Monday, January 3, 2011

Cadang hanya agensi kerajaan urus skim 1Care

Bercakap tentang kesihatan, ada cadangan bagi pelaksanaan skim kesihatan rakyat yang dinamakan Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care.

Matlamat skim ini adalah bagi menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih menyeluruh kepada rakyat.

Apakah pendapat para netters tentang skim ini?

Cadang hanya agensi kerajaan urus skim 1Care

Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2011/01/04

Pengurusan telus untuk elak dana kesihatan diseleweng

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menubuhkan perbadanan atau agensi untuk menguruskan dana kesihatan nasional, jika cadangan Skim Penjagaan Kesihatan Nasional 1Care yang akan menggabungkan pengurusan perkhidmatan kesihatan kerajaan dan swasta dilaksanakan. Ini bagi mengelakkan dana yang akan digunakan untuk membiayai kos penjagaan kesihatan rakyat di negara ini disalah guna atau diseleweng daripada objektif asal untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan lebih menyeluruh kepada rakyat. Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata dana kesihatan itu perlu ditadbir secara telus dan cekap seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi memastikan kepentingan pencarum terjamin.

“Kesihatan adalah kemudahan rakyat. Kesihatan tidak patut menjadi satu bentuk perniagaan mengambil untung berlebihan. Kita tidak mahu dana kesihatan ini diuruskan pihak swasta kerana ia mungkin berorientasikan keuntungan semata-mata.

“Jika kerajaan mahu melaksanakan skim penjagaan kesihatan nasional itu, dananya perlu diuruskan perbadanan atau agensi kerajaan telus seperti PERKESO atau KWSP, bukan pihak swasta,” katanya kepada Berita Harian.

Yusof mengulas laporan muka depan akhbar ini semalam mengenai cadangan pelaksanaan Skim 1Care yang sedang dipertimbangkan secara serius Kerajaan bagi menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan di negara ini yang terbahagi kepada perkhidmatan kerajaan dan swasta.
Melalui skim dicadangkan itu, rakyat mempunyai pilihan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta pilihan mereka tanpa mengambil kira status sosial dan kedudukan kewangan mereka selain setiap individu diwajibkan memilih dan melantik klinik pilihan mereka sebagai doktor keluarga masing-masing.

Melalui skim itu juga sebuah dana khas kesihatan dicadangkan untuk membiayai kos penjagaan kesihatan rakyat dengan mereka yang berkemampuan perlu menyumbang kepada dana itu menerusi bayaran bulanan (premium insurans), potongan cukai atau kaedah lain yang akan ditetapkan.

Difahamkan, kertas cadangan skim yang disediakan Kementerian Kesihatan itu akan dibentangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selewat-lewatnya bulan depan.

Ketika ini, kebanyakan rakyat cenderung mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan manakala hospital swasta yang mempunyai kepakaran, kemudahan dan kelengkapan yang lebih sofistikated hanya digunakan mereka yang berkemampuan.

Presiden Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia (PCDOM), Dr Molly Cheah, berkata kerajaan mesti bersifat terbuka dengan membentangkan butiran mengenai skim kesihatan yang dicadangkan bagi memastikan ia benar-benar memenuhi keperluan penjagaan kesihatan rakyat.

Dr Molly sebelum ini mencadangkan kerajaan mewujudkan perlindungan kesihatan menyeluruh untuk semua rakyat dengan menimbangkan mekanisme sesuai seperti potongan cukai bagi golongan bekerja atau insurans komuniti bagi rakyat tidak berkemampuan menerusi peruntukan kerajaan untuk menampung kos perubatan semakin meningkat

No comments:

Post a Comment