Wednesday, April 20, 2011

AWAS dengan Produk Kosmetik Beracun

Enam produk kosmetik dikesan mengandungi racun
20/04/2011 5:09pm


KUALA LUMPUR 20 April - Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada membeli dan mengguna enam produk kosmetik jenama terkenal berikutan pengesanan Racun Berjadual seperti dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin yang boleh memberi pelbagai kesan sampingan kepada pengguna.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan Datuk Eisah A. Rahman berkata, enam produk tersebut ialah BML HB Lotion, Krim Malam Shana, Natasya Gold Krim Herba, Biotox Whitening Hydro Cream, Yoko Whitening Cream dan Sue Beauty Night Treatment Cream.

"Penggunaan dexamethasone, hydroquinone dan tretinoin dalam produk kosmetik adalah tidak dibenarkan dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tretinoin boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, kulit mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari manakala hydroquinone pula boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif di samping menghalang proses pigmentasi (depigmentasi). - Bernama

Tuesday, April 19, 2011

WASPADA: Gembira Beli Kereta

Peguam lega dapat semula kereta
TERTARIK dengan catatan jarak perbatuan yang rendah, seorang peguam dari ibu negara bersetuju menukar beli kereta Honda City Type Z model 2000 miliknya dengan kereta terpakai Honda City IDSI model 2006 di sebuah syarikat kereta terpakai di Jalan Kampar, Ipoh, Perak pada Februari lalu.

Namun, peguam tersebut, V. Anil Raj terkejut selepas mendapat tahu jarak perbatuan sebenar kereta itu adalah 90,000 kilometer dan bukannya 75,000 kilometer seperti tertera pada meter kereta.

Hal tersebut diketahuinya selepas dimaklumkan oleh pengurus pusat servis Honda di Jalan Kampar bahawa pemilik pertama kereta itu pernah membuat servis pada jarak perbatuan 90,000 kilometer pada 2009.

Justeru mengetahui dirinya telah ditipu, Anil Raj membuat aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

Dalam prosiding di hadapan Presiden TTPM, Mohd. Nasrim Mohd. Salleh, baru-baru ini, syarikat kereta terpakai itu dan Anil Raj bersetuju menyelesaikan kes itu secara persetujuan bersama.

Syarikat kereta terpakai itu bersetuju mengambil semula kereta tersebut dan mengembalikan kereta Honda City serta wang yang dibayar oleh Anil Raj.

Syarikat kereta itu juga bersetuju menyelesaikan segala dokumen berkaitan termasuk borang tukar nama.

Menurut Anil Raj, dia membeli kereta tersebut pada harga RM56,000 kerana beranggapan kereta itu mempunyai jarak perbatuan 75,000 kilometer seperti yang tercatat pada meter kereta.

"Harga tersebut agak mahal bagi kereta Honda IDSI model 2006 pada tahun ini tetapi saya membelinya kerana jarak perbatuannya masih rendah tetapi tidak sangka pula saya tertipu.

"Saya fikir syarikat tersebut sengaja memanipulasikan jarak perbatuan walaupun mereka mendakwa tidak mengetahuinya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Monday, April 18, 2011

AWAS: Jutaan Dolar dari Libya

Berhati-hatilah jika anda berhadapan dengan situasi berikut:

1. Anda menerima emel daripada seseorang yang mendakwa bahawa dirinya adalah individu penting dalam kerajaan Libya.

2. Dalam emelnya, dia mendakwa bahawa dia telah meletakkan jawatan atas dasar menentang Muammar Gaddafi. Dia juga mengutuk keras pemerintah Libya itu.

3. Dia mendakwa bahawa dia dan keluarganya kini dilanda bahaya kerana rumah dan aset mereka dirampas oleh mereka yang setia dengan Muammar Gaddafi.

4. Oleh sebab nyawanya kononnya terancam, maka dia meminta bantuan anda bagi menyimpan duitnya sebanyak USD6 juta. Jika apa-apa terjadi padanya, dia berharap bahawa duit itu sekurang-kurangnya dapat membantu keluarganya meneruskan kehidupan.

5. Dia menawarkan 30% dari USD6 juta itu kepada anda (iaitu sebagai komisyen), yang mana bakinya perlu diserahkan kepada anak-anaknya apabila tiba masanya nanti.

6. Jika anda bersetuju, dia meminta anda menghantar emel kepadanya supaya segala urusan penghantaran wang tersebut dapat dilakukan dengan segera.


Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Sunday, April 17, 2011

Individu yang Mengamalkan Pecah dan Perintah

Kita sering mendengar mengenai pecah dan perintah. Biasanya, kita sebagai rakyat Malaysia mengaitkannya dengan penjajah British yang menggunapakai strategi itu bagi memecah-belahkan kaum di Tanah Melayu yang pada ketika itu berada di bawah jajahan mereka.

Namun apakah itu pecah dan perintah? Umumnya, pecah dan perintah dapatlah ditaktifkan sebagai kombinasi strategi politik, ekonomi dan ketenteraan bagi mendapatkan dan mengekalkan kuasa dengan cara memecahkan jaringan kuasa kepada kelompok-kelompok kecil, yang mana kuasa setiap kelompok itu adalah kurang daripada kuasa pihak yang melaksanakan strategi pecah dan perintah ke atas mereka itu.

Semasa zaman penjajahan British ke atas Tanah Melayu dahulu, terdapat dua taktik yang digunakan oleh British bagi menjalankan strategi pecah dan perintah ke atas penduduk Tanah Melayu.

Pertama sekali, British sengaja memisahkan kaum-kaum di Tanah Melayu, terutamanya kaum-kaum utama, iaitu Melayu, Cina dan India. Tujuan pemisahan itu dibuat adalah bagi mengelakkan kaum-kaum berbeza di Tanah Melayu bersatu dan kemudiannya menentang British.

Taktik kedua yang digunakan oleh British adalah memisahkan kaum-kaum tersebut mengikut aktiviti ekonomi, yang mana orang Melayu menjalankan aktiviti pertanian, orang Cina terlibat dalam aktiviti perlombongan dan perniagaan, manakala orang India pula menjadi pekerja di estet.

Melalui strategi pecah dan perintah, British berjaya mewujudkan perasaan syak wasangka di kalangan kaum-kaum itu ekoran kurangnya interaksi antara mereka. Perasaan syak wasangka dan lain-lain perasaan negatif seterusnya melebarkan lagi jurang perpaduan antara kaum.

Ya, strategi pecah dan perintah pernah digunakan oleh British semasa mereka menjajah Tanah Melayu. Namun begitu, adakah strategi ini hanya terhad pada golongan penjajah seperti British? Sudah tentu tidak, malah ia dapat menjadi strategi jahat yang diamalkan oleh pelbagai peringkat dalam masyarakat, termasuk pada tahap organisasi dan individu.

Lihat sahaja di sekeliling kita dan kita pasti sedar bahawa individu yang mengamalkan strategi pecah dan perintah memang wujud. Misalnya adalah di pejabat, yang mana kebanyakan daripada kita sudah tentu pernah berurusan dengan golongan seperti itu.

Antara senjata utama mereka adalah fitnah. Mereka menggunakan fitnah bagi mewujudkan perasaan benci di kalangan rakan sekerja mereka. Mereka juga sering mengumpat bagi menyebarkan perasaan tidak senang dalam syarikat.

Selain itu, mereka juga sering menghasut para pekerja bagi memulaukan pekerja lain yang tidak sebulu dengan mereka ataupun pekerja yang mengetahui mengenai tembelang mereka.

Sebenarnya, segala perkara tersebut dilakukan dengan tujuan melaga-lagakan antara pekerja di syarikat tersebut. Individu yang mengamalkan strategi pecah dan perintah memang cukup suka apabila orang lain bergaduh, bermusuhan, saling membenci dan berprasangka sesama sendiri. Ini kerana dalam keadaan seperti itulah maka mereka mengambil kesempatan bagi mencapai segala yang dikehendaki.

Kesimpulannya, berhati-hatilah dengan golongan yang mengamalkan strategi pecah dan perintah. Golongan seperti ini perlu diberikan tarbiah yang mencukupi supaya mereka meninggalkan amalan yang merosakkan itu. Bagi mereka yang tidak terlibat dengan aktiviti seperti itu pula, janganlah mudah termakan dengan umpatan, fitnah dan hasutan golongan seperti itu, malah marilah kita sama-sama berusaha bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni dan menggembleng usaha supaya keadaan menang-menang terserlah bagi semua pihak.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Dikurung ah long

Lelaki dikurung gagal bayar pinjaman RM3,000

KOTA KINABALU 17 April - Perbuatan melampau sebuah premis peminjam wang berlesen menagih hutang dengan mengurung seorang peminjam pada Selasa lalu, membawa padah apabila diserbu polis.

Mangsa, lelaki tempatan berusia 34 tahun dipercayai dikurung bermula pukul 1.11 petang di premis berkenaan di Sinsuran di sini, sebelum diselamatkan pukul 3.55 petang.

