Sunday, February 27, 2011

AWAS: Deposit Kereta Dibayar Sia-sia

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi yang berikut:

1. Mangsa didatangi oleh seorang jurujual kereta.

2. Jurujual itu mendakwa bahawa dia adalah ejen sebuah syarikat kereta terpakai.

3. Namun hakikatnya adalah syarikat tersebut tidak wujud.

4. Jurujual mendakwa bahawa dia dapat memberikan diskaun kepada mangsa dengan syarat mangsa membayar deposit bagi membeli kereta tersebut dengan segera.

5. Mangsa pun membayar deposit, iaitu deposit antara 10 – 15% dari harga jualan kereta tersebut.

6. ‘Jurujual’ terbabit kemudiannya menghilangkan diri.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Wednesday, February 23, 2011

AWAS: Restoran Tikus

Bangkai tikus dalam kuali
Oleh Siti Sofia Md Nasir

2011/02/24

BANGKAI tikus dijumpai dalam kuali di sebuah premis yang diperiksa di Klang.
Ops Bersih 3 gempur premis niaga kotor sekitar Klang

KLANG: Bangkai tikus dalam kuali. Mungkin sukar dipercayai tetapi itulah yang dilihat dalam satu operasi penutupan premis makanan dan penguatkuasaan dinamakan ‘Ops Bersih 3' yang diadakan di sekitar bandar diraja ini, baru-baru ini.

Pemilik sebuah restoran mendakwa kuali itu tidak lagi digunakan tetapi alasan terbabit gagal melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan tegas bahagian penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK).
Sentral yang mengikuti operasi bersama Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Klang diketuai Pemangku Timbalan Pengarah Kesihatan MPK, Amran Jali mendapati kebanyakan premis yang digempur pasukan penguat kuasa itu kotor dan berbau meloyakan.
Dalam operasi bulanan itu, pasukan berkenaan turut menemui mi goreng yang sudah basi disimpan di bawah rak makanan dan boleh memudaratkan kesihatan jika ia dipanaskan dan dihidangkan semula kepada pelanggan.

Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan terus menjamu selera di restoran terbabit seperti langsung tidak mengendahkan operasi yang sedang dijalankan.

Amran berkata, lapan premis yang diperiksa gagal mempamerkan tahap kebersihan sepatutnya di samping melakukan pelbagai kesalahan lain seperti tidak melabel jenis makanan dan pekerja memakai selipar.

"Kami sudah mengenal pasti kawasan ini sebelum mengadakan operasi. Kebanyakan restoran yang diperiksa didapati gagal menepati piawaian kebersihan seperti ditetapkan, antaranya tong sampah tidak ditutup dan lantai kotor.
"Malah, kami turut menjumpai bangkai tikus, najis tikus dan lipas di beberapa premis," katanya sambil menambah semua premis itu diarah ditutup untuk tempoh dua minggu bagi mereka membersihkan premis masing-masing.

Pemilik premis boleh beroperasi kembali jika MPK dan PKD Klang berpuas hati dengan tindakan yang mereka ambil daripada aspek kebersihan tetapi jika gagal, kes mereka akan dibawa ke mahkamah.

Tindakan itu diambil mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983.
Bulan lalu, sebanyak 12 premis restoran diarahkan tutup dalam Ops Bersih 2 yang diadakan di sekitar kawasan Bukit Tinggi.

Tuesday, February 22, 2011

AWAS: Hadiah dari Kekasih

Berhati-hatilah jika anda menghadapi situasi yang berikut:

1. Anda dihubungi seorang lelaki melalui internet, terutamanya melalui laman sosial.

2. Lelaki itu berkata bahawa dia ingin berkenalan dengan anda dan mendakwa bahawa dia kini bekerja di luar negara.

3. Selepas beberapa lama berkenalan, maka si lelaki yang kini menjadi kekasih anda itu mengatakan bahawa dia amat mencintai anda.

4. Bagi membuktikan cintanya itu, dia ingin menghadiahkan sesuatu kepada anda. Hadiah mahal itu kononnya akan dihantar melalui pos/kurier.

5. Tidak lama kemudian, anda mendapat panggilan daripada pihak kastam (sebenarnya adalah rakan subahat lelaki berkenaan).

6. Pihak 'kastam' memberitahu anda bahawa terdapat bungkusan atas nama anda.

7. Namun demikian, bungkusan itu hanya akan dilepaskan sesudah anda sebagai penerima membayar cukai atas bungkusan itu. Mereka menyuruh anda memasukkan sejumlah wang ke dalam sebuah akaun bank.

