Tuesday, January 18, 2011

Anak luar nikah mewujudkan 'industri' baharu

Laporan di bawah menunjukkan bahawa kebanjiran anak luar nikah di Malaysia akibat perzinaan (sama ada oleh rakyat tempatan ataupun warga asing) telah mewujudkan satu 'industri' baharu, iaitu industri/sindiket menjual bayi secara haram.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/


Sindiket jual bayi dikesan miliki rangkaian negara jiran

KUALA LUMPUR 18 Jan. 2011 - Sindiket penjualan bayi yang ditumpaskan polis di sekitar Lembah Klang minggu lalu, dikesan mempunyai rangkaian antarabangsa melibatkan negara-negara jiran.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit aktif di sekitar Lembah Klang, Sarawak dan Johor.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu dipercayai beroperasi di selatan tanah air.

"Sindiket itu menjual bayi dengan harga RM15,000 hingga RM20,000 bergantung kepada kesihatan dan rupa paras. Polis tidak menolak kemungkinan bayi-bayi itu 'dieksport' ke negara jiran termasuk di selatan tanah air.

"Sehubungan itu, satu jalinan kerjasama antarabangsa akan dibentuk bagi menangani sindiket penjualan bayi berkenaan daripada terus berleluasa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.

Mohd. Bakri memberitahu, sindiket yang terbesar setakat ini berjaya ditumpaskan itu juga dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket di Sarawak, Julai tahun lalu.

Katanya, dalam kejayaan itu, polis berjaya menahan sembilan individu termasuk empat warga asing berusia 20 hingga 50 tahun di sekitar Lembah Klang.

"Seorang bayi perempuan berkulit cerah berusia seminggu berjaya diselamatkan manakala dua wanita termasuk seorang warga negara Indonesia diberkas dalam serbuan di tempat letak kereta di pasar raya Tesco, Ampang, di sini Jumaat lalu.

"Keesokan harinya pula, polis berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berkulit gelap berusia lima hari dan memberkas empat wanita termasuk dua warga negara asing dalam serbuan kedua di sebuah klinik swasta di Selayang.

"Hasil tangkapan terbabit, polis berjaya mengesan sebuah rumah dan menyelamatkan seorang lagi bayi perempuan dan ibu kepada bayi lelaki itu.

"Selain itu dua wanita hamil berusia lingkungan 20 hingga 30 tahun, seorang wanita tempatan dan seorang lelaki tempatan," katanya.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan satu sindiket menjual bayi tumpas selepas polis menyerbu sebuah klinik dan sebuah rumah di Subang Jaya.

Dua bayi berusia tiga dan empat hari berjaya diselamatkan dalam serbuan tersebut dan polis menahan empat wanita termasuk dua warga asing selain merampas berpuluh sijil kelahiran yang sudah diisi dan kosong.

Dalam pada itu, Mohd. Bakri berkata, kesemua mereka yang ditahan kini direman sehingga 22 Januari ini.

"Tangkapan baru berkenaan menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan seramai 30 orang termasuk pemilik klinik dan pasangan suami isteri doktor selain 22 bayi berjaya diselamatkan.

"Polis juga akan menyiasat tindakan individu terbabit menjual bayi kepada sindiket adalah kerana terpaksa atau sukarela dan sama ada terdapat dalang dalam agensi yang mengeluarkan dokumen kelahiran bayi," katanya.

Mohd. Bakri memberitahu, pihaknya tidak menolak kemungkinan sindiket penjualan bayi terbabit melibatkan anak luar nikah bagaimanapun siasatan mengenainya masih dijalankan.

Katanya, dalam serbuan terbaru itu, polis turut merampas wang pendahuluan sebanyak RM3,000, dokumen-dokumen berkaitan sijil kelahiran, cop dan lain-lain peralatan.

"Berdasarkan bahan bukti berkenaan, pihak polis percaya wujudnya penglibatan doktor, kakitangan klinik dan agensi-agensi berkaitan yang terlibat dalam proses mengeluarkan dokumen sijil kelahiran.

"Kesemua bayi dan wanita mengandung tersebut kini ditempatkan di Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

"Siasatan menjurus ke arah siapa pembekal, penjual dan pembeli. Jadi mana-mana pasangan yang ingin mengambil anak angkat dinasihatkan ikut prosedur yang betul," katanya.

No comments:

Post a Comment