Wednesday, May 18, 2011

Lapan hingga 12 naskhah buku setahun

Perubahan positif rakyat Malaysia
Oleh UMAVATHI RAMAYAH
uma.ramayah@utusan.com.my

________________________________________

KUALA LUMPUR 18 Mei - Tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia menyaksikan perubahan positif apabila kajian oleh Perpustakaan Negara pada tahun lalu mendapati purata setiap rakyat membaca lapan hingga 12 naskhah buku setahun.
Ia merupakan satu peningkatan agak membanggakan berbanding kajian pada 2005 yang mendedahkan rakyat kita hanya membaca dua naskhah buku setahun.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, justeru itu, langkah-langkah bersepadu perlu dipertingkatkan lagi bagi menyuburkan tabiat dan semangat cintakan buku di kalangan rakyat Malaysia.
Beliau turut menggesa pihak berkaitan menggunakan segala ruang dan peluang yang ada bagi menarik minat lebih ramai rakyat untuk membaca selain meneroka pendekatan-pendekatan serta gaya hidup baru yang boleh dijadikan sebagai pemangkin budaya membaca.
"Kita tidak seharusnya terhad kepada bahan bacaan berbentuk konvensional tetapi perlu juga menerokai, mengenal pasti dan mengambil kira bentuk bacaan yang disukai ramai," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Buku Sedunia kementerian berkenaan, di sini hari ini.
Sambutan bertemakan Jom Kembalikan Budaya Membaca itu turut menyaksikan penglibatan pelajar Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Kemas kementerian berkenaan.
Antara aktiviti yang diadakan adalah termasuk pertandingan bercerita, membaca, persembahan boneka, pameran dan jualan buku.
Noorul Ainur menambah, usaha menyemarakkan budaya membaca perlu dipertingkatkan terutama dengan kewujudan dan perkembangan infrastruktur digital dan teknologi maklumat yang menyaksikan rakyat, terutamanya generasi muda selesa melayari Internet.
Menurutnya, pembinaan masyarakat yang kaya dengan nilai-nilai intelek, sahsiah dan peradaban adalah ditentukan oleh tahap pencapaian ilmu masyarakat itu sendiri kerana sesebuah masyarakat yang miskin ilmu tidak mungkin akan kaya tamadunnya.

Sunday, May 15, 2011

AWAS: 2 bahan buat kek, roti ada DNA babi

Dua bahan buat kek, roti ada DNA babi: JAKIM


2011/05/16
PUTRAJAYA: Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia minggu lalu menolak permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebuah syarikat pembekal bahan membuat kek, roti dan pastri selepas mendapati ia mengandungi DNA babi dalam dua ramuan yang digunakan oleh syarikat itu.

Dua ramuan terbabit ialah ‘Whole Egg Powder’ dan ‘Whole Milk Powder.’
Difahamkan, syarikat yang beribu pejabat di Eropah itu turut membekalkan roti, kek dan pastri untuk pasar raya besar dan restoran di negara ini. Berikutan itu, Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meminta semua pemegang dan pemohon baru SHPM yang menggunakan produk keluaran syarikat terbabit mengambil langkah untuk mengelakkan sijil mereka ditarik balik.

“Semua pemegang atau pemohon baru yang menggunakan produk syarikat terbabit diminta menukar produk itu kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.

“Mereka juga diminta mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web, semalam.

Selain itu, pemegang dan pemohon baru juga diminta menjalankan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan semak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya melayari laman web www.halal.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat yang memiliki SPHM.

KEPENGGUNAAN: Syarikat jual kenderaan diarah bayar RM7,000

Gagal sediakan model pilihan: Syarikat jual kenderaan diarah bayar RM7,000

IMPIAN untuk memiliki sebuah kereta Honda Civic 1.8S menjadi igauan buruk terhadap seorang lelaki apabila terpaksa menempuhi 'laluan berliku' dalam proses pembeliannya.
Bertambah malang apabila syarikat kenderaan, tempat Ahmad Fairuz Ismail ingin membeli kenderaan itu memberikan pelbagai alasan sedangkan wang pendahuluan telah dibayar.
Pada 29 September tahun lalu, Ahmad Fairuz dimaklumkan oleh syarikat Jimisar Corporation Sdn. Bhd. bahawa pihaknya tidak mempunyai stok model Civic 1.8S dan hanya mempunyai model Civic 1.8S-L yang harganya RM5,000 lebih mahal.
Disebabkan ingin memiliki kereta jenama itu, Ahmad Fairuz bersetuju membayar wang pendahuluan sebanyak RM12,669.60.
Namun setelah beberapa minggu, syarikat terbabit memaklumkan bahawa stok model Civic 1.8S-L tiada dan hanya Civic 1.8S yang dihajati Ahmad Fairuz sebelum ini dimiliki mereka.
Ahmad Fairuz tidak bersetuju untuk membeli model Civic 1.8S kerana telah membayar wang pendahuluan untuk model lain.
Selepas itu, timbul pula masalah lain apabila permohonan pinjaman Ahmad Fairuz tidak diluluskan dan berikutan itu beliau mahu wang pendahuluannya dikembalikan.
Bagaimanapun keesokan harinya, pihak bank menghubungi Ahmad Fairuz dan memaklumkan bahawa pinjaman untuk membeli kenderaan terbabit telah diluluskan.
Namun segalanya sudah terlambat kerana Ahmad Fairuz berasa tawar hati untuk memiliki kenderaan yang diidam-idamkan itu selepas merasakan dirinya tertipu.
Tuntutan Ahmad Fairuz untuk mendapatkan wang pendahuluan itu bagaimanapun ditolak oleh Jimisar Corporation dan lantaran itu, Ahmad Fairuz membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kuching, Sarawak.
Presiden TTPM, Datuk Dr. Lawrence S.H Thien yang mendengar tuntutannya baru-baru ini mengarahkan Jimisar Corporation membayar RM7,000 kepada Ahmad Fairuz dalam tempoh 14 hari dari tarikh perintah itu dikeluarkan.
Selain itu, beliau mengarahkan transaksi antara Ahmad Fairuz dan Jimisar Corporation dibatalkan.

KEPENGGUNAAN: Harga teh tarik naik mendadak

Harga teh tarik naik mendadak


2011/05/12
KUANTAN: Tidak sampai 24 jam harga gula dinaikkan 20 sen kepada RM2.30 sekilogram kelmarin, ada peniaga restoran di bandar ini mula mengambil kesempatan turut menaikkan harga minuman.

Tinjauan di sebuah restoran di sini mendapati segelas teh tarik dijual RM1.50, naik 20 sen berbanding RM1.30 sebelumnya.
Pengguna, Azman Hassan, 32 berkata, beliau terkejut apabila melihat bil yang menyatakan segelas teh tarik berharga RM1.50.
"Tidak sampai 24 jam, peniaga menaikkan harga yang dianggap tidak munasabah dan membebankan pengguna kerana ia hanya membabitkan kenaikan gula," katanya.

Rakannya, Mohd Ashraf Zulkifli, 25, pula mahu tindakan tegas dikenakan terhadap peniaga yang sengaja cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

"Setiap kali pengumuman kenaikan harga gula atau barang keperluan harian seperti tepung atau susu, harga makanan atau minuman naik. Sepatutnya, peniaga tidak menjadikan pelanggan sebagai mangsa keadaan," katanya.

Kenaikan harga itu adalah sebahagian daripada langkah rasionalisasi yang akan membolehkan kerajaan menjimatkan RM116.6 juta.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Datuk Mohd Firdaus Abdullah ketika diminta mengulas menganggap tindakan peniaga sebagai tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, PPPM membantah tindakan peniaga yang cuba mengaut keuntungan disebabkan kenaikan harga gula.

"Kita kesal dengan tindakan peniaga yang tidak prihatin dan menjadikan pelanggan sebagai mangsa untuk mengaut keuntungan," katanya.

Monday, May 9, 2011

Syarikat elektronik bayar warga emas RM6,900

TTPM arah syarikat elektronik bayar warga emas RM6,900
TAWARAN tiket bertuah dan hadiah percuma sering dijadikan umpan bagi pengguna membeli barang-barang daripada sesebuah syarikat.
Bagaimanapun, masalah akan timbul apabila janji untuk pemberian tiket bertuah dan hadiah percuma itu gagal ditepati, sekali gus menghampakan pembeli.
Itulah yang terjadi kepada seorang warga emas, apabila tidak menerima tiket bertuah dan hadiah percuma seperti yang dijanjikan oleh jurujual setelah membeli tiga produk dari sebuah premis perniagaan elektronik di Kota Kinabalu, Sabah.
Menurut Lew Kau, 64, dia membayar sebanyak RM7,103 dengan menggunakan kad kredit untuk membeli barang-barang itu dari syarikat berkenaan setelah digula-gulakan dengan tiket bertuah dan hadiah percuma.
Namun, dia merasa tertipu dan terpedaya apabila janji tersebut gagal ditunaikan menyebabkan dia mengemukakan tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kota Kinabalu.
''Sebagai pengguna, saya mahu menuntut keadilan dan meminta semula bayaran dikenakan memandangkan barangan yang dibeli masih belum dibuka,'' katanya pada prosiding tuntutannya di tribunal tersebut baru-baru ini.
Wakil syarikat tersebut yang hadir pada prosiding itu bagaimanapun menyatakan, tidak wujud unsur paksaan dalam membeli barangan mereka dan warga emas itu turut didakwa secara rela menggunakan kad kredit bagi tujuan pembayaran.
Dalam keputusannya, Presiden TTPM, Datuk Dr. Lawrence S.H Thien berkata, syarikat terbabit tidak seharusnya menggunakan taktik yang mengelirukan dengan janji-janji seperti menawarkan hadiah percuma dan tiket bertuah.
''Setelah meneliti butiran dan keterangan kedua-dua pihak, TTPM mengarahkan agar pihak syarikat membayar ganti rugi RM6,900 dan penuntut diminta mengembalikan semula barang-barang yang telah dibeli,'' katanya.
Beliau membenarkan jumlah ganti rugi tersebut setelah menolak harga pembelian dengan kos kerugian sebanyak RM203 yang terpaksa ditanggung oleh syarikat terbabit.

Thursday, May 5, 2011

AWAS: Jangan Sampai Duit Melayang

Rugi RM1j angkara cinta internet
Oleh Zailani Ahmad

2011/05/05
Rakan kongsi warga asing lesap selepas mangsa masuk wang dalam akaun

SHAH ALAM: Hubungan cinta dan perniagaan yang dijalin melalui laman sosial Facebook menyebabkan seorang akauntan dari Kota Kinabalu, Sabah, kehilangan lebih RM1 juta kerana ditipu rakan kongsi yang tidak pernah ditemuinya.

Mangsa, Helen Chin Sep Yun, 48, dikatakan berkenalan dan bercinta dengan warga Britain dikenali sebagai Alex Bob menerusi Facebook awal tahun ini dan bersetuju menjadi rakan kongsi perniagaan berkaitan industri hiliran ditawarkan Petronas Carigali Malaysia Berhad (PETRONAS) di Ketereh, Terengganu.
Bagaimanapun, lelaki maya itu meminta Helen membantu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan akaun, duti setem, insurans serta pelbagai bayaran lain dengan alasan dia tidak memiliki akaun di negara ini.
Helen memenuhi permintaan kekasih dan rakan kongsinya itu dengan memasukkan wang tunai berjumlah RM1,110,350 ke dalam akaun lelaki berkenaan secara berperingkat antara 29 Mac hingga 19 April lalu.

Mangsa terpaksa `bergolok gadai' dan meminjam wang daripada rakan bagi menyokong perniagaannya tetapi lelaki maya itu tiba-tiba lesap bulan lalu dan gagal dihubungi melalui telefon, selain memadam profilnya dalam laman sosial popular itu.

Berikutan aduan mangsa baru-baru ini, polis menahan empat rakyat asing dan dua warga tempatan berusia antara 22 dan 33 tahun termasuk lelaki yang menyamar sebagai Alex Bob di Desa Aman Puri, Kepong dekat sini, petang kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan, berkata dalam serbuan pada jam 3 petang itu, polis merampas wang tunai RM15,000, 18 keping kad mesin juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, tujuh telefon bimbit dan sebuah komputer riba dipercayai digunakan kumpulan terbabit.
“Semua suspek yang kini direman di Balai Polis Kepong, akan didakwa minggu depan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor, di sini, semalam.

Katanya, penipuan menerusi laman sosial membabitkan warga asing terus berleluasa dan tahun lalu saja, sebanyak 1,201 kes jenayah dilaporkan berlaku, membabitkan kerugian berjumlah RM20.8 juta.

Beliau mengingatkan orang ramai sentiasa berhati-hati ketika melayari Facebook kerana laman itu kini menjadi tumpuan utama penjenayah mencari mangsa.

AWAS: Konon Wakil Bank Negara

Awasi sindiket dakwa wakil Bank Negara
AWAS sekiranya anda menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa mereka adalah wakil Bank Negara Malaysia atau bank-bank tempatan yang meminta 16 digit nombor kad bank.
Malah, orang ramai juga diminta berwaspada sekiranya dihubungi oleh sindiket yang sama, kononnya memaklumkan bahawa kad bank mereka sedang digunakan oleh individu lain.
Ini kerana semua panggilan itu adalah helah sindiket penipuan tersebut yang ingin mencuri wang simpanan anda.
Sindiket itu sebelum ini dikesan menghubungi mangsa dengan pelbagai alasan untuk mengetahui nombor kad bank.
Malah, ada di antara mangsa terkejut setelah dimaklumkan bahawa terdapat individu sedang menggunakan kad bank mereka dan meminta supaya penggunaan itu disekat serta merta.
Berikutan itu, si penipu yang membuat panggilan akan menyebut 12 digit pertama kad bank mangsa untuk memberi keyakinan bahawa mereka adalah wakil bank.
Kemudian panggilan kedua akan dilakukan oleh sindiket itu untuk meminta mangsa memberikan 4 digit terakhir kad bank.
Dengan memperoleh empat digit terakhir itu sindiket berkenaan berupaya memindahkan wang simpanan dari akuan mangsa ke dalam akaun mereka.
Pemindahan wang itu dipercayai dilakukan menggunakan rangkaian Internet.
Mengikut laporan yang pernah didedahkan akhbar tempatan sebelum ini, terdapat mangsa kehilangan wang simpanan berjumlah ratusan ribu ringgit akibat ditipu sindiket itu.
Oleh itu, bagi anda yang mendapat panggilan sama seperti di atas diharap mendapatkan nasihat dari bank-bank berdekatan terlebih dahulu bagi kejadian yang tidak diingini berlaku.