Thursday, May 26, 2011

Kempunan kereta baru, rugi jual kereta lama

Kempunan kereta baru, rugi jual kereta lama
NIAT seorang pemandu lori yang ingin memberikan keselesaan kepada keluarganya dengan menempah kenderaan lebih besar tidak kesampaian apabila dia bukan sahaja kempunan mendapatkan kereta Toyota Avanza malah 'terjual' Proton Wira miliknya.
Bapa kepada enam anak itu ditimpa nasib malang akibat terpedaya dengan sebuah syarikat menjual kereta terpakai di Jalan Wakaf Mempelam, Kuala Terengganu, Terengganu, pada Mac lalu.
Md. Zubi Ramli, 40, yang tertarik dengan harga RM65,000 yang ditawarkan, terus bersetuju untuk membeli kereta Toyota itu melalui proses 'tukar beli' kereta lamanya dengan harga RM10,000.
Bagaimanapun, dia yang sepatutnya hanya perlu membayar baki harga kereta RM55,000 terkejut apabila dimaklumkan bahawa dia perlu membayar tambahan RM8,500 dengan alasan kereta tersebut berharga RM73,000 ketika itu.
Menyedari dirinya telah tertipu, Md. Zubi membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk menuntut kembali kereta Proton Wira miliknya sebagai tanda pembatalan pembelian kereta Toyota Avanza berkenaan.
"Saya bersetuju membeli kereta Toyota Avanza itu dengan kaedah tukar beli kereta lama kerana pada awalnya harga yang dimaklumkan jauh lebih murah namun tidak sangka harga kereta Toyota Avanza tersebut tiba-tiba jadi mahal.
"Sepatutnya jurujual itu menjelaskan pada saya dengan lebih teliti agar saya lebih faham dan tidak keliru jika ada peningkatan harga sebelum saya buat keputusan untuk membeli kereta Toyota Avanza tersebut," katanya di TTPM Kuala Terengganu baru-baru ini.
Bagaimanapun Presiden TTPM, Reihana Abd. Razak berkata, Md. Zubi tidak boleh menuntut kereta lamanya kembali kerana ia telah pun dijual kepada pengguna lain selepas dia bersetuju untuk menukar beli kereta tersebut.
Namun begitu, beliau mengarahkan syarikat berkenaan membayar RM3,384 kepada pemandu lori itu selepas ditolak kos baik pulih serta bayaran tertunggak terhadap kereta tersebut dalam tempoh tujuh hari.
Selain itu, Md. Zubi perlu menyerahkan geran kereta lamanya kepada syarikat terbabit selepas menerima bayaran berkenaan.
Menurut Md. Zubi, biarpun terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM7,000 kerana enggan membeli Toyota Avanza berkenaan walaupun pinjaman telah diluluskan namun dia tetap berpuas hati apabila tidak berurusan dengan syarikat terbabit.
"Kalau saya mahu beli kereta lain sekalipun saya akan ke syarikat lain dan bawa rakan yang biasa berurusan tentang jual beli kereta agar tidak tertipu lagi," jelasnya.

AWAS: 94 Jenis Ubat Tiruan

94 jenis ubat tiruan dirampas
Oleh WAN NOOR HAYATI WAN ALIAS
pengarang@utusan.com.my


SEORANG pegawai penguat kuasa menggunakan alat pengimbas untuk mengesan ubat palsu dalam serbuan di sekitar Jalan Raja Bot, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/NURUL AKMA SAMSUDIN
________________________________________

KUALA LUMPUR 26 Mei - Sebanyak 94 jenis ubat-ubatan tradisional tiruan dan tidak berdaftar bernilai RM100,000 dirampas dari enam buah kedai di sekitar Jalan Raja Bot di sini hari ini dipercayai dijalankan oleh peniaga warga Indonesia yang memiliki status penduduk tetap.
Walaupun pernah diserbu beberapa kali oleh pihak berkuasa kerana menjual ubat-ubatan tiruan, namun para peniaga itu tidak serik meneruskan aktiviti mereka.
Operasi yang dijalankan Bahagian Penguat Kuasa Farmasi, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan pada pukul 12 tengah hari itu mendapati, enam premis tersebut menjalankan penjualan ubat tiruan secara terbuka kepada orang awam.
Menurut Ketua Operasinya, Adnan Salimin, bagi mengaburi mata pelanggan, peniaga itu turut menggunakan pelekat hologram Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang palsu.
"Selain itu mereka sengaja tidak meletakkan alat pengimbas hologram (meditag) di kedai mereka untuk kegunaan pelanggan bagi menyemak ubat-ubatan yang hendak dibeli," katanya ketika ditemui selepas operasi tersebut.
Adnan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan taktik tersebut digunakan untuk mengaut keuntungan lebih dengan menjual ubat tiruan pada harga sama seperti ubat tulen.
Katanya, alat pengimbas tersebut yang berharga RM200 seunit diberikan percuma oleh KKM kepada setiap premis perniagaan ubat-ubatan dan farmasi untuk digunakan pelanggan bagi menyemak status ubat yang hendak dibeli sama ada mendapat kelulusan daripada pihak kementerian.
Dalam pada itu, katanya, setiap ubat yang dilekat dengan pelekat hologram adalah disahkan oleh pihak KKM dari segi kandungan bahan yang digunakan serta lebih selamat.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membeli ubat-ubatan tiruan yang mudah didapati di kedai-kedai tanpa membuat imbasan menggunakan pengimbas hologram terlebih dahulu kerana ia dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan.

Thursday, May 19, 2011

Kopi Babi?

Tiga pengarah, pengilang kopi DNA babi didakwa
KLUANG 19 Mei - Tiga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi di kedai minuman, Kluang Rail Coffee tanpa meletakkan pernyataan kewujudannya pada label pembungkusan kopi itu.
Ketiga-tiga pengarah syarikat Rail Passion Sdn. Bhd. (Rail Passion) tersebut iaitu Lim Jit Chiang, 37, dan abangnya, Lim Jit Tong, 42, serta sepupu mereka, Lim Jit Chen, 58, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Syarikat pengilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading pula menghadapi tuduhan menyedia dan membungkus kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel untuk jualan kepada syarikat Rail Passion.
Jit Chiang, Jit Tong dan Jit Chen didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan yang mengandungi DNA babi antara pukul 3 petang hingga 4 petang di premis tersebut di Jalan Tasik di sini pada 25 Mac lalu.
Mereka didakwa menjual serbuk kopi dalam bungkusan belum dibuka kepada pegawai Jabatan Kesihatan, Amezatul Aida Mohd. Daim bagi tujuan analisis dan keputusan ujian Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya menunjukkan terdapat DNA babi dalam kopi itu.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa menjual 20 peket kopi uncang dalam bungkusan belum dibuka yang mengandungi DNA babi kepada Amezatul Aida bagi tujuan serupa pada masa, tarikh dan tempat yang sama.
Keputusan analisis di Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya turut mendapati wujud DNA babi dalam kopi uncang tersebut.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Peraturan 11(1)(c) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 kerana menjual makanan tanpa suatu pernyataan tentang adanya DNA babi pada label bungkusan makanan berkenaan.
Setiap pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika sabit kesalahan.
Sementara itu, syarikat pengilang, Cheng Hiong Coffee Powder Trading didakwa atas pertuduhan menyedia dan membungkuskan kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel itu untuk jualan kepada syarikat Rail Passion.
Syarikat tersebut didakwa melakukan kesalahan itu di Kilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading di Jalan Mersing di sini antara pukul 10.40 pagi hingga 2 petang, 25 Mac lalu.
Dua rakan kongsi syarikat pengilang tersebut, Wong Siew Boey, 52, dan Ong Cheng Ming, 44, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang sama dikenakan ke atas ketiga-tiga pengarah syarikat Rail Passion.
Kesemua tertuduh yang diwakili peguam, S. Selvarajah manakala pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rasidah Abd. Radzaz.
Majistret Norhabsarina Ayob menetapkan 5 Julai ini untuk sebutan semula ketiga-tiga kes berkenaan.

Ahli perniagaan Taiwan rugi RM380,000 terjebak cinta siber

Ahli perniagaan Taiwan rugi RM380,000 terjebak cinta siber


2011/05/20
KUALA LUMPUR: Satu sindiket penipuan didalangi tiga individu termasuk pasangan suami isteri dikesan menggunakan laman sosial Facebook untuk memikat mangsa wanita dan menjanjikan hadiah sejumlah wang tunai sebelum memperdayakan mangsa.

Difahamkan, dua lelaki warga Nigeria berperanan mencari mangsa terutama warga asing melalui laman sosial berkenaan dan menjadikan mereka sebagai teman wanita.
Sebaik menjalinkan hubungan cinta, sindiket berkenaan mendakwa menghantar bungkusan mengandungi sejumlah wang melalui ejen syarikat penghantaran di Malaysia kepada mangsa sebagai hadiah cinta.
Bagaimanapun, tindakan licik sindiket berkenaan berjaya dilumpuhkan selepas tiga suspek iaitu dua lelaki Nigeria dan seorang wanita tempatan ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman di dua lokasi berasingan di Cheras dan Seri Kembangan Isnin lalu.

Tangkapan jam 4.30 petang itu dilakukan hasil laporan polis yang dibuat seorang wanita yang juga ahli perniagaan dari Taiwan mendakwa kerugian RM380,000 selepas melakukan beberapa transaksi kepada sindiket berkenaan melalui Western Union.

Turut dirampas empat kenderaan, sejumlah barangan kemas bernilai RM100,000, pelbagai jenis peralatan komputer, kad ATM dan visa pelbagai bank, beberapa telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM14,000 dan wang tunai AS$15,000.

Timbalan Pengarah II, JSJK Bukit Aman, Datuk Mohd Rodwan Mohd Yusuf, berkata mangsa berusia 43 tahun mendakwa mengenali seorang suspek menggunakan nama ‘John Miller’ awal Februari lalu melalui Facebook dan menjalinkan hubungan cinta sebelum diperdaya.
“Mangsa dijanjikan bungkusan mengandungi wang tunai RM4.6 juta sebagai hadiah, tetapi diminta membuat transaksi RM380,000 berikutan bungkusan itu didakwa mengandungi masalah untuk dihantar.

“Mangsa yang sempat membuat tiga kali transaksi bagaimanapun sedar beliau ditipu apabila menyedari barang dijanjikan tidak sampai sebelum tampil membuat laporan di Kedutaan Taiwan di Malaysia akhir Februari lalu,” katanya.

Mohd Rodwan berkata, siasatan polis mendapati, suspek iaitu dua lelaki warga Nigeria berusia 30-an dan seorang wanita tempatan berusia 38 tahun turut melakukan perniagaan kereta sewa dipercayai hasil keuntungan penipuan.

“Siasatan terperinci sedang dilakukan termasuk menyiasat sama ada terdapat pembabitan individu lain. Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan ramai lagi menjadi mangsa sindiket itu,” katanya.

Suspek kini ditahan reman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Mohd Rodwan berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima laporan 245 kes dan menangkap 48 individu berhubung penipuan menggunakan modus operandi sama membabitkan nilai kerugian RM9.4 juta.

Berbanding sepanjang tahun lalu, katanya, sebanyak 759 kes direkodkan dan 30 individu ditahan serta membabitkan jumlah kerugian RM20.5 juta.

Susu UHT Korea

Ambil sampel susu UHT Korea
Oleh FARHANA JONI
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 19 Mei - Kementerian Kesihatan telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengambil sampel susu UHT di gudang penyimpanan, Biforst Logistics Sdn. Bhd. di Shah Alam bagi menganalisis melamin susu berkenaan semalam.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosnah Abd. Rashid Shirlin berkata, gudang itu menyimpan bekalan susu UHT yang diimport oleh syarikat Hybrid Allied Sdn. Bhd. dan pensampelan susu itu akan dijalankan dengan segera.
"Keputusan analisis susu UHT itu akan diketahui dalam tempoh tiga hari dari tarikh pensampelan," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tindakan itu diambil ekoran dakwaan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubur Panjang, Pendang, Shaharol Niza Omar mengenai susu UHT dari Korea tersebut yang tidak mempunyai logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah menjelaskan, produk susu UHT tersebut mematuhi piawaian halal berdasarkan penilaian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Shaharol Niza turut mempersoalkan susu UHT yang diimport dari Korea, memandangkan negara tersebut bukan pengeluar utama tenusu dunia, malah meragui keselamatannya memandangkan hanya 40 peratus jumlah kandungan adalah susu dan 60 peratus adalah bahan lain termasuk High Fructose Corn Syrup (HFCS).
"Berdasarkan Peraturan 129, Peraturan-Peraturan Makanan 1985, penggunaan HFCS adalah dibenarkan sebagai bahan pemanis untuk ditambahkan dalam produk makanan dan penggunaannya dalam produk susu UHT adalah 4.3 peratus daripada jumlah keseluruhan," katanya.
Menurut Rosnah, walaupun sehingga kini masih tiada kajian khusus yang dijalankan berkaitan HSFC di negara ini, jika diambil secara berlebihan ia juga boleh meningkatkan risiko berat badan berlebihan

AWAS: Zakat alam ghaib

8 beradik putih mata

Oleh Mary Victoria Dass dan Intan Mas Ayu Shahimi
am@hmetro.com.my
MANGSA...Nazri dan adik lelakinya menunjukkan laporan polis dibuat mereka. JOHOR BAHRU: Terpedaya dengan muslihat seorang bomoh yang mendakwa mampu mengembalikan harta arwah nenek moyang mereka yang dikatakan bernilai RM2.8 juta, lapan beradik kerugian RM62,285 yang dibayar kononnya sebagai zakat dan kos upacara meraikan ‘mahaguru.’

Mangsa, Nazri Mohd Noor, 40, berkata, bomoh berusia 37 tahun itu licik menipu dia dan tujuh adik-beradiknya yang lain termasuk mengadakan satu ‘demonstrasi’ khas kemampuannya mengembalikan sebahagian daripada harta bernilai RM2.8 juta itu dalam bentuk wang tunai.


“Kami berkenalan dengan lelaki itu melalui seorang rakan pada 27 Mac lalu dan tertarik dengan keistimewaannya, antaranya mampu melihat dan berkomunikasi dengan pemegang amanah alam ghaib.

“Lelaki yang tinggal di Masai itu memberitahu sudah tiba masanya keluarga kami memiliki kekayaan nenek moyang kami yang keseluruhannya bernilai RM2.8 juta dan dia mampu menukar harta itu dalam bentuk wang tunai untuk kami.



“Bagaimanapun, kami terlebih dulu perlu membayar wang ‘zakat’ RM53,000. Selepas berbincang, kami adik-beradik setuju membenarkan lelaki itu mengadakan upacara menzahirkan duit berkenaan di kampung kami di Kelantan, pertengahan April lalu,” katanya kepada Harian Metro.

Wednesday, May 18, 2011

Hakim sedih banyak kes dadah babit orang Islam

Hakim sedih banyak kes dadah babit orang Islam


2011/05/19
SHAH ALAM: Seorang hakim Mahkamah Tinggi di sini, semalam melahirkan kesedihannya apabila melihat banyak kes dadah di negara ini membabitkan orang muda berketurunan Melayu dan beragama Islam.

Hakim Datuk Abd Rahim Uda, berkata orang Melayu dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
“Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan bahawa yang utama ialah ilmu dan apabila ilmu tiada kita main-mainkan hukum agama.
“Doa kami agar awak ambil (hukuman) ini sebagai lembaran baru dan jalani kehidupan mengikut undang-undang Allah dan bukan mengikut nafsu. Apa pun hukum dunia kita kena jalankan juga dan harap awak benar-benar insaf serta bertaubat nasuha,” katanya.

Abd Rahim berkata demikian ketika menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan ke atas tukang kebun, Fazizol Mohd Razali, 25, selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan memiliki ganja seberat 216 gram di tempat letak kenderaan, Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini, pada jam 10.45 malam pada 21 Februari 2009.

Fazizol sebelum ini didakwa mengikut Seksyen 39B (1), Akta Dadah Berbahaya 1952, bersama seorang rakannya, pembuat jeriji, Mohd Zuhaili Husen, 30, ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 6 akta sama, pada prosiding semalam.

Mohd Zuhaili dibebaskan tanpa dilepaskan daripada pertuduhan asal iaitu mengedar dadah mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Sementara itu, suasana sayu apabila Fazizol dan Mohd Zuhaili berpelukan selepas kes berkenaan selesai.

Ibu Mohd Zuhaili menangis manakala ahli keluarga dan rakan mereka kelihatan sedih melihat kedua-dua sahabat itu berpelukan.

Terdahulu, ketika mitigasi, peguam Fazizol, Azizul Shariman Mat Yusof, memberitahu mahkamah anak guamnya hanya memperoleh pendidikan sehingga Tingkatan Satu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi manakala Mohd Zuhaili diwakili peguam Suzanawati Ismail.