Selain modus operandi 4 - 7 di atas, lelaki itu juga mungkin mendakwa bahawa dia ingin sangat menemui anda dan akan terbang ke Malaysia dengan segera. Anda kemudiannya menerima panggilan daripada 'kastam', yang memberitahu anda bahawa kekasih anda itu ditahan kerana gagal menjelaskan cukai barang atau membawa masuk wang tunai melebihi hаԁ dan tidak mengisytiharkannya dalam Borang Kastam 22 (pengisytiharan wang tunai).

Maka bagi membolehkan pihak 'kastam' melepaskan kekasih anda, anda dikehendaki membayar denda. Denda itu perlu dibayar ke dalam sebuah akaun bank.

Berhati-hatilah.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Adakah makanan organik yang dijual benar-benar organik?

Saya ingin menarik perhatian rakan-rakan mengenai makanan organik yang kini semakin popular di kalangan pengguna yang ingin menjaga kesihatan. Namun bagaimanakah caranya memastikan kesahihan dakwaan pihak yang mengeluarkan makanan organik tersebut?

Adakah makanan organik yang dijual itu benar-benar ’organik’ mengikut piawaian yang terpakai padanya? Atau adakah label ’organik’ itu hanya diperalatkan bagi menjual produk substandard pada harga yang tinggi?

Bukan apa, kita tidak mahu pihak-pihak tertentu memperalatkan keinginan pengguna untuk menjaga kesihatan dengan menjual produk-produk yang didakwa sebagai makanan organik tetapi sebenarnya adalah makanan yang tidak memenuhi standard sebagai makanan organik.

Dalam hal ini, kita sedia maklum bahawa harga makanan organik adalah lebih mahal daripada harga makanan biasa. Contohnya, sos organik adalah lebih mahal daripada sos ’bukan organik’.

Jadi, jika terdapat pengeluar yang mendakwa menghasilkan makanan organik tetapi sebenarnya tidak mengikut piawaian makanan organik yang sebenar, maka pengguna sendiri yang rugi apabila mereka membayar harga premium bagi produk yang sebenarnya tidak pun premium.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Sunday, February 20, 2011

Bukan Semua yang Datang dari Tanah Arab adalah Sunnah Rasulullah SAW

Ya, moga kita dijauhkan dari segala sifat mazmumah.

Saya juga ingin menarik perhatian rakan-rakan mengenai isu shisha yang dibangkitkan dengan lebih tegas baru-baru ini.

Sebenarnya, kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) menunjukkan bahawa menghisap shisha adalah jauh lebih berbahaya daripada menghisap rokok.

Realitinya adalah shisha 400 kali ganda lebih berbahaya daripada rokok.

Ini kerana shisha mengandungi karbon monoksida, nikotin dan tar yang kepekatannya lebih tinggi berbanding dengan rokok.

Kajian juga menunjukkan bahawa satu ‘pusingan’ menghisap shisha bersamaan dengan menghisap sekotak rokok!

Jangan pula selepas ini, ada yang mendakwa bahawa menghisap shisha adalah sunnah Rasulullah SAW.

Usahlah kita menyangka bahawa hanya kerana sesuatu tabiat ataupun amalan itu datang dari Tanah Arab, maka ia secara automatik adalah sunnah Rasulullah SAW. Bukan itu hakikatnya.

Kekeliruan ini samalah juga dengan kekeliruan di kalangan umat Islam Malaysia yang menyangka bahawa semua muzik yang berbunyi Arab adalah nasyid.

Moga kita tidak terus terkeliru dan moga Allah memberikan kekuatan kepada kita untuk mencontohi serba sedikit sunnah Rasulullah SAW, menurut kemampuan masing-masing.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

AWAS: Pergi haji tanpa melalui Tabung Haji?

Syarikat tawar khidmat haji disiasat

YAN 20 Feb. - Kerajaan akan menyiasat sebuah syarikat yang dikatakan menawarkan perkhidmatan haji di negara ini tanpa melalui Tabung Haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar).

Katanya, ini kerana di Malaysia, hanya Tabung Haji yang diberi kuota haji oleh kerajaan Arab Saudi dan bukan terus kepada syarikat-syarikat yang beroperasi di negara ini.

"Syarikat yang menjadi ejen perkhidmatan itu perlu mendapatkan kebenaran dan kuota daripada Tabung Haji sebelum menjual perkhidmatan itu kepada orang ramai dan ia di bawah seliaan Tabung Haji.

"Ia bukan soal nak halang dan untuk monopoli perkhidmatan haji ini, tetapi kita kena berhati-hati dengan pakej yang ditawarkan oleh pihak berkenaan dan bimbang akan membawa padah kepada rakyat kita akibat tidak mempunyai kebenaran visa di Mekah nanti.

"Kerajaan Arab Saudi memandang serius mengenai kuota haji dan umrah yang diberikan kepada setiap negara. Saya bimbang jika ada rakyat negara ini terperangkap di sana nanti ekoran tidak memiliki visa yang sah akan menimbulkan masalah besar kepada negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sungai Kering dekat sini hari ini.

Difahamkan, syarikat berkenaan yang berpangkalan di China dan tidak berdaftar di bawah Tabung Haji itu menawarkan perkhidmatan haji dan umrah dengan cepat dan bayaran yang dikenakan RM15,000 bagi seorang jemaah haji.

Mereka yang berminat dikatakan boleh membuat tempahan melalui laman web yang disediakan dengan mudah dan pantas.

Jamil Khir meminta rakyat negara ini yang berdaftar dengan Tabung Haji supaya bersabar menunggu giliran dan jangan mudah terpedaya dengan perkhidmatan yang membolehkan mereka dapat menunaikan ibadat haji di Tanah Suci dengan cepat.

"Saya berharap orang ramai berhati-hati dengan tawaran seperti ini dan jangan sampai duit simpanan hilang dan haji tak dapat disebabkan tindakan terburu-buru mereka," kata Jamil Khir. - BERNAMA

Thursday, February 17, 2011

Suami isteri ditipu 'doktor' dapat kembali wang RM14,000

Dari: Utusan Malaysia

MELAKA 17 Feb. - Sepasang suami isteri yang kerugian kira-kira RM14,000 kerana ditipu doktor palsu, kini boleh menarik nafas lega apabila wang tersebut dikembalikan kepada mereka.

Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengarahkan sebuah syarikat Vibracare ASL membayar RM14,000 iaitu sama jumlah yang dituntut oleh Sarip Sayed, 61, dan isterinya, Salihah Biran, 54, kepada syarikat tersebut dua tahun lalu.

Presidennya, D. Pretam Singh dalam penghakimannya memberitahu, hasil maklumat membuktikan pasangan suami isteri itu telah ditipu oleh syarikat terbabit yang menawarkan pelbagai jenis ubat namun gagal menyembuhkan penyakit mereka.

"Oleh itu, TTPM mengarahkan pihak penentang supaya membayar sebanyak RM14,000 kepada penuntut bermula tarikh penghakiman yang dibuat hari ini.

"Apa yang saya boleh katakan, penuntut sendiri perlu berhati-hati dalam membuat sesuatu keputusan apatah lagi ia melibatkan wang," katanya pada sidang TTPM di Wisma Persekutuan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini.

Sementara itu Salihah ketika ditemui memberitahu, kali pertama dia dan suami bertemu dengan 'doktor' terbabit ialah pada 14 Oktober 2009 di rumah lelaki itu di Taman Merak, Bukit Katil di sini.

"Apabila sampai di rumahnya, lelaki itu yang memakai stetoskop di leher memperkenalkan dirinya sebagai 'doktor' dan dia kemudian mengambil gambar mata saya dan memaparkannya di skrin besar sebelum menjelaskan saya turut mempunyai penyakit buah pinggang yang perlu dirawat segera sebelum melarat," katanya.

Kata Salihah lagi, sepanjang sesi penerangan itu, lelaki tersebut tidak berhenti-henti menyebut nama Allah dan berjanji akan merawat penyakit mereka sehingga sembuh tetapi perlu menggunakan ubatan herba yang dibekalkan pada harga RM14,000.

Kata Salihah, lelaki itu juga bijak memujuk dia dan suami supaya mengeluarkan simpanan di Tabung Haji dengan mengatakan tidak guna menunaikan haji sekiranya badan tidak sihat dan selalu sakit-sakit.

Tambahnya, selepas sebulan menggunakan 'ubat' yang diberikan oleh lelaki terbabit, penyakit yang dihadapi semakin teruk dan terkejut apabila 'doktor' terbabit mengarahkannya mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Menurut Salihah, kata-kata lelaki tersebut berbeza dengan jaminan yang pernah dibuatnya sebelum ini yang berjanji akan merawat mereka sekeluarga sehingga sembuh.

"Setelah berasa tertipu, saya dan suami kemudian memfailkan tuntutan di TTPM pada 8 Februari 2009 dan membuat laporan polis pada 8 Januari 2010," katanya.