Thursday, April 28, 2011

Video Game Hina Islam

PMIUM gesa kerajaan bertegas permainan hina Islam

KUALA LUMPUR, 29 April: Satu permainan komputer yang digilai remaja negara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah pemainnya kerana ia mengandungi elemen menghina Islam apabila memaparkan kalimah Allah dan kaabah.
Pemain permainan itu (Devil May Cry 3) didakyah kononnya mereka berjihad untuk menentang syaitan kerana dikehendaki menewaskan makhluk itu untuk menembusi 12 pintu sebelum ‘penghulu syaitan’ menanti mereka di pintu terakhir iaitu pintu kaabah.
Elemen penghinaan ke atas Islam jelas tertera apabila kalimah Allah dipaparkan di setiap pintu yang dikawal syaitan termasuklah di pintu kaabah.
Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Rohayu Rusli menggesa tindakan tegas harus diambil dengan serius oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib.
Katanya, difahamkan permintaan tinggi terhadap permainan itu menyebabkan pihak pengeluar kini sudah mengeluarkan empat edisi bagi permainan berkenaan sejak mula memasarkannya pertengahan tahun lalu.
“Jadi, saya mewakili mahasiswa mahasiswi Islam UM menggesa pihak berwajib meneliti dengan lebih terperinci ‘keadaan’ permainan ini sebelum dipasarkan kepada pelanggan terutamanya remaja.
“Permainan komputer itu satu penghinaan melampau kepada umat Islam kerana kaabah adalah kiblat dan tempat suci, begitu juga dengan kalimah Allah yang tidak boleh dijadikan bahan permainan sesuka hati,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan permainan seperti itu boleh menggugat keimanan dan akidah seseorang terutama apabila ‘mempermainkan’ agama Islam.
Tambahnya, tindakan dan sebaran harus dibuat secepat mungkin bagi menyedarkan semua sebelum terlambat.
“Saya rasa isu ini sudah lama keluar, mungkin ramai lagi yang tidak tahu tentang permainan ini,” ujarnya.

Wednesday, April 27, 2011

AWAS: Jangan Termakan Besi Kokot

Pengusaha makanan kini sering menggunakan besi kokot ataupun staples bagi membungkus makanan yang dijual. Amalan ini sebenarnya amat berbahaya kerana besi kokot yang kecil itu dapat tertanggal dari bungkusan yang digunakan dan bercampur dengan makanan. Ini dapat menjejaskan kesihatan pengguna, malah dapat mencederakan pengguna apabila mereka mengunyah dan seterusnya tertelan besi kokot itu.

Dengan demikian, saya ingin menggesa supaya pengusaha makanan mencari alternatif lain bagi membungkus makanan dan tidak lagi menggunakan besi kokot yang jelas dapat memudaratkan pengguna. Usah kita mengambil mudah perkara ini hinggakan ada pengguna yang tercedera. Pihak berkuasa juga perlu mengambil perhatian akan perkara ini.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Tuesday, April 26, 2011

HATI-HATI: Suntikan Kuruskan Badan

Padah mencuba suntikan kuruskan badan

Oleh ROZIANAH RISMAN
pengarang@utusan.com.my



KEADAAN perut mangsa ketika dirawat untuk mengeluarkan nanah di salah sebuah hospital selepas gagal dalam satu rawatan kosmetik untuk menguruskan badan dengan 30 suntikan oleh seorang ejen produk kecantikan.

--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 25 April - Tindakan seorang ahli perniagaan lelaki mencuba satu produk menguruskan badan melalui 30 suntikan kosmetik dalam tempoh sejam mengundang padah apabila dia kini terpaksa menanggung kesan parut kekal di tubuhnya kesan daripada rawatan itu.

Mangsa yang berusia lingkungan 30-an dan enggan dikenali itu bukan sahaja terpaksa menanggung kesan parut di perut dan belakang badan, malah terdapat kesan lubang di bahagian yang disuntik itu membuatkan dia berasa tidak selesa.

Semuanya itu berlaku akibat tindakannya mencuba suntikan kosmetik untuk menguruskan badan yang diperkenalkan oleh seorang ejen produk kecantikan menerusi seorang rakannya pada tahun 2009.

Menurut ahli perniagaan itu, rakannya memberitahu produk tersebut boleh mendatangkan keuntungan dan mempunyai nilai pasaran yang tinggi jika dijual di pasaran.

Namun, mangsa tidak begitu yakin dengan keberkesanan produk tersebut dan diminta untuk mencuba dahulu bagi melihat kesannya pada badan sendiri.

"Saya mencuba dahulu produk ini dengan menerima 30 suntikan di bahagian perut dan belakang badan pada Oktober 2009.

"Namun, saya tidak menyangka kesan yang akan saya tanggung sebegini," katanya pada sidang akhbar bersama Pengarah Pusat Perkhidmatan MCA Cheras, John Hon Su Kuan di sini hari ini.

Kesan daripada suntikan itu, bahagian perut dan belakang badan mangsa menjadi bintik merah, bengkak dan berlubang menyebabkan dia terpaksa berjumpa dengan lima orang pakar perubatan.

Selain mengambil kira-kira 10 biji pil antibiotik setiap hari, ahli perniagaan itu juga terpaksa menjalani pembedahan di Hospital Pakar Cheras untuk mengeluarkan nanah yang terdapat dalam kesan-kesan bengkak tersebut.

AWAS: Hadiah Percuma

Hati-hati 'anda telah menang hadiah percuma'Apr 26, 11 3:49pmKongsi 5Masihkah anda ingat pada peraduan 'gores dan menang' yang pernah digunakan sesetengah pihak bagi menipu orang ramai untuk membeli produk yang mereka tidak perlukan?

Kini taktik yang sama telah timbul semula, tetapi kali ini ia melalui 'sms' (khidmat pesanan ringkas).

Baru-baru ini ketika dalam perjalanan ke tempat kerja, pengamal perubatan yang hanya mahu dikenali sebagai Dr Krishnan telah menerima satu sms yang menyatakan "tahniah, anda telah menang hadiah percuma. Dapatkannya dengan menghantar sms kepada nombor...".

Tidak sabar untuk mengetahui apa hadiah tersebut, Dr Krishnan terus menjawab sms tersebut dan menghantarnya kepada nombor lima digit yang disertakan dan beberapa saat kemudian beliau menerima satu mesej yang menyatakan beliau telah melanggani satu perkhidmatan.

"Saya terkejut dengan mesej yang saya terima, selepas memberi respon menyebabkan saya kehilangan kredit prabayar sebanyak RM4. Jika saya terima beberapa sms sedemikian, berapa bayaran kredit saya yang akan hilang? Saya memang tidak perlukan khidmat yang ditawarkan.

"Apa yang buat saya naik angin lagi, saya perlu menjawab jika saya mahu khidmat tersebut dihentikan dan sebanyak RM1 lagi kredit saya dipotong.

"Hanya dengan sekelip mata sahaja kerana tertipu dengan sms pertama, saya telah hilang RM5. Semuanya kerana saya ingin tahu apa hadiah yang saya menang (dapat). Sekiranya 100 pengguna prabayar yang terkena taktik ini, pihak itu dapat RM500 hanya dalam beberapa minit sahaja dan di negara ini terdapat ratusan ribu pengguna prabayar", katanya dengan nada yang geram.

Ahli perniagaan S Muthu juga terkena helah yang sama.

"Tanpa disangka saya terima satu sms mengucapkan tahniah menyatakan saya telah menang hadiah percuma. Sudah tentu saya mahu tahu apa yang saya telah menang. Jadi saya jawablah sms itu.

"Tetapi datang pula balasan mesej menyatakan saya telah melanggan satu perkhidmatan yang saya tidak perlu langsung. Kalaulah dari awal lagi saya tahu tentang taktik ini, saya tidak akan sekali-kali memberi respon dan mengabaikan sahaja mesej yang terdahulu," kata beliau.

Menurut aktivis sosial dan pengguna Gurmukh Singh, hanya pengguna telefon prabayar sahaja yang menerima sms sebegini.

"Setiap orang yang menerima sms sebegini akan memberi respon tanpa usul-periksa".


Katanya tidak salah dari segi undang-undang jika pihak yang terlibat menawarkan khidmat kepada pengguna talian prabayar kerana mereka punya pilihan untuk kata ya atau tidak terhadap perkhidmatan tersebut.

"Tetapi dengan menyatakan ada hadiah percuma merupakan satu umpan yang cukup efektif. Hampir semua penerima mesej itu mahu tahu apa hadiah yang mereka dapat", kata Gurmukh.

Kerana tidak sabar untuk mengetahui apa hadiahnya, si penerima mesej tersebut tidak akan membuang masa untuk memberikan respon tetapi kemudian diberitahu mereka telah melanggani satu perkhidmatan yang mereka sebenarnya tidak perlukan.

"Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah produk yang ada dalam pasaran atau lawatan melancong. Tetapi semuanya bukan percuma. Sebenarnya pengguna tidak perlu khidmat seperti ini kerana mereka boleh mendapatkan maklumat melalui cara lain dengan percuma.

"Memburukkan lagi keadaan, pengguna prabayar terpaksa membayar dengan harga yang tinggi bagi khidmat sms sebegini, kata beliau.

Pengguna talian akan mengalami pengurangan kredit prabayar mereka dengan banyak bila menjadi mangsa 'helah' untuk melanggani perkhidmatan tertentu.

Kata Gurmukh hanya mereka yang menggunakan talian prabayar akan menjadi mangsa kepada taktik sebegini.

"Pihak yang tidak bertanggungjawab biasanya mencari pengguna talian prabayar, mungkin kerana mereka dengan mudahnya dapat memotong jumlah kredit secara terus. Mereka biasanya menjauhi pengguna talian posbayar".

"Mereka yang terkena sepatutnya melaporkan kepada pihak berkuasa. Tetapi dalam kebanyakan kes, mangsa hanya mendiamkan diri sahaja.

"Mereka ini akan menganggap yang mereka hilang RM5 sahaja (RM4 ketika menerima mesej yang mereka telah melanggani perkhidmatan dan RM1 lagi untuk menghentikan perkhidmatan).

"Biasanya mangsa akan ditipu sekali sahaja. Mereka akan menamatkan perkhidmatan bila sedar mereka telah terpedaya. Maka tamatlah cerita dan mereka tidak akan terpedaya lagi".

Gurmukh punya satu nasihat bagi pengguna.

"Pengguna perlu mengabaikan saja apa-apa sms yang mereka terima tentang kononnya mereka dapat hadiah. Ini semua strategi untuk menperdayakan pengguna.

"Tidak ada sesiapa yang mahu memberi hadiah melainkan ada tujuan atau niat lain di sebaliknya".

- Bernama

Monday, April 25, 2011

AWAS: Najis tikus di dapur restoran

Sentral: Najis tikus bertaburan di dapur
Oleh Siti Sofia Md Nasir
bhnews@bharian.com.my
2011/03/28


PENGUAT KUASA MPK memeriksa sebuah premis dalam Ops Bersih 4 di Klang.7 restoran diarah tutup dua minggu dalam 'Ops Bersih 4'

KLANG: Sisa makanan tidak diuruskan, najis tikus bertaburan dan anak lipas merayap di dapur restoran. Sukar dipercayai tetapi itulah hasil penemuan operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan ‘Ops Bersih 4’ di Jalan Istana, di sini, baru-baru ini.
Pemilik restoran terbabit mendakwa dapurnya sebelum ini dalam keadaan bersih dan terurus tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK). Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Timbalan Pemangku Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang diperiksa pasukan penguat kuasa itu meloyakan.

Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan terpaksa melayan kerenah pengusaha restoran yang tidak berpuas hati apabila premis mereka dikenakan tindakan.

Ada antara mereka bersikap biadap apabila mengherdik dan mempertikaikan tugas pihak penguat kuasa.

Bagaimanapun, peniaga terbabit terpaksa mengalah selepas pihak penguat kuasa menerangkan kesalahan mereka.
Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan yang sepatutnya dan kebanyakan premis hanya bersih di bahagian depan tetapi kotor di belakang.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini dan memberi notis sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya membungkus makanan menggunakan surat khabar dan menggunakan pinggan mangkuk sumbing.

"Mereka mencampur bahan mentah bersama makanan yang sudah dimasak di dalam peti sejuk dan tidak memberi suntikan demam kepialu kepada pekerja," katanya sambil menambah kebanyakan premis yang terbabit dalam operasi ini adalah kategori C, iaitu memuaskan.

Amran berkata, pihaknya menjumpai najis tikus dan lipas di beberapa premis.
Berikutan itu, katanya, tujuh daripada lapan premis yang diperiksa diarah tutup dua minggu bagi memberi masa kepada mereka membersihkan premis masing-masing.

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1987.

Bulan lalu, lapan premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 3 yang diadakan di sekitar Jalan Tengku Kelana.

AWAS: Dapat Tilam Baharu?

Semasa berehat di rumah pada hujung minggu, kita seringkali mendengar laungan pembeli akhbar lama yang kini menawarkan bagi memberikan tilam baharu kepada kita (atau dijual pada harga yang murah), yakni dengan syarat kita memberikan tilam lama kita kepadanya.

Sebuah akhbar baru-baru ini melaporkan bahawa terdapat antara penjual tilam itu yang menipu para pengguna dengan menjual tilam yang sebenarnya adalah tilam yang pernah digunakan dan bukannya baharu.

Jadi, sebelum membuat penukaran ataupun pembelian, dapatkan kepastian sama ada tilam yang mahu dibeli/dibarterkan itu benar-benar baharu ataupun tidak.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Thursday, April 21, 2011

JAGA-JAGA: Beli saham tanpa prospektus

Pengarah syarikat dituduh terbit saham tanpa prospektus


2011/04/21
KUALA LUMPUR: Dua pengarah syarikat hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua tuduhan menerbitkan saham preferen tanpa prospektus dan mengagihkankan borang permohonan saham tanpa kebenaran Suruhanjaya Sekuriti yang membabitkan jumlah nilai RM400 juta.

Hakim Ahmad Kamar Jamaluddin membenarkan Chong Yuk Ming, 49, dan Balachandran a/l A Shanmugam, 56, pengarah syarikat pelaburan jongkong emas, Bestino Group Berhad, diikat jamin masing-masing sebanyak RM300,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Jun untuk sebutan semula kes. Bagi tuduhan utama, Chong dan Balachandran masing-masing didakwa menerbitkan 400 juta saham preferen boleh tebus tanpa suatu prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, di syarikat itu di No 80-B, Jalan Sultan Yussuf, Ipoh, Perak, antara 3 November 2008 dan 16 Jun 2009. Bagi tuduhan pilihan pula, mereka masing-masing didakwa telah mengagihkan borang permohonan bagi saham preferen itu yang tidak disertakan dengan satu salinan prospektus yang telah didaftarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti, tanpa pemberian kuasa secara bertulis daripada Suruhanjaya Sekuriti, di tempat dan masa yang sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 232 (7) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, pegawai pendakwa Suruhanjaya Sekuriti, Susheel Kaur, menawarkan wang jaminan sebanyak RM1 juta kepada kedua-dua lelaki itu kerana ia adalah kesalahan yang serius yang mengakibatkan seramai 6,000 orang melabur dalam saham itu yang membabitkan jumlah RM400 juta.

Susheel berkata, Chong juga telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak, pada Februari lalu terhadap 152 tuduhan pengubahan wang haram.
Peguam Datuk V Sithambaram yang mewakili Chong dan Balachandran memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM50,000 sehingga RM100,000, kerana tujuan jaminan ialah bagi memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah. - BERNAMA