Tuesday, February 15, 2011

Antara punca orang Melayu begitu mudah terpedaya dengan skim cepat kaya

Saya dirundung kesedihan apabila membaca mengenai nasib pihak yang terkena buatan orang. Inilah kerja sesetengah orang Melayu, asyik santau dan menyihir sana sini. Tidak sedarkah kita menyihir adalah dosa besar?

Adakah kita fikir bahawa kita akan hidup selamanya dan takkan dipertanggungjawabkan atas segala perbuatan kita di dunia?

Sebenarnya, inilah salah satu punca ramai orang Melayu begitu mudah mempercayai skim cepat kaya.

Skim cepat kaya yang saya maksudkan di sini adalah skim yang sudah pun banyak dihebahkan melalui media dan bukannya skim-skim baharu, yang mana mereka yang terpelajar pun mungkin tertipu.

Meskipun operasi skim-skim terbabit sudah sekian lama disiarkan melalui media, namun masih ramai di kalangan orang Melayu yang begitu mudah terpedaya.

Salah satu puncanya adalah kepercayaan pada unsur khurafat dan sihir masih menebal dalam jiwa orang Melayu.

Meskipun mereka tidak mengamalkannya, namun kepercayaan pada unsur-unsur tersebut masih bertapak kukuh dalam etos mereka.

Kepercayaan pada perkara khurafat menyebabkan minda ramai orang Melayu begitu mudah percaya pada perkara-perkara lain yang tidak masuk akal, termasuklah skim cepat kaya.

Ringkasnya, kepercayaan pada unsur khurafat menyebabkan kemampuan penaakulan menjadi lemah.

Penaakulan yang lemah pula menyuburkan sifat begitu mudah dan begitu ingin mempercayai perkara yang tidak logik.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

AWAS: Logo Suruhanjaya Sekuriti

Saya ingin menasihatkan kawan-kawan supaya berhati-hati jika menerima tawaran yang berkaitan dengan pelaburan, yang mana tawaran itu memperalatkan logo Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dengan tujuan menyokong pengesahan sesuatu laman web promosi, produk pelaburan ataupun program.

Berhati-hatilah dan rujuklah pada Suruhanjaya Sekuriti. Senarai syarikat dan individu yang telah diberikan lesen untuk menjalankan aktiviti pelaburan, termasuk menyediakan nasihat pelaburan boleh diperoleh di laman web SC di www.sc.com.my.

Bagi urus niaga dalam mata wang pula, ia berada di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia dan memerlukan kelulusan bank pusat itu.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Larang jual minuman bergas

Dari: Berita Harian

Oleh Mohd Azrone Sarabatin
azrone@bharian.com.my
2011/02/16
Usaha kementerian galak pemakanan berkhasiat kepada pelajar

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran akan menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Kantin Sekolah Sihat meliputi larangan menjual minuman berkarbonat berjenama minuman bertenaga di kantin atau mesin layan diri di sekolah. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata garis panduan itu turut menetapkan minuman berkenaan tidak digalakkan penjualannya di kantin atau koperasi sekolah. Beliau berkata, penyediaan garis panduan itu akan dimuktamadkan bersama antara kedua-dua kementerian bagi memastikan hanya makanan dan minuman berkhasiat dijual di sekolah.

Ketetapan itu katanya, berdasarkan kajian pakar mendapati kandungan utama minuman berkarbonat dan bertenaga mengandungi kadar gula yang dikategorikan tidak ada khasiat.

“Penyediaan garis panduan itu menyatakan sokongan gesaan melarang penjualan minuman berkarbonat dan bertenaga di kantin dan koperasi sekolah serta mesin layan diri seperti didedahkan Berita Harian, baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Rosnah berkata, bagi mengelak isu penjualan minuman itu berpanjangan, pihaknya mengharapkan hanya sajian disenaraikan pada garis panduan berkenaan dibenarkan dijual di kantin dan koperasi sekolah.
Beliau berkata, berdasarkan panel maklumat pemakanan pada label minuman ringan berkarbonat dan bertenaga, kandungan gula dalamnya tinggi iaitu 20 hingga 40 gram.

Jumlah itu bersamaan empat hingga lapan sudu teh bagi setiap 325 mililiter bungkusan atau tin.

Katanya, kementerian menyarankan rakyat mengambil minuman tanpa gula atau hanya menambah satu sudu teh gula bagi setiap cawan minuman jika perlu.

“Pengambilan gula berlebihan boleh menjejaskan kesihatan untuk jangka panjang termasuk meningkatkan berat badan sehingga menyebabkan kegemukan,” katanya.

Akhbar ini dalam laporannya menyatakan minuman berkarbonat dengan jenama minuman bertenaga dijual secara berleluasa di kantin atau mesin layan diri.

Senario itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan ibu bapa kerana khuatir anak mereka disajikan dengan makanan dan minuman tidak berkhasiat di sekolah.

Pensyarah Kanan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Chin Yit Siew, berkata pengambilan berlebihan minuman bertenaga menyebabkan pelbagai penyakit antaranya kencing manis dan kegemukan

RASUAH: Pegawai, 2 anggota JPJ diberkas

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my

SEREMBAN 15 Feb. - Kegiatan seorang pegawai dan dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menerima rasuah RM500 untuk membatalkan saman pesalah trafik terbongkar apabila mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketiga-tiga mereka ditahan bersama seorang awam yang bertindak sebagai orang tengah untuk meminta wang daripada pesalah trafik dalam operasi SPRM negeri di Shah Alam, Selangor.

Jurucakap SPRM negeri berkata, operasi itu dijalankan selepas menerima aduan daripada seorang orang awam di negeri ini.

Katanya, pengadu mendakwa terdapat individu meminta rasuah jika ingin membatalkan saman yang dikeluarkan terhadapnya oleh jabatan itu, baru-baru ini.

"SPRM kemudian menahan individu terbabit yang disyaki orang tengah selepas dia mengambil wang berjumlah RM500 daripada pengadu.

"Hasil soal-siasat lelaki itu mengaku dia diarahkan oleh anggota JPJ terbabit untuk mengambil wang daripada pengadu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, susulan itu, SPRM menahan seorang pegawai JPJ dan dua anggotanya di beberapa lokasi di sekitar Shah Alam.

Difahamkan, pegawai dan anggota JPJ tersebut bertugas di Ibu Pejabat JPJ Selangor di Padang Jawa, Klang.

Jelas jurucakap berkenaan, kesemua suspek yang ditahan berusia 25 hingga 35 tahun dan mereka kini ditahan di lokap SPRM negeri untuk siasatan lanjut.

"Buat masa ini kita masih menyiasat tempoh pembabitan pegawai dan anggota berkenaan dalam kegiatan rasuah serta kesalahan lain," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi di sini hari ini mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Monday, February 14, 2011

AWAS: Gajah Keramat?

Wilayah: Puja 'gajah' wat Siam
Oleh Rahmat Othman
bhnews@bharian.com.my
2011/02/15


Siew menunjukkan sebahagian tebu dan pisang yang diletakkan berhampiran gajah hiasan di wat Watthai Pradit Tharam.Kaki judi Melayu amal khurafat bawa tebu, pisang ke Watthai Pradit Tharam

KUALA NERANG: Akibat terlalu taksub dengan perkara khurafat, sekumpulan kaki ekor yang ingin cepat kaya sanggup membawa tebu dan pisang untuk menjamu dua ekor gajah hiasan yang terletak di pintu masuk Wat Siam, di Kampung Baru Padang Sanai, dekat sini. Tindakan kaki ekor berkenaan yang membawa tebu dan pisang untuk menjamu gajah hiasan di Watthai Pradit Tharam itu menimbulkan rasa kurang senang masyarakat keturunan Siam di kampung berkenaan. Gajah diperbuat daripada simen setinggi kira-kira 2.5 meter itu dikatakan menjadi tumpuan kaki judi selepas mendakwa seorang kaki ekor mendapat habuan RM100,000 apabila kononnya mendapat mimpi nombor bertuah selepas mengunjungi gajah itu kira-kira lima tahun lalu.

Berikutan dakwaan itu, ramai kaki ekor berkunjung ke situ membawa tebu dan pisang untuk dihidangkan kepada gajah itu sambil berharap mendapat mimpi nombor ramalan yang dikatakan boleh mengubah nasib seseorang.

Malah, ada yang beranggapan gajah itu keramat yang mampu memberi keuntungan besar dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun perbuatan tidak bermaruah itu menimbulkan keresahan di kalangan penduduk apabila pengunjung terbabit meninggalkan pisang dan tebu sehingga menyebabkan kawasan sekitar pintu itu kotor.
Ahli Jawatankuasa wat berkenaan, Siew Kim, 50, berkata, perbuatan kaki ekor itu menyebabkan ramai yang tidak senang dengan senario berkenaan wat berkenaan adalah rumah ibadat kepada penganut buddha berketurunan Siam di kawasan itu.

"Kami sedih dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan berharap ia segera dihentikan. Perbuatan mereka membawa tebu dan pisang berkenaan menyebabkan kawasan itu kotor dan berbau," katanya yang tinggal kira-kira 100 meter dari wat itu.

Seorang lagi penduduk, Goh Ai Eng, 70, berkata dia ada mendengar cerita mengenai dakwaan ada kaki ekor yang mendapat habuan selepas mengunjungi gajah hiasan itu.

"Saya percaya disebabkan ramai yang datang ke situ tidak mustahil ada yang bernasib baik 'menikam' nombor yang tepat, tetapi bukanlah disebabkan gajah itu keramat tetapi mungkin berlaku secara kebetulan," katanya.

Timbalan Ketua Pelatun RELA Kampung Baru Padang Sanai, Awang Had Saad, 50, berkata, lebih menyedihkan kerana orang Melayu terbabit dalam perbuatan itu.

"Kita percaya mereka bukan penduduk dari daerah ini, tetapi orang luar. Mereka bukan saja datang pada waktu siang, tetapi ada yang sanggup datang pada waktu malam atau awal pagi.

Ketua Masyarakat Siam Malaysia, Senator Bon Som Inong, berkata, beliau ada mendengar mengenai perbuatan kaki nombor ekor di wat berkenaan.

Sunday, February 13, 2011

AWAS: Tanah Kerajaan Negeri

Saya ingin menasihatkan kawan-kawan supaya berhati-hati jika berhadapan dengan situasi berikut:

1. Anda diberitahu oleh pihak tertentu bahawa sebuah kerajaan negeri menawarkan tanah pertanian kepada mereka yang berminat.

2. Anda ditunjukkan surat kelulusan lot-lot tanah pertanian itu yang kononnya ditandatangani oleh pegawai kanan kerajaan negeri.

3. Malah kepala surat yang digunakan adalah kepala surat pejabat Menteri Besar negeri itu.

4. Maka anda ditawarkan peluang bagi memajak tanah tersebut pada harga RM10,000 seekar.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/

Thursday, February 10, 2011

Antara punca mengapa anak muda menyambut Hari Valentine

Sempena bulan Februari ini, saya ingin menarik perhatian rakan-rakan mengenai isu yang masih menghantui umat Islam di Malaysia, iaitu sambutan Hari Valentine.

Sebenarnya, adalah menghairankan mengapa umat Islam di Malaysia, khususnya orang Melayu cukup suka meniru elemen budaya Barat yang tidak membawa manfaat, malah kemudaratan.

Terdapat juga unsur dalam budaya Barat yang bersifat positif, seperti kemajuan dalam ilmu sains dan teknologi. Tetapi malangnya adalah orang Melayu lebih suka meniru unsur yang bobrok, termasuklah sambutan Hari Valentine.

Sambutan Hari Valentine bukan sahaja menjadi jalan kepada maksiat, tetapi juga mengarah kepada pembaziran wang dan juga masa. Puncanya?

Ya, antara punca anak muda begitu galak menyambut Hari Valentine adalah budaya dan sistem pendidikan yang kini diamalkan oleh ramai ibu bapa Melayu.

Mereka kini suka memberikan kebebasan berlebihan kepada anak-anak, kononnya itu amalan masyarakat Barat yang berjaya menjadikan anak-anak lebih kritis, berfikiran terbuka dan bersemangat tinggi bagi mencapai kejayaan.

Anak-anak tidak ditegur apabila melakukan kesalahan, malah dibiarkan begitu sahaja, kononnya bagi membangunkan kemahiran berfikir mereka.

Hakikatnya adalah ibu bapa tersebut hanya meniru elemen negatif dalam sistem pendidikan Barat dan mengabaikan unsur positifnya. Selain itu, mereka salah faham tentang mekanisme keseluruhan dalam sistem pendidikan itu.

Ini tidaklah bermaksud bahawa saya menidakkan sistem pendidikan Islam, malah itulah yang paling utama. Namun segala yang baik itu milik Islam. Selagi sesuatu perkara dan amalan itu adalah baik dan tidak bercanggah dengan Islam, maka ia boleh diamalkan.

Berbalik pada ibu bapa Melayu yang kini memberikan kebebasan melampau kepada anak-anak, kononnya supaya anak-anak menjadi individu yang cemerlang. Sebenarnya, mereka hanya meniru unsur yang negatif dan mengabaikan yang positif.

Buktinya, perhatikan pula ibu bapa yang menerapkan unsur positif dalam pendidikan Barat bagi membesarkan anak-anak mereka. Anak-anak mereka lazimnya berkelakuan baik dan pada masa yang sama, tidak pula melupakan ajaran Islam.

Ini berbeza dengan sesetengah ibu bapa Melayu yang hanya menerapkan unsur negatif, hinggakan anak-anak mereka akhirnya tidak dapat membezakan antara baik dan buruk, lantas mengakibatkan mereka terjerumus ke dalam tabiat yang hanya merugikan diri sendiri, termasuklah menyambut Hari Valentine.

Kesimpulannya, memberikan kebebasan berlebihan kepada anak-anak tidak membantu membangunkan kemahiran berfikir, tetapi hanya akan merosakkan akhlak mereka apabila mereka tidak diberikan panduan mengenai dinamisme kehidupan.

Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat kepada rakan-rakan.

Ashadi Zain
(ashadizain@gmail.com)
http://artikelashadizain.blogspot.com/