Thursday, February 10, 2011

Antara punca mengapa anak muda menyambut Hari Valentine

Sempena bulan Februari ini, saya ingin menarik perhatian rakan-rakan mengenai isu yang masih menghantui umat Islam di Malaysia, iaitu sambutan Hari Valentine.

Sebenarnya, adalah menghairankan mengapa umat Islam di Malaysia, khususnya orang Melayu cukup suka meniru elemen budaya Barat yang tidak membawa manfaat, malah kemudaratan.

Terdapat juga unsur dalam budaya Barat yang bersifat positif, seperti kemajuan dalam ilmu sains dan teknologi. Tetapi malangnya adalah orang Melayu lebih suka meniru unsur yang bobrok, termasuklah sambutan Hari Valentine.

Sambutan Hari Valentine bukan sahaja menjadi jalan kepada maksiat, tetapi juga mengarah kepada pembaziran wang dan juga masa. Puncanya?

Ya, antara punca anak muda begitu galak menyambut Hari Valentine adalah budaya dan sistem pendidikan yang kini diamalkan oleh ramai ibu bapa Melayu.

Mereka kini suka memberikan kebebasan berlebihan kepada anak-anak, kononnya itu amalan masyarakat Barat yang berjaya menjadikan anak-anak lebih kritis, berfikiran terbuka dan bersemangat tinggi bagi mencapai kejayaan.

Anak-anak tidak ditegur apabila melakukan kesalahan, malah dibiarkan begitu sahaja, kononnya bagi membangunkan kemahiran berfikir mereka.

Hakikatnya adalah ibu bapa tersebut hanya meniru elemen negatif dalam sistem pendidikan Barat dan mengabaikan unsur positifnya. Selain itu, mereka salah faham tentang mekanisme keseluruhan dalam sistem pendidikan itu.

Ini tidaklah bermaksud bahawa saya menidakkan sistem pendidikan Islam, malah itulah yang paling utama. Namun segala yang baik itu milik Islam. Selagi sesuatu perkara dan amalan itu adalah baik dan tidak bercanggah dengan Islam, maka ia boleh diamalkan.

Berbalik pada ibu bapa Melayu yang kini memberikan kebebasan melampau kepada anak-anak, kononnya supaya anak-anak menjadi individu yang cemerlang. Sebenarnya, mereka hanya meniru unsur yang negatif dan mengabaikan yang positif.

Buktinya, perhatikan pula ibu bapa yang menerapkan unsur positif dalam pendidikan Barat bagi membesarkan anak-anak mereka. Anak-anak mereka lazimnya berkelakuan baik dan pada masa yang sama, tidak pula melupakan ajaran Islam.

Ini berbeza dengan sesetengah ibu bapa Melayu yang hanya menerapkan unsur negatif, hinggakan anak-anak mereka akhirnya tidak dapat membezakan antara baik dan buruk, lantas mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam tabiat yang hanya merugikan diri sendiri, termasuklah menyambut Hari Valentine.

Kesimpulannya, memberikan kebebasan berlebihan kepada anak-anak tidak membantu membangunkan kemahiran berfikir, tetapi hanya akan merosakkan akhlak mereka apabila mereka tidak diberikan panduan mengenai dinamisme kehidupan.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment