Monday, March 28, 2011

KEPENGGUNAAN: Patuhi syarat kempen turun harga

Patuhi syarat kempen turun harga
KUALA LUMPUR 28 Mac - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengingatkan para peniaga supaya mematuhi syarat kempen turun harga yang bakal berlangsung antara 15 Jun hingga 31 Ogos ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, antaranya setiap peniaga yang ingin menurunkan harga barang perlu memaklumkan kepada pihak kementerian terlebih dahulu.

"Mereka perlu menyerahkan butir-butir barangan yang hendak diturunkan harga termasuk harga asal dan harga baru. Sebelum ini, peniaga hanya perlu memaklumkan kepada kementerian tetapi kali ini selain menghantar butiran mereka juga perlu mendapatkan kelulusan terlebih dahulu.

"Pemantauan harga barang akan dilakukan selama enam bulan dan sekiranya didapati ada peniaga yang salah guna atau mengambil kesempatan sepanjang kempen tersebut, pengguna boleh membuat laporan kepada kementerian," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen penurunan harga di Tesco Mutiara Damansara dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kegusaran yang dilahirkan oleh Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) baru-baru ini yang meminta agar satu garis panduan dikeluarkan agar tiada peniaga mengambil kesempatan meletakkan harga sesuka hati sepanjang kempen tersebut.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 1972, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Selain itu, Ismail turut menasihatkan pengguna agar bijak berbelanja dan membeli barangan keperluan yang benar-benar penting sahaja untuk mengelakkan lebihan belanja di luar kemampuan sepanjang kempen tersebut.

Dalam pada itu beliau juga berkata, pemilik pasar raya dan kedai runcit tidak perlu gusar dengan kempen penurunan harga yang giat dijalankan pasar raya besar di seluruh negara.

Menurutnya, ini kerana setiap daripada premis tersebut mempunyai kumpulan pelanggan yang tersendiri.

"Ramai yang menganggap dengan adanya kempen sebegini maka kesannya akan berbalik kepada pasar raya kecil dan juga kedai runcit.

"Namun, sebenarnya kalau kita perhatikan pelanggan yang berbelanja di pasar raya besar kebanyakannya membeli secara pukal berbanding mereka yang berbelanja di pasar raya kecil dan kedai runcit. Ini sememangnya tidak akan memberi kesan," katanya.

No comments:

Post a Comment