Dalam serbuan itu, polis memberkas dua lelaki yang menahan mangsa sebelum menangkap tiga lagi dalam operasi susulan pada 13 dan 14 April lalu dengan kesemua suspek berusia 26 hingga 34 tahun.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Sofi Zakaria berkata, siasatan mendapati mangsa gagal membayar balik pinjaman kepada syarikat itu sebanyak RM3,000.

"Mangsa yang dikurung di dalam sebuah bilik diselamatkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, hasil maklumat awam," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurutnya, kesemua ditahan disiasat mengikut Seksyen 348 Kanun Keseksaan kerana menahan mangsa dengan cara salah yang boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

"Perbuatan mereka menahan mangsa adalah salah di sisi undang-undang, kalau mereka mahu menagih hutang pun kenalah ikut proses yang sepatutnya dan berlandaskan undang-undang," tegasnya.

Beliau turut menasihatkan semua syarikat peminjam wang agar menjalankan perniagaan dengan cara yang betul dan tidak bertindak melampau.

Wednesday, April 13, 2011

HATI-HATI: Air Zam-zam Tiruan

Peniaga campur air bukit, telaga

Oleh SUHANA MD. YUSOP
suhana.yusop@kosmo.com.my

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendedahkan memang ada air zam-zam yang dijual di negara ini dicampur dengan air telaga dan air bukit.

Menurutnya, tindakan yang tidak bertanggungjawab itu dijalankan oleh pihak-pihak swasta yang mengambil air galian daripada sebuah telaga di Pahang dan air bukit di Hulu Yam, Selangor.

"Saya difahamkan, ada kelompok-kelompok individu yang menjual dan mencampurnya dengan air zam-zam ini. Dalam konteks ini, cukup payah untuk mengenal pasti sebab ia air. Sama warna iaitu putih.

"Sekarang bukan sahaja air zam-zam palsu malah telur pun ada yang tiruan di mana sepatutnya telur ini datang daripada binatang yang bertelur," katanya di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! kelmarin mengenai kebimbangan orang ramai kemungkinan terdapat penjualan air zam-zam tiruan ekoran ia semakin banyak di pasaran pada masa ini.

Menurut Jamil Khir lagi, kajian saintifik mendapati, air galian memang ada persamaan dengan air zam-zam tetapi bimbang persamaan itu digunakan untuk menipu pengguna.

Wednesday, April 6, 2011

JANGAN TERKENA: Telur ayam tiruan

Telur ayam tiruan di Pulau Pinang

Apr 6, 11 10:03pm

Rupanya sebiji telur ayam tetapi ia telur ayam tiruan diperbuat daripada bahan kimia yang dikhuatiri boleh memudaratkan kesihatan dan dijual di pasaran terbuka di Pulau Pinang.

Telur palsu itu bersaiz lebih besar daripada telur ayam sebenar dan apabila dipecahkan ia tidak mempunyai pusat telur, tidak berbau, berkilat dan kasar.

Demikian menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang telah menerima aduan daripada pengguna yang membeli 30 biji telur tiruan itu pada harga RM11 di pasar Pulau Tikus di Georgetown semalam.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris, berkata siasatan mendapati kulit telur palsu itu diperbuat daripada lilin parafin, serbuk gypsum dan kalsium karbonat manakala kuning telur dan putih telur menggunakan bahan daripada natrium alginat, alum, geletin, asid benzoik, kalsium klorida, air serta bahan pewarna makanan.

"Komponen bahan kimia ini boleh menjejaskan kesihatan pengguna seperti mengganggu metabolisme, otak, sel saraf serta menjejaskan fungsi hati," katanya.

Mohamed Idris berkata, kerajaan harus mengambil tindakan segera merampas dan mengharamkan semua telur ayam palsu itu kerana ia akan memperdaya pengguna selain memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Seorang mangsa pembelian telur ayam palsu yang hanya mahu dikenali sebagai Loh, 50, berkata beliau menyedari telur ayam yang dibelinya dari pasar di Pulau Tikus itu adalah palsu setelah mendengar aduan seorang pembeli menerusi siaran radio.

"Setelah mendengar aduan seorang pengguna dalam radio, saya terus memeriksa telur yang dibeli itu dan terkejut apabila mendapati telur ayam yang saya dibeli sememangnya palsu," katanya.

Loh berkata, beliau dan anggota keluarganya telah makan telur ayam palsu itu sejak sebulan lalu.