, 2011

Jangan Kaitkan Inflasi dengan Islam

Dalam kita mendepani cabaran bagi memastikan umat Islam mendapat produk yang halal, terdapat pandangan-pandangan tertentu yang secara kasarnya masuk akal, namun sebenarnya mengakibatkan implikasi negatif pada agama dan umat Islam itu sendiri.

Salah satu pandangan tersebut adalah pandangan yang menyatakan bahawa bagi mendapatkan produk yang halal, pengguna perlu berbelanja lebih. Ini kerana menurut golongan ini, kos bagi menyediakan barangan halal adalah lebih tinggi berbanding dengan barangan yang tidak mematuhi kehendak Islam.

Golongan ini suka menggunakan contoh ayam yang disembelih mengikut cara yang ditentukan oleh Islam. Menurut mereka, ayam yang disembelih mengikut cara yang ditentukan oleh Islam adalah lebih mahal kerana pihak penternak perlu mengeluarkan wang bagi membayar upah si penyembelih.

Walau bagaimanapun, adakah hujah ini berpandukan realiti ataupun sekadar hujah kosong semata-mata? Hakikatnya adalah ayam yang tidak halal juga turut disembelih. Perbezaannya dengan ayam halal adalah ia tidak disembelih menurut cara yang sah di sisi Islam.

Pandangan seperti ini perlu dibendung kerana ia menyebabkan orang bukan Islam menganggap Islam sebagai agama yang membawa inflasi. Ini kerana apabila pandangan itu diterima, maka kesimpulannya adalah pelaksanaan sistem Islam memerlukan peruntukan kewangan yang lebih besar.

Kos yang dikatakan lebih tinggi itu menyebabkan harga produk halal ditetapkan pada tahap yang lebih tinggi berbanding dengan produk tidak halal. Akibatnya adalah usahawan/pengeluar/syarikat Islam akan kehilangan daya saing apabila mereka menanggung kos operasi yang lebih tinggi berikutan terpaksa membeli bahan mentah/input halal pada harga yang lebih tinggi daripada input tidak halal. Akhirnya, usaha membangunkan ekonomi ummah terjejas.

Contoh mudah adalah contoh ayam tadi. Dengan menggunakan alasan upah penyembelih, harga ayam halal menjadi lebih mahal daripada ayam tidak halal. Pengusaha restoran halal pula membeli ayam halal ini sebagai input dalam perniagaan makanan mereka. Harga makanan yang dijual mereka akan lebih tinggi daripada harga makanan di restoran bukan Islam ekoran mereka menanggung kos input yang lebih tinggi.

Seterusnya, pengguna Islam pula yang menjadi mangsa kerana merekalah pembeli utama produk halal. Kesan rantaian yang diakibatkan oleh fahaman seperti ini menyebabkan seluruh umat Islam menanggung kos sara hidup yang lebih tinggi, lantas menyebabkan daya beli dan daya ekonomi mereka menurun.

Dari segi imej agama Islam itu sendiri pula, ia secara tidak langsung menyebabkan agama Islam kelihatan tidak menarik pada orang bukan Islam apabila mereka berasa bahawa bagi mengamalkan Islam, mereka terpaksa berbelanja lebih. Akhirnya, kerja-kerja dakwah menjadi lebih sukar apabila imej inflasi dikaitkan dengan Islam.

Usahlah kita menyalahkan sistem dan tatacara dalam Islam sebagai penyebab kenaikan kos. Kenaikan kos dapat disebabkan banyak faktor lain, seperti ketidakcekapan pengendalian, pengurusan rantaian nilai yang tidak optimum, pengurusan kewangan yang kurang cekap dan sebagainya.

Marilah kita memperbaiki kelemahan-kelemahan sedia ada dan tidak menjadikan sistem dan tatacara dalam Islam sebagai kambing hitam.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment