Sunday, January 2, 2011

CAP gesa RTM henti tayang filem Tamil

Berikut adalah laporan berita mengenai filem Tamil yang dikatakan mengandungi banyak unsur keganasan yang seterusnya dapat mempengaruhi sikap dan perlakuan masyarakat secara negatif.

CAP gesa RTM henti tayang filem Tamil


2011/01/03
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) meminta Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengkaji semula penyiaran filem Tamil yang mengandungi unsur keganasan kerana tidak sesuai untuk tontonan umum dan boleh mempengaruhi golongan muda.

Pegawai Pendidikannya, NV Subbarow, berkata pihaknya menerima banyak aduan daripada ramai ibu bapa mengenai penayangan filem sedemikian, selain ada sesetengah filem yang disiarkan lebih empat kali atau lebih dalam tempoh setahun. “Sebagai contoh, hari ini (semalam) filem Tamil bertajuk Billa disiarkan melalui TV2, iaitu kali kelima sejak Januari 2010. “CAP mendapati filem ini mengandungi unsur-unsur keganasan yang berlebihan sehingga boleh mempengaruhi minda dan perlakuan anak-anak muda untuk meniru aksi sedemikian.

“Kami juga tidak faham mengapa filem ini disiarkan berulang kali.

“Kita percaya filem ganas sedikit sebanyak boleh menyumbang kepada masalah sosial dan amat berharap RTM akan memberi perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya kepada Berita Harian.

Subbarow berkata, ada juga sesetengah filem Tamil yang disiarkan RTM tidak mengandungi sebarang mesej baik untuk dijadikan sebagai contoh pengajaran yang berguna kepada masyarakat khasnya kanak-kanak.
“Jika sesuatu filem itu hanya mempromosikan unsur keganasan selain sedikit sebanyak mengandungi aksi lucah, kita merasakan lebih baik ia (filem) tidak disiarkan untuk tontonan umum, sebaliknya memberi keutamaan kepada filem tempatan yang lebih mengetengahkan unsur kekeluargaan dan boleh dijadikan pengajaran yang berguna kepada penonton.

“Kita bukannya menuding jari mencari kesalahan mana-mana pihak, sebaliknya tidak mahu masyarakat kita terjebak dalam gejala sosial yang tidak baik akibat pengaruh filem,” katanya.

No comments:

Post a Comment