Monday, January 24, 2011

Islamikkah Perbankan Islam?

Ya, memang perbankan Islam sejak dahulu hingga sekarang dilanda pelbagai kontroversi. Terdapat kontroversi yang lebih menjurus kepada isu Syariah yang khusus dan ada pula yang lebih menjurus kepada isu Syariah yang lebih umum.

Isu Syariah yang khusus biasanya bersifat teknikal, seperti perbezaan pendapat antara ulama Nusantara (terutamanya Malaysia yang tidak dapat dinafikan adalah antara peneraju perbankan Islam) dan ulama Timur Tengah.

Misalnya adalah perbezaan pendapat tentang sama ada boleh ataupun tidak bagi perbankan Islam menggunakan bai’ inah. Untuk pengetahuan para netters, bai’ inah digunakan dalam urusniaga pembiayaan peribadi, kad kredit dan sebagainya.

Ulama Malaysia membenarkan penggunaan bai’ inah kerana ia dibenarkan dalam mazhab Syafi’i, iaitu mazhab yang menjadi amalan penduduk negara ini.

Namun demikian, ulama Timur Tengah tidak bersetuju dengan penggunaan bai’ inah dalam perbankan Islam. Mereka menawarkan alternatif, iaitu tawarruq.

Walaupun begitu, ulama Malaysia pula berhujah bahawa tawarruq yang diamalkan oleh sektor perbankan Timur Tengah tidak benar-benar memenuhi syarat tawarruq yang sebetulnya. Ini kerana tawarruq yang digunapakai oleh sektor perbankan Timur Tengah menggunakan pihak ketiga yang ada kaitan dengan institusi kewangan tersebut, iaitu related party (maaf, isu ini agak teknikal dan tidak dapat dibincangkan secara panjang lebar di sini).

Isu Syariah yang umum pula adalah isu yang lebih bersifat ‘falsafah’ dan bukannya teknikal. Contohnya adalah penghayatan maqasid Syar’iyyah dalam perbankan Islam.

Maqasid Syar’iyyah bermaksud matlamat Syariah, yang mana ia merujuk pada pemeliharaan lima perkara, iaitu pemeliraan agama, nyawa, akal, harta dan nasab (keturunan).

Ada ulama yang mencadangkan penghayatan maqasid Syar’iyyah dalam perbankan Islam demi memastikan perbankan Islam lebih berjaya dalam usaha memastikan keadilan, kesaksamaan dan segala kehendak Islam dipenuhi, dan bukan hanya sekadar mengejar keuntungan.

Selain perbezaan pendapat antara ulama, pengendali perbankan Islam juga dikritik kerana sering menggunakan alasan darurat (konsep darurah) sebagai justifikasi bagi mengesahkan amalan perbankan mereka.

Ringkasnya, memanglah perbankan Islam mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu yang mesti diatasi bagi memastikan umat Islam khususnya dan para pengguna lain amnya mendapat perkhidmatan terbaik, di samping keadilan dalam muamalah.

Pada masa yang sama, kita perlu berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang mungkin memperalatkan perbankan Islam bagi menyedut kekayaan umat Islam. Ini berdasarkan hakikat bahawa walaupun perbankan Islam sudah lama wujud, ia tetap terkongkong di bawah sistem kewangan global yang bersifat konvensional.

Namun begitu, perbankan Islam tetap diperlukan kerana perbankan Islam menawarkan peluang kepada umat Islam bagi memajukan ekonomi mereka melalui penyertaan modal insan, penggemblengan dana umat Islam secara kolektif dan tersusun, pembiayaan yang membolehkan umat Islam membeli aset seperti rumah dan lain-lain lagi.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment