Sunday, April 17, 2011

Individu yang Mengamalkan Pecah dan Perintah

Kita sering mendengar mengenai pecah dan perintah. Biasanya, kita sebagai rakyat Malaysia mengaitkannya dengan penjajah British yang menggunapakai strategi itu bagi memecah-belahkan kaum di Tanah Melayu yang pada ketika itu berada di bawah jajahan mereka.

Namun apakah itu pecah dan perintah? Umumnya, pecah dan perintah dapatlah ditaktifkan sebagai kombinasi strategi politik, ekonomi dan ketenteraan bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasa dengan cara memecahkan jaringan kuasa kepada kelompok-kelompok kecil, yang mana kuasa setiap kelompok itu adalah kurang daripada kuasa pihak yang melaksanakan strategi pecah dan perintah ke atas mereka itu.

Semasa zaman penjajahan British ke atas Tanah Melayu dahulu, terdapat dua taktik yang digunakan oleh British bagi menjalankan strategi pecah dan perintah ke atas penduduk Tanah Melayu.

Pertama sekali, British sengaja memisahkan kaum-kaum di Tanah Melayu, terutamanya kaum-kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Tujuan pemisahan itu dibuat adalah bagi mengelakkan kaum-kaum berbeza di Tanah Melayu bersatu dan kemudiannya menentang British.

Taktik kedua yang digunakan oleh British adalah memisahkan kaum-kaum tersebut mengikut aktiviti ekonomi, yang mana orang Melayu menjalankan aktiviti pertanian, orang Cina terlibat dalam aktiviti perlombongan dan perniagaan, manakala orang India pula menjadi pekerja di estet.

Melalui strategi pecah dan perintah, British berjaya mewujudkan perasaan syak wasangka di kalangan kaum-kaum itu ekoran kurangnya interaksi antara mereka. Perasaan syak wasangka dan lain-lain perasaan negatif seterusnya melebarkan lagi jurang perpaduan antara kaum.

Ya, strategi pecah dan perintah pernah digunakan oleh British semasa mereka menjajah Tanah Melayu. Namun begitu, adakah strategi ini hanya terhad pada golongan penjajah seperti British? Sudah tentu tidak, malah ia dapat menjadi strategi jahat yang diamalkan oleh pelbagai peringkat dalam masyarakat, termasuk pada tahap organisasi dan individu.

Lihat sahaja di sekeliling kita dan kita pasti sedar bahawa individu yang mengamalkan strategi pecah dan perintah memang wujud. Misalnya adalah di pejabat, yang mana kebanyakan daripada kita sudah tentu pernah berurusan dengan golongan seperti itu.

Antara senjata utama mereka adalah fitnah. Mereka menggunakan fitnah bagi mewujudkan perasaan benci di kalangan rakan sekerja mereka. Mereka juga sering mengumpat bagi menyebarkan perasaan tidak senang dalam syarikat.

Selain itu, mereka juga sering menghasut para pekerja bagi memulaukan pekerja lain yang tidak sebulu dengan mereka ataupun pekerja yang mengetahui mengenai tembelang mereka.

Sebenarnya, segala perkara tersebut dilakukan dengan tujuan melaga-lagakan antara pekerja di syarikat tersebut. Individu yang mengamalkan strategi pecah dan perintah memang cukup suka apabila orang lain bergaduh, bermusuhan, saling membenci dan berprasangka sesama sendiri. Ini kerana dalam keadaan seperti itulah maka mereka mengambil kesempatan bagi mencapai segala yang dikehendaki.

Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan golongan yang mengamalkan strategi pecah dan perintah. Golongan seperti ini perlu diberikan tarbiah yang mencukupi supaya mereka meninggalkan amalan yang merosakkan itu. Bagi mereka yang tidak terlibat dengan aktiviti seperti itu pula, janganlah mudah termakan dengan umpatan, fitnah dan hasutan golongan seperti itu, malah marilah kita sama-sama berusaha bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan menggembleng usaha supaya keadaan menang-menang terserlah bagi semua pihak.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment