Sunday, February 6, 2011

Kurang manis tetapi harga sama?

Ada satu perkara yang saya fikir perlu diberikan perhatian. Meskipun ia seakan isu kecil, namun implikasi kewangannya (yakni bagi keseluruhan komuniti pengguna) adalah besar.

Ia juga menunjukkan betapa etika perniagaan yang baik masih tidak dihayati oleh ramai peniaga di Malaysia. Jadi, isu ini perlu ditangani kerana jika tidak, ia akan terus membawa kepada ketidakdilan pada pengguna, sama ada dalam isu ini atau lain-lain isu.

Isu yang saya maksudkan adalah minuman kurang manis. Ya, isu ini pernah dibangkitkan beberapa minggu yang lepas. Namun adakah ia sudah diselesaikan secara tuntas? Isu ini lebih ketara bagi pengusaha makanan, yang mana mereka mengenakan caj yang sama bagi minuman kurang manis.

Apa yang menghairankan adalah apabila harga gula naik, mereka cepat-cepat ingin menaikkan harga minuman, walaupun kenaikan yang mereka lakukan tidak setara dengan kenaikan sebenar gula (effective increase).

Sebaliknya, tatkala orang memesan minuman kurang manis (iaitu kurang gula digunakan), mereka tidak pula mengurangkan harga bagi minuman itu.

Jika kenaikan harga gula dijadikan alasan bagi menaikkan harga minuman, maka bukankah harga perlu diturunkan apabila pengguna memesan minuman kurang manis, yang mana kuantiti gula yang digunakan berkurangan?

Selain itu, isu ini tidak hanya terpakai bagi pengusaha makanan, tetapi juga para pengilang.

Terdapat syarikat yang kini mengeluarkan bahan makanan dengan mendakwa bahawa makanan yang mereka keluarkan adalah kurang manis.

Ini dilakukan bagi menarik pembelian daripada pengguna, yang mana pengguna kini lebih peka tentang keperluan menjaga kesihatan.

Persoalannya adalah adakah harga bahan makanan/minuman kurang manis ini lebih murah daripada bahan makanan/minuman yang menggunakan kuantiti gula yang normal?

Kita tidak mahu pihak-pihak tertentu memperalatkan keinginan pengguna bagi menjaga kesihatan dengan menjual produk yang didakwa selaras dengan kehendak pengguna, tetapi pada masa yang sama, tidak adil kepada pengguna dari segi harga yang ditawarkan.

Memanglah berniaga hendak untung, tetapi marilah kita sama-sama sentiasa mencapai situasi menang-menang.

Usahlah ingin mencapai margin keuntungan yang tinggi dengan cara menzalimi para pengguna.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment