Friday, July 8, 2011

AWAS: Empat lagi produk Taiwan disahkan tercemar DEHP

Empat lagi produk Taiwan disahkan tercemar DEHP
PUTRAJAYA 7 Julai - Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan empat lagi produk makanan yang diimport dari Taiwan iaitu watermelon syrup, crystal sugar, aloe syrup dan yam syrup berjenama Top 1 serta jem mangga berjenama Good Day yang diedarkan oleh syarikat Top 1 F&B Sdn. Bhd. Malaysia, dicemari bahan kimia Di-(2 ethylhexyl) phthalate (DEHP).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kementeriannya telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan menganalisis kesemua produk Taiwan yang diimport dan hasil kajian mendapati empat produk lagi dicemari bahan kimia DEHP.
Menurutnya, kementerian akan meneruskan pemantauan yang serius terhadap kemasukan dan penjualan produk dari negara itu bagi memastikan ia tidak mengancam kesihatan rakyat negara ini.
"Kementerian telah mengarahkan syarikat terbabit untuk menarik balik produk makanan tersebut dengan serta-merta dan semua penjual produk berkenaan juga dinasihatkan menghentikan penjualan produk tersebut.
"Sehubungan itu, kementerian akan terus melakukan pemantauan terhadap produk-produk yang diimport dari Taiwan bagi memastikan ia selamat untuk digunakan rakyat negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Peringkat Ibu Pejabat Kementerian Kesihatan 2010 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tiong Lai menggesa semua pihak yang terlibat dalam industri makanan supaya meningkatkan kawalan keselamatan makanan dan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan produk yang dijual di negara ini selamat.
"Dengan ini, saya berharap segala maklumat berkenaan produk yang disyaki tercemar DEHP dilaporkan kepada pihak kementerian supaya kajian dan penguatkuasaan dapat dilakukan dengan proaktif dan berkesan.
"Bagi pengguna yang telah membeli produk makanan yang telah tercemar pula dinasihatkan tidak memakannya kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesan sampingan," katanya.
Maklumat lanjut termasuk senarai produk makanan keluaran Taiwan yang dicemari DEHP boleh didapati di laman web www.moh.gov.my atau http://fsg.moh.gov.my.
Orang ramai juga boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di talian 03-88833652/88833653.

No comments:

Post a Comment