Sunday, March 20, 2011

Jumlah Anak Haram Terus Meningkat

Anak tak sah taraf cecah 234,647
Oleh Johari Ibrahim

2011/03/21
JPN ajak pelbagai pihak tangani segera gejala sosial

PUTRAJAYA: Jumlah kelahiran anak tidak sah taraf iaitu bayi hasil hubungan luar nikah, menunjukkan pola meningkat antara 2006 hingga 2010 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 234,647 didaftarkan dalam tempoh itu daripada lebih dua juta kelahiran didaftarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Friday, March 18, 2011

Bible dalam Bahasa Melayu

Mufti S'gor larang Injil guna kalimah Allah diedar

Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor.

Tamyes sekali gus mengesahkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz bahawa tindakan kerajaan memansuhkan penahanan naskah Kitab Injil berbahasa Melayu tidak sah di sisi undang-undang syariah di Selangor.

Mufti Selangor itu berkata kebimbangan utama pihaknya terhadap arahan kerajaan pusat menarik balik penahanan itu adalah kesannya ke atas generasi muda umat Islam.

"Saya tetap berpandangan bahawa memang sewajarnya (pengedaran kitab Injil itu) dihalang, kerana terjemahannya mengandungi kalimah God yang diterjemahkan kepada Allah (dan) ini adalah bahaya dan mengelirukan kepada anak-anak muda khususnya," katanya kepada Tv Selangor.

Sepuluh negeri kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan mempunyai undang-undang syariah yang menghalang penggunaan kalimah “Allah” sama ada secara lisan ataupun bertulis.

Selain 5,000 naskah di Pelabuhan Kelang, penahanan 30,000 naskah Kitab Injil yang sama di Kuching turut ditarik balik, mengikut pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Jala petang Selasa lalu.

Kenyataan bercanggah

Kenyataan Nazri dan Tamyes bersabit pengedaran Kitab Injil itu dijangka menambah kemelut susulan kenyataan-kenyataan yang bercanggah oleh Kementerian Dalam Negeri dan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bersabit isu itu.

Tamyes sendiri melahirkan rasa kesal kerana tidak ada penyelarasan dalam menangani isu kitab-kitab Injil berbahasa Melayu yang diimport dari Indonesia itu.

"Sepatutnya kita ni kalau nak buat keputusan biarlah ada persepakatan, kenapa pula seorang mengatakan boleh seorang mengatakan tidak," katanya.

Ahad lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein mengeluarkan kenyataan mendakwa pihaknya menunggu keputusan Peguam Negara sama ada penahanan 35,000 Kitab Injil di Pelabuhan Kuching dan Pelabuhan Klang boleh ditarik balik.

Menurut Hishamuddin, keputusan itu berkait dengan kes penggunaan kalimah Allah yang masih belum dibicarakan di Mahkamah Rayuan yang berlarutan sejak 2010.

Namun pada pagi Selasa, Muhyiddin berkata isu itu akan dibincangkan pada mesyuarat mingguan Kabinet esok. Katanya, Menteri harus membincangkan perkara itu sebelum sebarang keputusan dibuat.

Syarat KDN satu penghinaan

Ironinya, sebelah petang hari sama Idris Jala mengumumkan kesemua 35,000 naskah yang ditahan di Pelabuhan Kelang (sejak 2009) dan Pelabuhan Kuching (sejak Januari 2011) akan dibenarkan masuk ke negara ini.

Bagaimanapun KDN meletakkan dua syarat iaitu setiap naskah kitab suci itu harus mempunyai nombor bersiri dan cop "Hanya Untuk Penganut Kristian" sebelum dibenarkan pengedaran dan mesti bersertakan nombor siri.

Syarat itu, bagaimanapun ditolak oleh pihak gereja di Sarawak yang melihatnya sebagai satu penghinaan terhadap kesucian agama Kristian dan kekangan terhadap kerja-kerja dakwah yang dijalankan oleh gerakan mubaligh.

Paderi Goodnews Church, Jefferey Wei ketika dihubungi Tv Selangor menegaskan penganut Kristian tidak dapat menerima perkara yang merendahkan martabat kitab suci mereka.

“Saya rasa jika kita letak nombor siri dan cop atas Kitab Injil ini, kita seperti mencemarkan kitab suci kami dan menghina kedudukannya. Ia menjadikan seolah-olah seseorang yang memiliki kitab ini melakukan satu jenayah. Tiada penganut Kristian akan menerima perkara ini,” katanya.

Sumber: Malaysiakini

Thursday, March 17, 2011

Adakah amalan khurafat menjadi salah satu sebab semakin ramai pasangan Islam di Malaysia yang bercerai?

Semoga kita sentiasa sedar akan hakikat perkara khurafat dan menjauhkan diri darinya. Bercakap tentang amalan khurafat, tidak cukup dengan amalan khurafat yang berakar umbikan amalan Nusantara, umat Islam di Malaysia kini dikesan melakukan perbuatan khurafat yang ditiru dari negara barat.

Amalan khurafat yang saya maksudkan di sini adalah amalan melontarkan bunga perkahwinan (bridal bouquet) di kalangan pasangan yang baharu berkahwin di negara-negara barat.

Ini sebenarnya adalah amalan khurafat, yang mana pengantin perempuan akan melontarkan bridal bouquet ke belakang, yakni ke arah para tetamu perempuan. Ini dilakukan seusai majlis perkahwinan tersebut.

Mereka percaya bahawa sesiapa yang dapat menangkap bridal bouquet itu akan cepat mendapat jodoh. Malangnya, amalan ini kini menjadi sebahagian dari ritual perkahwinan di kalangan pasangan yang beragama Islam.

Tidak cukup dengan ini, terdapat juga lain-lain amalan khurafat yang mencemarkan kesucian majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi langkah pertama dalam membina generasi yang selaras dengan kehendak Islam.

Amalan-amalan khurafat semasa majlis perkahwinan menimbulkan persoalan tentang keberkatan pula, iaitu adakah majlis semacam itu diberkati Allah? Persoalan berikutnya adalah jika keluarga dibina dengan menggunakan asas-asas yang disirati amalan khurafat, maka adakah keluarga yang dibina itu nanti akan mendapat keberkatanNya?

Saya tidaklah mengatakan secara pasti bahawa amalan-amalan khurafat inilah yang menjadi salah satu punca semakin ramai pasangan Islam yang bercerai. Namun demikian, sudah tentu pembinaan sesebuah keluarga itu menjadi lebih baik apabila ia dimulakan dengan pengamalan tradisi Islami, bermula dari pemilihan pasangan dan majlis perkahwinan hinggalah kepada pembinaan keluarga dan pendidikan anak-anak. Wallahu’alam.

Fikir-fikirkanlah.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Tuesday, March 15, 2011

Syarikat haji kena bayar RM17,500

Syarikat haji kena bayar RM17,500


2011/03/16
KUALA TERENGGANU: Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) semalam, memerintahkan Aflah Haj dan Umrah Service membayar RM17,500 kepada dua pelanggannya selepas syarikat pengendali pakej haji dan umrah itu gagal memberi perkhidmatan ditawarkan.

Presiden TTPM, Reihana Abd Razak dalam keputusannya, memerintahkan wakil syarikat itu, Mustafar Ismail membayar RM10,500 kepada W Abd Razak W Hassan, 50, dan RM7,000 kepada Mohamad Idris, 50, dalam tempoh 30 hari bermula semalam. Mohammad ketika ditemui berkata, beliau bersyukur kerana keputusan TTPM membolehkannya mendapatkan semula wang yang dibayar kepada syarikat berkenaan selepas menunggu hampir dua tahun. “Saya membuat pembayaran tiga kali bermula November 2008, Januari dan Mac 2009. Syukur kerana berjaya mendapatkan semula wang berkenaan. Dengan duit yang ada, saya sedang mencari syarikat lain untuk meneruskan impian untuk ke tanah suci sekali lagi bagi mengerjakan umrah.

“Terima kasih kerana TTPM menyelesaikan masalah ini tidak sampai sebulan,” katanya, semalam.

TTPM turut memerintahkan syarikat pemaju perumahan, Se Purnama Development Sdn Bhd membayar RM5,000 kepada Mamat Salleh, 59, dalam tempoh 14 hari daripada tarikh perintah dikeluarkan bermula semalam.

Wang itu dibayar Mamat sebagai pendahuluan bagi menempah rumah mampu milik Fasa 2 di Kampung Padang, Setenga, Kuala Berang.
Tuntutan bagi mendapatkan semula wang pendahuluan itu dibuat selepas permohonan Mamat untuk mendapatkan pinjaman di bank tidak berjaya dan usahanya untuk menemui pegawai syarikat pemaju untuk mendapatkan wang pendahuluan itu sebelum ini tidak berhasil.

Kepenggunaan: Telefon bimbit rosakkan sperma?

Telefon bimbit rosakkan sperma?

Oleh ROKIAH ABDULLAH
rokiah.abdullah@utusan.com.my.



S.M Mohamed Idris menunjukkan telefon bimbit yang boleh menyebabkan kerosakan sperma pada sidang media di Pulau Pinang, semalam.

--------------------------------------------------------------------------------



PULAU PINANG 15 Mac - Golongan lelaki mungkin perlu berhati-hati apabila menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar selepas ini berikutan dakwaan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bahawa tindakan itu boleh membawa kesan kepada sistem reproduktif mereka.

CAP mendakwa perbuatan menyimpan telefon bimbit di dalam poket seluar yang sering dilakukan kaum lelaki menyebabkan mereka berdepan risiko kerosakan sperma serta mati pucuk.

Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, keputusan itu berdasarkan hasil kajian pihaknya tahun lalu yang menunjukkan kaitan di antara sperma yang berkualiti rendah dengan tempoh penggunaan telefon bimbit dalam sehari.

Jelas beliau, hasil kajian itu menunjukkan pengguna yang membuat panggilan lebih daripada empat jam sehari mempunyai bilangan sperma yang paling kurang dan paling rendah kualitinya.

"Penemuan itu menyarankan bahawa berjuta-juta lelaki di dunia kemungkinan menghadapi kesukaran untuk menjadi bapa kerana penggunaan telefon bimbit yang meluas.

"Oleh itu, penggunaan telefon bimbit secara berlebihan menjadi satu faktor yang menyumbang kepada penurunan bilangan sperma selain obesiti, merokok, stres, pencemaran dan bahan kimia yang mengganggu hormon," katanya pada sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini.

S.M. Mohamed berkata, lelaki yang membawa telefon bimbit yang diletakkan di bahagian tali pinggang atau dalam poket dengan 'keypad' mengarah ke luar pula akan menghadapi kesan yang tinggi kerana antena berada di belakang dan lebih hampir dengan tubuh.

Katanya, wanita yang sering meletakkan telefon bimbit di dalam beg sandang yang tergantung di sebelah payu dara turut mendapat kesan terhadap kesihatan dalamannya.

Beliau mendakwa pihak pengeluar alat komunikasi itu sendiri telah mengeluarkan peringatan mengenai risiko penggunaannya terhadap kesihatan pengguna.

"Misalnya, syarikat Apple dalam buku panduannya telah memberi amaran kepada pengguna agar menjauhkan Iphone dalam jarak sekurang-kurangnya 15 milimeter daripada tubuh.

"Syarikat Blackberry pula menasihatkan pelanggannya supaya menggunakan telefon bimbit bebas wayar atau menjarakkannya seinci dari tubuh wanita hamil dan bahagian bawah perut remaja. Bagaimanapun, pengguna masih tidak mempedulikan kesan yang akan mereka tanggung itu," katanya.

Justeru, S.M. Mohamed menggesa para pengguna supaya tidak menggunakan telefon bimbit kecuali dalam kes-kes kecemasan dan sekiranya perlu gunakan pembesar suara pada jarak 20 sentimeter dari kepala.

Monday, March 14, 2011

AWAS: Emel Dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi yang berikut:

1. Mangsa menerima emel yang kononnya datang dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

2. Dalam emel itu, mangsa diberitahu bahawa dia layak diberikan bayaran balik cukai sebanyak RM700.

3. Emel itu seterusnya menyatakan bahawa bagi memudahkan urusan pembayaran balik cukai itu, mangsa dikehendaki mengemaskinikan maklumat peribadinya.

4. Bagi mengemaskinikan maklumat peribadinya, mangsa dikehendaki klik pada satu pautan yang kononnya adalah salah satu halaman dalam laman sesawang LHDN.

5. Apabila mangsa membuka laman itu, mangsa diminta memberikan butiran diri dan nombor akaun bank mereka.

6. Maklumat peribadi mangsa kemudiannya akan disalahgunakan oleh sindiket yang mendalangi emel palsu ini.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah

Bekas pengurus akaun dituduh pecah amanah

SUNGAI PETANI 14 Mac 2011 – Seorang bekas pengurus akaun sebuah bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan pecah amanah akaun pelanggan bank terbabit bernilai RM74,000 melalui perbankan Internet.

Khor Gek Khim, 28, dilihat bersahaja ketika membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Zainol Saad.

Tertuduh didakwa dengan curangnya memindahkan wang sebanyak RM40,000 milik Beh Poey Su secara perbankan Internet ke akaun Ireene Ching Shwe Chyn untuk kegunaannya sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di HSBC Bank Malaysia Bhd. (HSBC) cawangan Sungai Petani di Jalan Ibrahim di sini pada 21 Januari lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, Gek Khim didakwa melakukan pecah amanah dengan memindahkan wang berjumlah RM34,000 milik Poey Su dengan cara yang sama ke akaun Ng Moi Heng untuk kegunaan sendiri.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan oleh tertuduh dari Taman Keladi di sini pada 24 Januari lalu di cawangan bank yang sama.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Shazwani Syed Hussain mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda.

Terdahulu, Sharifah Syazwani mencadangkan supaya Gek Khim dibebaskan dengan jaminan RM24,000 beserta seorang penjamin.

Peguam T. Jayaraaj yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada kadar munasabah dengan alasan lelaki itu menyara ibu, bapa, isteri dan seorang anak berusia empat bulan.

Menurutnya, tertuduh juga menanggung beban hutang yang banyak untuk diselesaikan.

Mahkamah kemudian membenarkan Gek Khim diikat jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula kes pada 13 April ini.

Memetik laporan akhbar pada 26 Februari lalu, lelaki itu ditahan bagi membantu siasatan mengenai kehilangan sejumlah besar wang milik pelanggan yang dianggarkan lebih RM1.5 juta.

Tertuduh yang meletak jawatan secara sukarela pada 16 Februari lalu ditahan di rumahnya pada 23 Februari lepas, setelah pegawai atasan dan para pelanggan bank berkenaan membuat aduan mengenai kegiatannya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, sebanyak 13 laporan telah dibuat terhadap lelaki berkenaan sehingga 25 Februari lalu.