Tuesday, January 18, 2011

Atasi kesedaran sivik yang semakin merudum

Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan semua tentang kesedaran sivik yang jelas semakin merudum di negara kita yang tercinta ini. Perhatikan sahaja di sekeliling kita, maka kita akan melihat buktinya. Misalnya adalah:

1. Melakukan pembakaran secara terbuka.

2. Meletakkan kereta sesuka hati, terutamanya parkir berganda (double parking). Ya, memanglah kadangkala kita terpaksa memarkir kereta secara double parking. Tetapi pastikan kita berada di dalam kereta ataupun sentiasa melihat-lihat kalau-kalau kereta yang kita hadang itu ingin keluar.

3. Memasuki jalan no entry ataupun jalan sehala tanpa peduli.

4. Menghalang laluan kenderaan lain, malah ada juga yang meletakkan kereta di depan rumah orang lain.

5. Dan sebagainya.

Mungkin ada yang berpandangan bahawa perkara di atas bukan isu besar. Namun begitu, kita perlu sedar bahawa kebakaran hutan yang luas bermula dari percikan api yang kecil. Kita perlu mencegah sesuatu masalah daripada berlaku ataupun menanganinya semasa masalah itu masih kecil dan terkawal.

Jika tidak, kita akan berhadapan dengan situasi yang mana masyarakat kita menjadi masyarakat anarkis yang tidak mengendahkan undang-undang dan kemaslahatan orang lain. Kebimbangan ini ada asasnya, iaitu berdasarkan dua laporan berita hari ini, yang mana orang ramai bukan hanya tidak membantu mangsa kemalangan, malah mencuri barangan mangsa, iaitu syiling dan yogurt (berita penuh di bawah ini).

Moga sedikit perkongsian saya ini mendatangkan manfaat kepada kawan-kawan semua.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/



Bergadai nyawa kutip syiling RM75,000

REMBAU 18 Jan. 2011 - Jika sebelum ini, orang ramai hanya memperlahankan kenderaan untuk menyaksikan sesuatu kemalangan di lebuh raya, namun berbeza pada hari ini apabila mereka berpusu-pusu datang dengan lebih dekat.
Manakan tidak, sebanyak RM75,000 wang syiling bertaburan di atas jalan apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD), Toyota Hilux yang membawa wang itu terbalik di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Malah pengguna lebuh raya sanggup menggadai nyawa untuk mengutip wang syiling 10 sen, 20 sen dan 50 sen yang bertaburan sepanjang 100 meter di atas lebuh raya dan kawasan rumput berhampiran.
Kejadian berlaku di Kilometer 243, susur keluar Pedas, dekat sini, apabila kenderaan terbabit yang membawa sebuah peti besi berisi syiling itu dirempuh sebuah kereta BMW, pukul 3 petang.
Rempuhan tersebut mengakibatkan kenderaan itu terbabas dan terbalik. Kereta BMW itu juga terbalik di dalam longkang berdekatan lebuh raya.
Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Supritendan Abd. Halil Hamzah ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan kejadian itu dan pihak polis sedang menjalankan siasatan kemalangan berkenaan.
"Kejadian itu berlaku selepas kenderaan 4WD dilanggar dari belakang dan menyebabkan ia terbabas dan terbalik.
"Akibatnya, wang yang dibawa bertaburan di atas lebuh raya. Pihak polis ketika ini memantau keadaan di lokasi kejadian dan akan menghalang orang ramai daripada terus mengutip wang syiling berkenaan," ujarnya di sini hari ini.
Pemandu Toyota Hilux itu, Zairul Hisham Mansor, 28, yang ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian berkata, dia bersama seorang rakannya dalam perjalanan membawa wang syiling berkenaan dari Shah Alam, Selangor menuju ke Melaka.
"Semasa kejadian itu, saya tidak mampu berbuat apa-apa kerana wang syiling diletakkan di belakang kenderaan kami sudah tercampak di tengah lebuh raya.
"Ia menyebabkan beribu-ribu wang berkenaan bertaburan di merata tempat," katanya yang masih tergamam dengan kemalangan itu dan menyebabkan rakannya cedera di tangan, manakala Zairul pula mengalami cedera ringan dan diberi rawatan kecemasan di lokasi kejadian.
Menurutnya, wang syiling berkenaan mahu diedarkan di beberapa pasar raya di Melaka dan difahamkan jumlah berkenaan RM75,000.
Difahamkan juga, dua lelaki yang menaiki kereta BMW berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor.
Mereka yang berusia 30-an itu hanya mengalami kecederaan di kepala dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJ) di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi kejadian mendapati orang ramai 'hilang pertimbangan' sehingga ada yang sanggup mencangkung di tengah-tengah lebuh raya untuk mengutip wang syiling itu.
Wang syiling berkenaan turut dikutip di kawasan rumput hingga menyebabkan kedua-dua laluan lebuh raya berkenaan menjadi sesak.


VAN YOGURT TERBALIK


Beribu-ribu botol yogurt bertaburan selepas van yang membawanya terbalik di Hulu Selangor, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



HULU SELANGOR 18 Jan. - Kemalangan melibatkan van di Kilometer 424.9 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Bukit Tagar di sini, malam semalam, menarik perhatian pengguna lebuh raya berkenaan.

Beberapa pemandu sanggup memberhentikan kenderaan tetapi bukan untuk membantu mangsa kemalangan sebaliknya berebut-rebut memungut barangan yang tercampak dari van berkenaan.

Mana tidaknya, van yang terlibat dalam kemalangan itu membawa beribu-ribu botol minuman yogurt jenama terkenal.

Insiden tersebut berlaku pukul 11 malam semasa van terbabit dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke utara.

Tiba di tempat kejadian, tayar belakang van terbabit pecah menyebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan lalu terbabas dan terbalik.

Van terbabit kemudian dirempuh oleh sebuah kereta Proton Waja dipandu seorang lelaki yang tidak sempat mengelak.

Lelaki terbabit mengalami kecederaan di kaki, manakala pemandu van, Mohd. Fazrein Abdullah, 22, mendapat kecederaan di kepala dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Kemalangan itu menyebabkan beribu-ribu botol minuman yogurt yang dibawa bertaburan di atas jalan raya.

Sepasukan tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu dibantu pekerja penyelenggara lebuh raya, mengambil masa kira-kira setengah jam untuk membersihkannya

No comments:

Post a Comment