Tuesday, February 15, 2011

Antara punca orang Melayu begitu mudah terpedaya dengan skim cepat kaya

Saya dirundung kesedihan apabila membaca mengenai nasib pihak yang terkena buatan orang. Inilah kerja sesetengah orang Melayu, asyik santau dan menyihir sana sini. Tidak sedarkah kita menyihir adalah dosa besar?

Adakah kita fikir bahawa kita akan hidup selamanya dan takkan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita di dunia?

Sebenarnya, inilah salah satu punca ramai orang Melayu begitu mudah mempercayai skim cepat kaya.

Skim cepat kaya yang saya maksudkan di sini adalah skim yang sudah pun banyak dihebahkan melalui media dan bukannya skim-skim baharu, yang mana mereka yang terpelajar pun mungkin tertipu.

Meskipun operasi skim-skim terbabit sudah sekian lama disiarkan melalui media, namun masih ramai di kalangan orang Melayu yang begitu mudah terpedaya.

Salah satu puncanya adalah kepercayaan pada unsur khurafat dan sihir masih menebal dalam jiwa orang Melayu.

Meskipun mereka tidak mengamalkannya, namun kepercayaan pada unsur-unsur tersebut masih bertapak kukuh dalam etos mereka.

Kepercayaan pada perkara khurafat menyebabkan minda ramai orang Melayu begitu mudah percaya pada perkara-perkara lain yang tidak masuk akal, termasuklah skim cepat kaya.

Ringkasnya, kepercayaan pada unsur khurafat menyebabkan kemampuan penaakulan menjadi lemah.

Penaakulan yang lemah pula menyuburkan sifat begitu mudah dan begitu ingin mempercayai perkara yang tidak logik.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment