Sunday, May 15, 2011

KEPENGGUNAAN: Syarikat jual kenderaan diarah bayar RM7,000

Gagal sediakan model pilihan: Syarikat jual kenderaan diarah bayar RM7,000

IMPIAN untuk memiliki sebuah kereta Honda Civic 1.8S menjadi igauan buruk terhadap seorang lelaki apabila terpaksa menempuhi 'laluan berliku' dalam proses pembeliannya.
Bertambah malang apabila syarikat kenderaan, tempat Ahmad Fairuz Ismail ingin membeli kenderaan itu memberikan pelbagai alasan sedangkan wang pendahuluan telah dibayar.
Pada 29 September tahun lalu, Ahmad Fairuz dimaklumkan oleh syarikat Jimisar Corporation Sdn. Bhd. bahawa pihaknya tidak mempunyai stok model Civic 1.8S dan hanya mempunyai model Civic 1.8S-L yang harganya RM5,000 lebih mahal.
Disebabkan ingin memiliki kereta jenama itu, Ahmad Fairuz bersetuju membayar wang pendahuluan sebanyak RM12,669.60.
Namun setelah beberapa minggu, syarikat terbabit memaklumkan bahawa stok model Civic 1.8S-L tiada dan hanya Civic 1.8S yang dihajati Ahmad Fairuz sebelum ini dimiliki mereka.
Ahmad Fairuz tidak bersetuju untuk membeli model Civic 1.8S kerana telah membayar wang pendahuluan untuk model lain.
Selepas itu, timbul pula masalah lain apabila permohonan pinjaman Ahmad Fairuz tidak diluluskan dan berikutan itu beliau mahu wang pendahuluannya dikembalikan.
Bagaimanapun keesokan harinya, pihak bank menghubungi Ahmad Fairuz dan memaklumkan bahawa pinjaman untuk membeli kenderaan terbabit telah diluluskan.
Namun segalanya sudah terlambat kerana Ahmad Fairuz berasa tawar hati untuk memiliki kenderaan yang diidam-idamkan itu selepas merasakan dirinya tertipu.
Tuntutan Ahmad Fairuz untuk mendapatkan wang pendahuluan itu bagaimanapun ditolak oleh Jimisar Corporation dan lantaran itu, Ahmad Fairuz membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kuching, Sarawak.
Presiden TTPM, Datuk Dr. Lawrence S.H Thien yang mendengar tuntutannya baru-baru ini mengarahkan Jimisar Corporation membayar RM7,000 kepada Ahmad Fairuz dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan.
Selain itu, beliau mengarahkan transaksi antara Ahmad Fairuz dan Jimisar Corporation dibatalkan.

No comments:

Post a Comment